Monday, June 29, 2009

Nik Aziz: Debat jalan terakhir selesai masalah Ummah

KOTA BHARU, 29 Jun. Menteri Besar Kelantan berkata, kenapa pemimpin Umno menolak pelawaan untuk berdebat sedangkan debat merupakan cara yang paling baik untuk menyelesaikan sesuatu masalah sebagaimana tuntutan Islam dan demokrasi.

"Seperti mana di mahkamah, dua orang peguam berhujah mengemukakan bukti atau berdebat untuk menentukan samada salah atau tidak seseorang tertuduh," katanya pada persidangan media di pejabatnya hari ini.

Sabtu lalu beliau mempelawa Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak berdebat mengenai sebab apa pemimpin parti itu menolak Islam. Bagaimanapun pemimpin Umno termasuk bekas presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menolak cadangan tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, calon-calon presiden di Amerika Syarikat termasuk Barrack Obama sebelum ini berkempen secara debat. "Begitu juga di Indonesia debat melibatkan calon-calon presiden dan calon-calon wakil presiden bagi menghadapi pilihan raya Presiden tidak lama lagi. Jadi mengapa pemimpin Umno menolak," kata beliau.

Sedangkan katanya, debat ialah jalan terakhir setelah nasihat dan pelbagai cara yang digunakan sebelum ini tidak diendahkan. "Semasa Allah swt menjadikan Nabi Adam as, Tuhan berdialog dengan Malaikat seperti diceritakan dalam al-Quran.

"Islam menyuruh kita berdebat mengenai dasar kerana dunia ini kepunyaan Allah swt, maka kita perlu mengikut arahan atau pun kehendak-Nya, tidak boleh pandai-pandai malakukan apa sahaja.
-Harakahdaily




Sahut cabaran Nik Aziz jika ikhlas mahu Perpaduan Islam/Melayu

29 Jun 2009. Tajuk utama Utusan Malaysia hari ini, menyiarkan ulasan dan bantahan pemimpin-pemimpin UMNO yang menolak pelawaan debat dari Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Debat merupakan cara terbaik bertujuan menyelesaikan masalah tuntutan Islam dan Demokrasi seperti yang diamalkan negara di serata dunia. Banyaklah alasan dikemukakan menolaknya.
Hendak Seribu Daya, tak hendak 2 ribu Dalih. Berani kerana Benar, Takut kerana Salah -

Friday, June 26, 2009

Nik Aziz jawab Mufti Perak isu tolak Kerajaan Perpaduan

Kota Bahru 25 jun 09 "Kalaulah Nabi Muhammad saw menjadi punca balah, maka apa yang dikatakan Mufti Perak itu betullah. Sedangkan baginda berbalah dengan bapa saudara dan masyarakat Arab bagi menegakkan Islam. Jadi siapa yang menjadi punca balah," katanya di sini.
Sebuah akhbar hari ini menyiarkan kenyataan Mufti Perak yang dianggap kecewa dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan bagi menegakkan ideologi politik mereka.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang Menteri Besar Kelantan berkata, PAS ditubuh di Pulau Pinang oleh alim ulama yang asal berada dalam Umno.

Namun katanya mereka keluar daripada Umno dan menubuh sebuah parti Islam pada 1951.

Beliau juga berkata, Umno ialah United Malay National Organization yang memperlihatkan parti itu berjuang berteraskan kaum.

"Jadi mengapa dia sibuk dengan kita, sedangkan dia parti Melayu. Pelawalah orang Melayu seramai yang boleh kerana mereka parti orang Melayu. Tetapi sekarang mengapa pula orang Melayu sudah ramai yang lari daripada Umno. Orang Melayu sudah lari kepada PAS, KeADILan dan DAP," tambahnya.

Menurutnya juga Umno selama ini secara jelas menyebut agama lain dan politik lain dalam perjuangan mereka. Sedangkan beliau berkata, Islam meminta manusia berpadu sama ada dengan orang Melayu, Cina dan India.

"Kalau perpaduan sebenar biarlah semua kaum dalam BN dan Pakatan Rakyat berpadu," katanya.

Oleh itu beliau meminta supaya mufti terbabit supaya lebih baik menggunakan masa yang berharga untuk mempengaruhi Umno supaya tukar dasar kebangsaan kepada Islam.

"Berapa sen harga kaum Melayu atau bangsa Arab di Padang Mahsyar kelak. Dalam keadaan PAS masuk Perikatan dahulu lalu dengan dijemput pun PAS ditendang keluar. Inikan pula kita yang cuba sorong-sorong kepala. Sebab itu saya tengok sehari dua ini Umno macam orang gila talak pula," katanya.

Harakahdaily

Thursday, June 25, 2009

Gagal Kerajaan Perpaduan: Mufti Perak kecewa bagi pihak BN

25 Jun 09. Tajuk Utama Utusan Malaysia hari ini:

‘‘Tapi saya kecewa. Mereka ini taksub kepada parti sehingga menganggap sesama mereka (dalam parti sendiri dan parti-parti Melayu lain) bukan bersaudara. Politik itu politiklah tapi persaudaraan Islam itu mestilah dijaga, maka haramlah memutuskan tali persaudaraan Islam itu,”

Apapun tunggulah ulasan dari pimpinan PAS dengan kenyataan Mufti Perak Dato Sri Harussani Zakaria ini.

Kenyataan Media PAS Perak (25 Jun 2009)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) kecewa dengan ulasan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkaitan kegagalan merealisasikan kerajaan perpaduan PAS-UMNO yang juga mendakwa PAS sebagai parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam demi menegakkan ideologi politik.

DPPN Pk mengecam kenyataan Tan Sri Harussani yang cuba bersikap berpihak kepada UMNO di dalam isu Kerajaan Perpaduan ini. Mufti yang sepatutnya di lihat tidak berpihak dan sebagai
penasihat Agama kepada Seri Paduka Sultan Perak agar tidak mencemar kedudukannya dan berpihak sebagai suara kepada manamana parti politik.

DPPN Pk akan mengadakan pertemuan bersama dengan Tan Sri Harussani bagi menjelaskan dan menerangkan perkara sebenar penolakan terhadap kerjasama dengan UMNO yang telah dilihat diPerak sendiri cara mereka merampas Kerajaan Pakatan Rakyat Perak pada Februari yang lalu.

DPPN Pk juga meminta supaya isu-isu Agama Islam yang menjadi tanggungjawab Mufti mesti diselesaikan dahulu daripada memberikan kenyataan-kenyataan politik. DPPN Pk berharap agar kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Mufti supaya tidak berpihak kepada UMNO semata-mata tetapi lebih bertanggungjawab jika ianya bertentangan dengan UMNO.

Dr. RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

Tuesday, June 23, 2009

Reda: Tiada lagi bincang Kerajaan Perpaduan -Presiden PAS

K.LUMPUR, 22 Jun 09. Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini menegaskan pihaknya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendieri menyatakan, dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.

Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno-BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Bilik Ketua Pembangkang, Bangunan Parlimen hari ini.


ImageTurut hadir ialah, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan Dato' Seri Nizar Jamaluddin.

Sementara di pihak KeADILan, Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah; anggota MT KeADILan, Saifuddin Nasution, dan di pihak DAP pula, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng; Dato' Ngeh Ko Ham.

Sementara itu, Anwar yang membacakan kenyataan mewakili Pakatan Rakyat menyebut, akatan Rakyat menolak pengwujudan kerajaan perpaduan.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang," katanya.

Majlis pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan Perpaduan dengan Umno-BN, yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan serta tindakan terdesak Umno mengugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat, tegas Anwar.

ImageMenyokong pandangan itu, Salahuddin Ayub pula menyatakan kenyataan tersebut sebenarnya adalah muktamad dan ini bermaka tidak akan ada lagi 'unity talk' dengan Umno.

Malah Salahuddin kelihatan gembira dengan perkembangan itu yang seterusnya dilihat akan membuatkan Umno kelemasan.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Mahfuz pula memberi analogi bahawa 'Umno kini kehilangan tabung oksigen' apabila isu kerajaan perpaduan ini telah ditamatkan dengan kenyataan pimpinan pakatan.

Kenyataan itu juga sebagai satu usaha menutup talian hayat yang ada pada Umno/BN yang selama ini mengucarkacirkan pakatan dnegan penyelewengan isu kerajaan perpaduan, ujarnya.
Harakah daily

Friday, June 19, 2009

Kenyataan Ketua Penerangan PAS berhubung situasi kini

18 Jun 09 SEMUA ahli PAS diminta bertenang dalam menghadapi ujian yang begitu mencabar dalam kepimpinan parti. Semua ini akan menguji kematangan pemimpin untuk menguruskan krisis.

Insya-Allah PAS yang mempunyai bahtera yang kuat dan kukuh mampu untuk menghadapi semuanya ini. Kalau Umno-BN yang mempunyai bala tentera dan kewangan daripada "qarun-qarun" yang ada di atas muka bumi ini pun kita mampu hadapi.
Maka sudah barang pastilah masalah yang berlaku pada hari ini, insya-Allah dapat diatasi dengan baik dan elok. Saya yakin bahawa ahli PAS yang matang dalam sepak terajang politik akan merasa tenang apabila kita tahu kekuatan yang ada pada PAS dan organisasinya.

Ini kerana PAS adalah milik kita semua. Ia tidak boleh dimonopoli oleh sesiapa pun. PAS ada peraturan dan perlembagaan yang kemas dan teratur.

Iltizam kita ialah bersama dengan Pakatan Rakyat dan berhadapan dengan Umno-BN dalam apa suasana sekalipun.

Media cuba memainkan isu bahawa PAS hendak mewujudkan perpaduan Melayu. Secara tidak langsung mereka cuba melontarkan fitnah bahawa PAS hendak meninggalkan Pakatan Rakyat. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato' Setiausaha Agung pada 17 Jun lalu telah menjelaskan kekeliruan ini.

Kerajaan Perpaduan hanyalah lontaran idea sahaja daripada Presiden PAS. Sebarang keputusan dan polisi parti yang hendak dibuat akan dibincang terlebih dahulu dalam parti.

Insya-Allah, segala keputusan yang diputuskan itu akan kita sampaikan kepada semua pihak sehingga ke peringkat akar umbi melalui majlis taklimat khas.

Yakinlah firman Allah SWT, yang bermaksud: "Hendaklah kamu bermesyuarat dalam urusan kamu." Dan maksud sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Berjamaah itu rahmat."

Oleh itu kita boleh berbincang untuk mendapat maklumat sahih melalui mesyuarat, muzakarah, usrah, liqa. Inilah mekanisme parti yang paling baik untuk kita menyuarakan masalah dan kritikan kepada parti. Sekarang zaman canggih, maka bolehlah kita hubungi pimpinan untuk mendapat penjelasan.

Segala keputusan politik yang PAS buat selama ini semuanya bersandarkan kepada nas syara' dan fiqh siasi.

Kita bertahalluf dengan parti bukan Islam dan ideologi yang berbeza, semuanya merujuk kepada nas syarak. Bukan senang hendak meyakinkan ahli bagaimana kita dibenarkan mengundi calon bukan Islam yang bertanding atas tiket parti yang bertahalluf dengan kita.

Semua ahli PAS perlu berhati-hati dalam menghadapi isu ini. Ini kerana musuh sentiasa memasang perangkap untuk menjayakan misi mereka bagi memecah-belahkan di kalangan ahli dan pimpinan.

Dapatkan maklumat rasmi daripada akhbar rasmi Harakah, laman web Harakahdaily dan akhbar Siasah supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Tunggu dan sabarlah untuk mendapatkan penjelasan rasmi daripada pimpinan dalam isu ini. Rapatkan saf jamaah supaya syaitan tidak menyusup masuk ke dalam parti kita.
Ustaz Idris - Ketua Penerangan PAS Pusat
Harakah daily

Thursday, June 18, 2009

Umno perangkap PAS isu Kerajaan Perpaduan - Nik Aziz

K-Bahru, 18 Jun 2009 Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu berkaitan kerajaan perpaduan yang diriuh rendahkan sekarang hanya sekadar kenyataan peribadi pemimpin tertentu yang tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat.

Katanya setakat ini tiada sebarang kertas agenda yang dibawa dalam mesyuarat PAS atau bersama Pakatan Rakyat.

Oleh itu kata beliau isu tersebut tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan PAS kerana ia merupakan satu pandangan peribadi pemimpin tertentu sahaja.

"Kerana itulah pemimpin Pakatan Rakyat pun tidak tahu, begitu juga dengan pemimpin PAS yang lain. Jadi bagaimana nak hubungkaitkan dengan PAS berhubung isu kerajaan perpaduan.

"Bawalah dulu benda itu dalam mesyuarat parti, kemudian dalam Pakatan, kalau PAS dan Pakatan Rakyat bersetuju lainlah masalahnya.

"Ini dengan Pakatan tidak dibincang dalam parti pun begitu juga, macamana kita nak proses benda ni.. sebab tu saya kata benda ni direka oleh boneka Umno," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, kalau semua pihak setuju, maka setiap wakil sama ada dari PAS, KeADILan dan DAP mungkin ada yang bakal menjadi menteri.

Kata beliau sekiranya perkara itu boleh berlaku barulah benar-benar dikatakan sebagai kerajaan perpaduan.

"Tetapi apa yang berlaku ini perpecahan. Umno sekarang sedang berpesta. PAS dah masuk perangkap. PAS sesama PAS dah nampak macam nak berpecah dah.. bercelaru.

"Begitu juga PAS dengan Pakatan Rakyat juga nampak bercelaru. Ini bererti mereka menganggap telah berjaya memecah belahkan PAS.

"Tetapi Alhamdulillah dapat dibendungkan dengan kenyataan saya sebelum ini," tambahnya.

Wednesday, June 17, 2009

Kenyataan Tim.Presiden PAS perjelas tiada Unity Goverment dgn BN


KUALA LUMPUR, 16 Jun. Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa berkata parti itu berpendirian terbuka untuk perbincangan tentang perpaduan dan bukannya kerajaan perpaduan.

Beliau menerangkan kepada pemberita di Parlimen hari ini bahawa PAS melihat ada peluang untuk memberikan cadangan-cadangan baik kepada kerajaan bagi membantu menyelesaikan kemelut politik, ekonomi dan sebagainya.

"Pendirian kita sepertimana tuan-tuan sedia maklum, PAS sentiasa membuka ruang untuk berbincang dengan sesiapa sahaja. Ini adalah keputusan yang dibuat di Muktamar Ipoh pada tahun lepas dan perkara itu disebut sekali oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar beliau dan saya rasa isu PAS masuk Umno, masuk Barisan Nasional (BN) tidak berbangkit sama sekali.

"Ini pendirian yang kita ambil, sedia berbincang dengan sesiapa pun dan itu pun keputusan muktamar, sudah tentulah kalau kita tutup ruang untuk adakan perbincangan ini, sedangkan kita rasa kita ada peranan yang boleh mainkan untuk bantu bangunkan negara ini," kata Nasharuddin, yang juga Anggota Parlimen Bachok.

Beliau berkata PAS menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga presiden BN, begitu terbuka untuk menerima perbincangan kerajaan perpaduan.

"Respon (kali ini) yang saya rasa pertama kali agak serius daripada Perdana Menteri, dan saya sendiri bawa balik ke Presiden parti sendiri. Saya tidak boleh cakap bagi konteks parti.

"Kita tidak boleh buat keputusan secara individu. Muktamar merupakan pihak berkuasa tertinggi," katanya.

Mengenai pendirian Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan bahawa sesiapa yang menyokong kerajaan perpaduan adalah boneka Umno, Nasharuddin menyatakan:

"Saya tidak dapat nak ulas apa yang dimaksudkan oleh Tok Guru Nik Aziz, saya sebutkan tadi, kepada umum kalaulah 'unity talk' ini atau 'unity government ini konon-konon usul untuk bawa PAS masuk BN atau Umno, itu bukanlah niatnya."

Berhubung pendirian berbeza anggota PAS mengenai kerajaan perpaduan, beliau berkata: "Ini merupakan sesuatu yang baru, satu perkara besar dan sesuatu yang perlukan penjelasan dan proses ini sedang berjalan."

Bagi parti-parti lain dalam pakatan parti pembangkang, Nasharuddin berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan pakatan itu dalam masa terdekat.
-bernama

Tuesday, June 16, 2009

Hero Rakyat Perak komen penggantungannya di Parlimen

KLUMPUR 15 Jun 2009. YB. Dato' Seri Ir. Nizar Jamaludin, Ahli Parlimen Bukit Gantang apabila dihubungi berkata, tiada sebab bagi Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, untuk menggantung beliau dan enam wakil rakyat Pakatan yang lain.

Katanya, beberapa Ahli Parlimen pernah mengenakan lilitan putih bagi membantah penggunaan ISA pada tahun 2001 terhadap pemimpin pembangkang. "Saya mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan telah mendapatkan kebenaran Speaker untuk mengatakan sesuatu di Parlimen.

"Beliau meminta saya menanggalkan lilitan dan saya telah melakukan. Kemudian saya duduk di tempat saya dan tidak sampai 10 saat, beliau mengarahkan saya keluar Dewan," katanya.
Nizar menambah, beliau kemungkinan mempertimbangkan untuk menyoal penggantungannya apabila kembali ke Dewan Rabu ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya menyokong kempen memakai lilitan "BUBAR DUN". PAS melancarkan kempen itu pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 minggu lalu.

"Apa yang dilakukan oleh Nizar hari ini menunjukkan manifestasi beliau tentang perkara yang berlaku di Perak. Beliau cuba nak sampaikan perkara itu," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Monday, June 15, 2009

Ucapan Dasar Presiden PAS jelaskan maksud Perpaduan dan Kerajaan

Ikutilah IntiPati Ucapan Dasar Presiden PAS di Muktamar PAS ke-55 di Shah Alam seminggu yang lalu semoga dikalangan kita dapat merenungi hasrat murni arah mahu dibawa oleh pemimpin kita. Idea yang dilontar oleh pimpinan tentulah berpijak dari dasar syarak dan jauh daripada tindakan merugikan parti atau gabungan Pakatan Rakyat.

Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat di dalam ucapan Ceramah Perdana malam itu menegur para perwakilan PAS ada yang langsung tidak membahaskan ucapan dasar presiden tetapi berceramah kepada ahli telah faham PAS. Maka ramai yang membuat pelbagai tafsiran dan andaian kadang-kadang terkeluar dari akhlak dan batas jamaah.

MUKADIMAH

Disepanjang tahun selepas PRU lalu, telah berlaku dugaan yang menguji keupayaan pencapaian PAS. Kita juga menghadapi 5 pilihanraya kecil dimana Pakatan Rakyat memenangi semuanya kecuali di Batang Ai, memberi isyarat jelas rakyat menolak kerajaan BN dan bersama dengan perubahan.
Namun tindakan menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak secara tidak demokratik dengan senjata peras ugut dan rasuah politik bagai menghancurkan harapan rakyat selama ini. BN berselindung disebalik mahkamah, eksekutif dan agensi kerajaan untuk menghalalkan tindakan tanpa susila. Kuasa perundangan, kehakiman dan eksekutif terhormat dan tinggi, telah mendapat imej tercemar dan tercalarnya demokrasi negara kita.

ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN

Tema yang dipilih ‘Islam Memimpin Perubahan’ pada Muktamar tahunan PAS tahun ini berketepatan dengan suasana kecelaruan dan kepincangan samada kehidupan rakyat mahupun kepimpinan. Kepercayaan Islam adalah penyelesaian memerlukan usaha dari PAS. Manisia bersikap yang terlalu materialistik penyebab kepada kemerosotan nilai kemanusiaan dan maruah bangsa. Gagasan politik Islam adalah penyelamat dan penyelesaian kepincangan setelah sistem yang terpakai gagal menyempurnakan aturan hidup masyarakat.

Slogan BN yang silih berganti adalah komestik sekadar ada jasad yang tiada roh. Slogan Satu Malaysia diperkenalkan gagal menyatukan umat selagi rasuah dan ketidakan seimbangan agihan masih belum dapat ditangani. Penyalah-guna kuasa eksekutif, legistif dan kehakiman mengakibatkan demokrasi semakin mundur.

Pendidikan dan pelaksanaan Islam dibatasi dengan acuan UMNO untuk mengekal kuasa dan bermatlamatkan dunia maka lahirlah anak-anak tidak bermoral dan tidak beramanah.

Keadilan Islam bersesuaian dengan fitrah manusia yang akan merungkai permasalahan masyarakat. Zaman menuntut perubahan, rencanakan perubahan mengikut keserasian fitrah ummah. Islam menuntut kepimpinan yang ada tanggung-jawap dan ikhlas mendapat kebaikan dunia dan akhirat.

Perubahan Islam menepati fitrah itu, ia adalah lengkap sesuai sepanjang zaman. Ketetapan dan cara hidup hidup yang diredhai Allah dan Rasul dengan berpandukan Al-Quran dan hadis Rasululah.

“Wahai orang-orang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana (adil) itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguh Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan.” Surah Al-Maidah ayat 8:

PAS merupakan organasasi politik siasah Islam mengemukakan nilai-nilai keadilan Islam dengan penerusan usaha dakwah dan tarbiah. Berteraskan sifat saling hormat menghormati kepada masyarakat berbilang kaum. Tampil dengan model ikutan bagi penyelesaian masalah dan penyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Perubahan yang direalisasi berdasarkan kerangka dan rujukan Islam yang dipimpin oleh kalangan ulama. Oleh itu PAS bersedia menerajui perubahan dan memikul amanah kepimpinan Negara Malaysia selepas Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

DALAM NEGARA
1. PAS memperjuangan Kemerdekaan Bangsa, Bahasa Melayu dan Ugama Islam
2. Membersihkan maruah dan nama baik pemimpin negara di mata dunia
3. Memperkasakan memartabatkan Bahasa Melayu
4. Mengkaji semula akta ISA, OSA, Akta Polis, Akta Mesin Cetak dll.
5. Pilihanraya yang bebas dan diskriminasi kepada pembangkang

IKLIM EKONOMI
1. Kegagalan Sistem Riba dan kapitalis
2. Penyelewengan kuasa, rasuah, kronisme dan nepotisme
3. Negara dan rakyat yang beban dengan hutang dan kos hidup
4. PAS membawa Pembangunan dengan semangat ‘perkongsian’ adil dan saksama.

PEMERKASAKAN ORGANISASI
1. Cabaran kini dan akan datang yang mencabar memerlukan petugas dan sistem yang kemas dan lengkap
2. Ketahanan diri dengan tarbiah dengan pemikiran dan kefahaman yang jitu.
3. Kelab Penyokong PAS

SABAH DAN SARAWAK
Mengembangkan sayap PAS dengan kekerapan kunjungan pemimpin ke sana.

PERANAN DEWAN-DEWAN
Dewan Ulama:
Memberi kefahaman pejuangan Islam kepada ahli PAS dengan mengatur Program dan Seminar. Menyumbang tenaga untuk dakwah, tarbiah, amal dan kebajikan.

Dewan Pemuda
Mengakhlakkan aktiviti hiburan, sosial, sukan dikalangan anak muda.
Melahirkan penyokong dan penggerak untuk berbakti kepada Parti dan masyarakat.

Dewan Muslimat
Golongan wanita meramkumi melebihi 50% komposisi penduduk perlu pemerhatian penting.
Menerajui agenda isu-isu wanita di bandar dan di luar bandar

ANTARABANGSA
1. Menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara luar untuk kepentingan politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.
2. Membela nasib umat Islam di negara-negara umat Islam yang ditindas

PENUTUP
Menyeru semua peringkat menggukuhkan hubungan ukhwah dan persaudaraan dalam saff jemaah. Beriktizam melakukan perubahan, menonjolkan kepimpinan Islam dengan hikmah kepada harapan rakyat dari pelbagai kaum, ugama dan budaya.

Bersedia untuk berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasaikan “Islam Memimpin Perubahan”. Bersama mengeratkan persefahaman dan keserasian setiakawan untuik melancarkan gerakerja di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat. Menyerlahkan kreadibiliti dan perpaduan pakatan rakyat untuk menempah kejayaan yang lebih besar dalam PRU ke-13 nanti. Insya Allah.

Friday, June 12, 2009

Demo bantahan kekejaman saudara Islam Thailand di Ipoh


IPOH 12 Jun 09. Satu Demo Bantahan dan Solat Hajat telah diadakan oleh umat Islam Perak selepas solat Jumaat di Masjid Negeri, Ipoh. Solat Hajat telah diipimpin oleh iman Masjid Negeri sejurus selepas solat Jumaat yang disertai lebih dari 1000 orang jemaah. Selepas itu para jemaah berhimpun di perkarangan Masjid dengan ucapan bantahan dan laungan mengutuk kekejaman golongan kuffar di negara Thailand yang diketuai oleh Ustaz Nor Azli Musa serta barisan Pemuda PAS Negeri Perak.
Nor Azli ketika ditemui berkata, tindakan ini sebagai menunjuk simpati dan menuntut usaha kerajaan Malaysia menyelesaikan jiran terdekat umat Islam. Bukan saja peristiwa kekejaman terbaru ini sahaja tetapi pembunuhan lebih 3700 orang dan pemusnahan harta benda semenjak peristiwa Tak Bai lalu. "Usaha bantahan ini akan diteruskan lagi di peringkat nasional di Kuala Lumpur nanti." ujarnya.
Selatan Thailand bergolak lagi pada 9 Jun lalu bila 11 jemaah ditembak ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Sungai Golok kira-kira pukul 8.50 malam (waktu Malaysia).

Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.
Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.
Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.

Thursday, June 4, 2009

Islam Memimpin Perubahan: Suara PAS bukan lagi pembangkang

Oleh :
AF. Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS

Bilamana Presiden mengutarakan gagasan 'Kerajaan Perpaduan', ramai di kalangan kita membuat pelbagai tafsiran dan andaian. Ada pandangan terkeluar dari akhlak jamaah dan sebahagian besarnya masih dalam batas berjamaah. Kesemua permasalahan ini berpunca dari tiada satu penjelasan lengkap dikeluarkan.

Idea yang dilontar oleh pimpinan tentulah berpijak dari dasar syarak dan jauh daripada tindakan merugikan parti atau gabungan Pakatan Rakyat. PAS tidak akan mengkhianati Pakatan kita, bahkan kita akan perkukuhkan gabungan ini menjadi alternatif bagi rakyat. Sebagai ahli parti, kita mesti menerima idea dan gagasan ini dengan baik sangka kepada presiden disamping mengikuti penjelasan daripadanya.

Idea ini dilontar diperingkat awal untuk menjadi bahan renungan semua pihak. Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya. Saya suka jelaskan bahawa YB Dato’ Sri Presiden akan membuat dan memperhalusi gagasan ini dalam masa terdekat dan satu wacana kepimpinan akan diadakan.

Namun bagi mengurangkan sedikit polemik yang sengaja dibesarkan oleh media arus perdana, saya suka menggambarkan beberapa prinsip yang ujud dalam gagasan ini. Antara asas utama dalam kerajaan perpaduan ini ialah bertolak kepada firman Allah


“ dan bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong Bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”.

Asas pertama ialah At Taawun

Konsep taawun yang melahirkan muafakat yang disaran oleh Allah menjadi asas dalam pembinaan Negara Perpaduan. Kita mesti membina Negara berasaskan kepada al-bir( Kebaikan ) yang meliputi semua elemen kebaikan bagi rakyat.

Kita mesti menyedari pembinaan Negara Perpaduan tidak akan lahir dari sistem yang kelam kabut, rasuah dan penyelewengan, pimpinan yang tidak berakhlak, sistem yang penuh dengan kezaliman, dan akta yang digunakan bagi menindas rakyat.

Apakah al-bir dari sistem begini. Kita mesti letakkan asas al-bir ini untuk kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Asas ini dituntut oleh Allah, apakah ada diantara kita yang tidak inginkan kebaikan?

Asas kedua ialah Taqwa.

Negara mestilah menjurus ke arah melahirkan pimpinan yang bertaqwa, agar rakyat yang kita urus bukan hanya selamat melalui al-bir ( kebaikan sistem Negara ) tetapi mestilah ujud elemen taqwa.

Pemimpin mestilah bertaqwa kepada Allah. Asas al bir bersifat umum, tetapi asas taqwa bersifat khusus bagi pimpinan yang ingin menerajui kepimpinan Negara perpaduan. Semua parti politik yang pimpinannya terdiri dari mereka yang menerima Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad sebagai Rasul hendaklah sedar bahawa kehidupannya tidak berakhir di dunia. Bagaimana kita ingin melahirkan rakyat yang baik, seandainya kita sendiri bergelumang dengan dosa dan maksiat.

Kepimpinan gagal menjadi model bagi rakyat, isteri pimpinan menjadi elemen yang meruntuhkan akhlak dan jati diri bangsa. Hidup tanpa batasan agama dan kawalan wahyu. Negara yang baik lahir dari kepimpinan yang baik, dan taqwa adalah asas bagi semua kebaikan. Rakyat mestilah menyedari betapa Negara kini sangat-sangat memerlukan pemimpin yang bertaqwa bagi memandu Negara.

Kami menawarkan asas yang Allah menyuruh kita berpegang; apakah ada panduan yang lebih baik dari panduan Ilahi?. Apakah parti-parti politik bersedia kearah itu, dan seandainya tidak bersedia apakah alasan dihadapan Allah nanti di akhirat bila Allah meminta kita menjelaskan kenapa dan mengapa.

Asas ketiga ialah menolak al Ism

Kita menyatakan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam pembentukan kerajaan ini sebuah kerjasama kearah durhaka kepada Allah. Konsep al-ism yang sangat luas menjadi sempadan pembinaan kerajaan perpaduan. Kita sebagai pimpinan mesti berusaha agar rakyat tidak terdedah kepada dosa dan maksiat.

Kita perlu membina Negara yang Soleh melalui pemimpin dan rakyat yang Soleh. Kita mesti meletakkan asas utama agar semua elemen yang mendatangkan dosa bagi rakyat dihapuskan; kerana kebaikan tidak akan lahir dari maksiat dan mungkar.

Setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, pelbagai sistem yang mendedahkan dosa dipaksakan ke atas rakyat. Amalan riba yang berterusan, pusat-pusat maksiat diberi ruang yang luas oleh pemerintah, program maksiat mendapat tempat di hati rakyat sehingga lahirlah pelbagai gejala sosial, jenayah dan penyelewengan.

Akibat Negara yang tidak diasas kepada benteng kawalan yang menjadi syarat utama kebaikan bagi rakyat. Inilah syarat kami bahawa kami tidak akan berkompromi dengan perkara dosa dan durhaka kepada Allah yang diizinkan oleh pemimpin Negara Perpaduan. Apa makna perpaduan, kalau untuk durhaka kepada Allah, kerana tiada makna kemajuan dan perpaduan kalau ia dibentuk kea rah maksiat dan dosa.

Asas keempat ialah menolak al U'dwan

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah ialah kami tidak akan berkerjasama kearah permusuhan. Kita mesti menghentikan sebarang elemen perkauman sempit yang mendorong ujudnya jurang antara kaum di negara ini.

Kecintaan kepada bangsa sendiri adalah fitrah manusia. Islam tidak menghalang setiap kaum menyintai kaumnya, tetapi Islam menentang tindakan zalim kepada kaum lain. Kerana kaum, bangsa dan warna kulit adalah ketentuan Allah, bukan pilihan manusia.

Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan sebarang elemen kearah permusuhan, samada di kalangan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Pertembungan antara dalaman setiap kaum akan merugikan Negara.

Kita tidak akan membiarkan permusuhan antara orang Melayu sebagaimana kita tidak akan izinkan permusuhan sesama kaum India dan Cina. Ini asas kita. Tindakan mengapi-api permusuhan, elemen gensterism dan kongsi gelap, gerakan anti perpaduan serta membiarkan jurang kaya dan miskin melampau, elemen penindasan dan kezaliman golongan kaya berpengaruh ke aras rakyat miskin dan tertindas akan menjurus ke arah permusuhan.

Saya ingin tegaskan bahawa inilah antara beberapa asas dalam kerajaan perpaduan. Andainya ada pihak yang menentangnya, apakah alasan kalau inilah yang digariskan oleh Allah dalam konsep al-taawun.

Taawun sebagai satu gagasan, bukan hanya terikat dengan taawun fardiyyah; tetapi satu gagasan besar yang hebat dari Allah. Di samping asas tersebut, terdapat beberapa asas lain yang akan dijelaskan kemudian.

Nizar Fail Rayuan ke Mahkamah Persekutuan Isnin ini

IPOH 3 Jun 09: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan Isnin ini 8 Jun, berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Walaupun masih belum menerima penghujahan bertulis keputusan Mahkamah Rayuan 22 Mei lalu yang membenarkan Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar, namun ini tidak menghalang langkah Mohammad Nizar Jamaluddin untuk memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

"Kita masih belum menerima penghujahan bertulis daripada Mahkamah Rayuan. Walau bagaimanapun setelah berbincang dengan peguam pihak kami akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan pada hari Isnin 8 Jun ini," kata Nizar.

Beliau berkata, pihaknya turut membuat keputusan memohon Mahkamah Persekutuan menggunakan panel hakim maksimum iaitu sembilan orang bagi mendengar kes itu.
Hakim Mahkamah Rayuan Md Raus Sharif sebelum ini berkata penghakiman bertulis akan dikeluarkan pada 29 Mei.

Bagaimanapun faks daripada pejabat Mahkamah Rayuan memberitahu bahawa mahkamah tersebut masih dalam proses menyediakan penghakiman bertulis tersebut menurut peguam Nizar, Leong Cheok Leng.

"Kita berharap akan menerima dokumen tersebut pada minggu ini supaya kami dapat bersedia untuk proses rayuan kepada Mahkamah Persekutuan," katanya.
"Adalah agak sukar bagi peguam saya untuk merangka soalan berperlembagaan (dalam rayuan) tanpa melihat alasan bertulis penghakiman itu.

"Bagaimanapun, kami terpaksa meneruskan juga tindakan memfailkan rayuan atas dasar perlu disegerakan (urgency) sebab kami hanya ada masa yang singkat dan tidak mahu menunggu lagi,” katanya.
Nizar mempunyai tempoh masa sebulan daripada tarikh keputusan secara lisan untuk memfailkan rayuan beliau.

Beliau akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang apabila Parlimen menyambung sidang 15 Jun depan.


Wednesday, June 3, 2009

Masjid Cina Muslim pertama di Perak bakal dibina di Ipoh

IPOH 2 Jun 2009: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah perkenan meluluskan permohonan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Taman Tasek Jaya Ipoh bersama Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh untuk membina sebuah masjid baru di Taman Tasek Jaya Ipoh.

Demikian titah baginda pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 166 di Kompleks Islam di sini, semalam. Kerajaan yang diterajui oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 10 Ogos 2005 telah bersetuju merizabkan kawasan seluas 3,776 meter persegi di Taman Tasek Jaya bagi tujuan pembinaan masjid itu.

Titahnya, reka bentuk masjid tersebut akan menerima pakai ciri-ciri seni bina kebudayaan Cina.
“Masjid ini akan dapat menjadi pusat ibadat, pusat perkembangan ilmu, pusat maklumat, pusat kemasyarakatan untuk manfaat tujuh kawasan perumahan Bandar Tasek di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh. “Beta suka menyarankan supaya komponen pusat niaga dan kafeteria turut dimasukkan supaya masjid ini memiliki kemudahan yang lengkap,”

Baginda turut mengumumkan geran pelancaran sebanyak RM2 juta yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak untuk pembinaan masjid itu.

Selain itu, baginda menghargai peranan aktif salah seorang ahli Majlis, Tan Sri Datuk Dr Ahmad Azizuddin Zainal Abidin yang berperanan menjadi penasihat utama kepada projek berkenaan di samping Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah dan Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor Al-Hafiz.

Titah baginda, keindahan dan kesempurnaan Islam akan lebih terserlah dan meyakinkan jika kegiatan yang dianjurkan atas nama Islam dapat diterjemahkan kepada masyarakat.

"Islam tidak hanya indah secara teori bahkan lebih terserlah dalam amalan hidup seharian.

“Contoh teladan yang murni dan sifat `kota apa yang dikata’ merupakan pendekatan dakwah lebih ketara dan bermakna berbanding aktiviti berbentuk kuliah dan ceramah," titah Baginda.
-Sinarharian
YB Drs Idham Lim, ADUN Selingsing telah menjadi pembahas pertama semasa dalam Persidangan Bajet DUN Penggal ke 12, mewakili Pakatan Rakyat. Beliau telah menyatakan mengenai perkara ini dengan jelas dan supaya dipercepatkan. Alhamdulillah perkara tersebut telah diberi perhatian dan diperkenan oleh DYTM Raja Muda Perak pada 2 Jun baru ini.
Semasa dalam Persidangan Bujet itu, Idham Lim berucap dengan menyebut "Saya juga mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mempercepatkan penubuhan Masjid Cina Muslim yang pertama di negeri Perak. Maka kewujudan Masjid ini dengan ciri reka-bentuk dan unsur tertentu akan menambahkan lagi kehebatan Islam sebagai agama yang sejagat, khususnya membuktikan bahawa Islam bukan hanya milik sesuatu bangsa. "

Tuesday, June 2, 2009

Barangkali 'Buah Kebencian' bakal menimpa lagi Zambry'

Dato' Seri Zambry Abdul Kadir menulis di blognya:

"Saya sempat meninjau kejadian angin kuat yang memukul kawasan pantai DUN Pasir Panjang sehingga membawa ke kawasan Rungkup.

Alhamdulillah tidak berlaku sebarang perkara lebih buruk seperti kehilangan nyawa. Apa yang agak menarik dalam kebanyakkan rumah yang saya lawati itu, ada sebuah rumah yang menjadi perhatian saya.

Saya melawat rumah keluarga nelayan yang ditimpa pokok kelapa. Mengikut maklumat yang saya terima keluarga nelayan ini membina rumah di atas tanah yang bertuan yang juga jirannya.

Bila sampai saya, Dato' Seri Kong Cho Ha (Ahli Parlimen Lumut dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Pegawai Daerah dan YDP Majlis Perbandaran Manjung, meletakkan kereta di kawasan jalan ke rumah mangsa.

Kebetulan hanya ada dua buah rumah sahaja di situ, satu rumah tuan tanah dan satu lagi rumah mangsa. Apa yang mengejutkan pemandu saya, Tuan DO, Menteri, dan YDP ialah bila tiba-tiba sahaja tuan rumah (yang berusia awal 40an) meluru ke arah kereta dan mengarahkan supaya keluar dan melarang kereta kami diletakkan disitu.

Katanya dia juga bayar cukai dan dia punya hak untuk benarkan siapa masuk. Masing-masing tercengang lihat gelagatnya sehingga ketua kampung hilang sabar.

Bila ditanya rupanya dia tidak suka Menteri Besar datang melawat mangsa kerana beliau menyokong parti lain.

Cuma apa yang saya katakan biarlah dia dengan sikap yang bengis itu sehingga sudah hilang rasa kemanusiaan untuk sama-sama membantu orang dalam kesusahan. Saya tidak terkejut melihat watak-watak seperti orang itu.

Inilah hasilnya bila benih kebencian dan permusuhan ditanam, maka buah dipetik adalah buah kebencian dan permusuhan. Saya tidak salahkan dia, tapi saya salahkan orang yang menanam benih itu."

Itulah yang dikuatiri akan berlaku selepas peristiwa penyingkiran Dato Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri besar Perak secara yang tidak sah