Wednesday, June 3, 2009

Masjid Cina Muslim pertama di Perak bakal dibina di Ipoh

IPOH 2 Jun 2009: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah perkenan meluluskan permohonan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Taman Tasek Jaya Ipoh bersama Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh untuk membina sebuah masjid baru di Taman Tasek Jaya Ipoh.

Demikian titah baginda pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke 166 di Kompleks Islam di sini, semalam. Kerajaan yang diterajui oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 10 Ogos 2005 telah bersetuju merizabkan kawasan seluas 3,776 meter persegi di Taman Tasek Jaya bagi tujuan pembinaan masjid itu.

Titahnya, reka bentuk masjid tersebut akan menerima pakai ciri-ciri seni bina kebudayaan Cina.
“Masjid ini akan dapat menjadi pusat ibadat, pusat perkembangan ilmu, pusat maklumat, pusat kemasyarakatan untuk manfaat tujuh kawasan perumahan Bandar Tasek di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh. “Beta suka menyarankan supaya komponen pusat niaga dan kafeteria turut dimasukkan supaya masjid ini memiliki kemudahan yang lengkap,”

Baginda turut mengumumkan geran pelancaran sebanyak RM2 juta yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak untuk pembinaan masjid itu.

Selain itu, baginda menghargai peranan aktif salah seorang ahli Majlis, Tan Sri Datuk Dr Ahmad Azizuddin Zainal Abidin yang berperanan menjadi penasihat utama kepada projek berkenaan di samping Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah dan Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor Al-Hafiz.

Titah baginda, keindahan dan kesempurnaan Islam akan lebih terserlah dan meyakinkan jika kegiatan yang dianjurkan atas nama Islam dapat diterjemahkan kepada masyarakat.

"Islam tidak hanya indah secara teori bahkan lebih terserlah dalam amalan hidup seharian.

“Contoh teladan yang murni dan sifat `kota apa yang dikata’ merupakan pendekatan dakwah lebih ketara dan bermakna berbanding aktiviti berbentuk kuliah dan ceramah," titah Baginda.
-Sinarharian
YB Drs Idham Lim, ADUN Selingsing telah menjadi pembahas pertama semasa dalam Persidangan Bajet DUN Penggal ke 12, mewakili Pakatan Rakyat. Beliau telah menyatakan mengenai perkara ini dengan jelas dan supaya dipercepatkan. Alhamdulillah perkara tersebut telah diberi perhatian dan diperkenan oleh DYTM Raja Muda Perak pada 2 Jun baru ini.
Semasa dalam Persidangan Bujet itu, Idham Lim berucap dengan menyebut "Saya juga mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mempercepatkan penubuhan Masjid Cina Muslim yang pertama di negeri Perak. Maka kewujudan Masjid ini dengan ciri reka-bentuk dan unsur tertentu akan menambahkan lagi kehebatan Islam sebagai agama yang sejagat, khususnya membuktikan bahawa Islam bukan hanya milik sesuatu bangsa. "

1 comment:

  1. Moga Islam terus berkembang di Negeri Perak.

    "Welcome to teh world of Unity"

    "ISLAM Memimpin Perpaduan"

    ReplyDelete