Jika ada minat membaca karya dan tulisan Rustam A.Sani, Pak Sako, Ibnu Muslim yang menghasilkan kupasan senario yang menyingkap minda kita. Tulisan dari Hishamudin Rais tak kurang hebatnya pemerhatian yang membuka mata kepada suasana di Negeri Perak sekarang ini. – tekan tajuk - bumiperak
Hishamuddin Rais:
Apa yang berlaku di Perak ini amat baik sekali. Kelam-kabut dan kacau-bilau yang kita sedang lihat berlaku di Perak ini sekali imbas dilihat tidak mendatangkan faedah kepada orang ramai. Ini satu pandangan yang salah.
Apa yang berlaku di Perak ini adalah satu rahmat untuk seluruh warga Malaysia. Hujan emas sedang turun mencurah-curah di negeri itu.
Untuk pertama kalinya seluruh rakyat Malaysia telah melihat contoh yang amat jelas tentang monarki. Monarki yang selama ini amat lunak dengan ucapan yang molek-molek telah mendodoikan orang ramai. Hasilnya, orang ramai telah terlena dan lalai. Tetiba monarki telah diduga sama ada berdiri tegak menjadi payung rakyat atau bersama kuasa kezalimanTindakan dan keputusan yang diambil oleh monarki di Perak memperlihatkan sifat asli monarki yang jelas. Tingkah laku dan tindakan monarki ini telah melahirkan sentimen republikan di kalangan orang Melayu. Sentimen republikan ini memang sedia wujud dalam hati dan sanubari orang ramai – tetapi tidak meluas.
Apa yang terjadi di Perak telah mengembangkan lagi sentimen republikan ini. Apa yang menarik ialah sentimen republikan ini bukan lahir kerana kempen dan propaganda tetapi kerana tingkah-laku monarki itu sendiri.
Orang ramai yang selama ini melihat Monarki sebagai symbol kesaksamaan dan ketelusan telah mendapat satu pendidikan politik yang amat berharga. Kini, Perak sedang menjadi sekolah politik yang terunggul. Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah, telah menjadi realiti di Negeri Perak.
Sekolah politik yang sedang berjalan di Perak ini juga sedang mendidik warga seluruh Malaysia untuk lebih waspada agar mengetahui hak-hak mereka dalam perlembagaan. Untuk pertama kalinya , warga Malaysia telah disedarkan untuk bangun membaca dan memahami beberapa fasal dalam perlembagaan Perak.
Hasil dari krisis ini, warga Perak khususnya telah mengetahui peranan raja, peranan Menteri Besar, peranan Tuan Speaker dan had-had yang diwujudkan dalam perlembagaan. Selama ini tidak ramai warga yang ingin mengambil tahu secara terperinci tentang hal-hal perundangan. Mereka lalai dan membiarkan para peguam untuk mentafsir hal perundangan. Apa yang sedang berlaku di Perak telah mendidik rakyat agar mereka sendiri wajib mengetahui dan memahami hak dan kuasa sebenarnya berada dalam tangan mereka.
Najib Razak berniat merancang ‘rampasan kuasa’ di Perak kerana ingin memperlihatkan bahawa dirinya bukanlah selembik seperti Abdullah Badawi. Rampasan yang dilakukan sebelum peralihan kuasa ingin dijadikan sebagai tiupan sangka-kala untuk menghapuskan pengaruh Pakatan Rakyat. Tiupan sangka-kala diharap-harapkan dapat membangunkan kembali semangat United Malays National Organisation yang telah pecah bertaburan sesudah 8 Mac 2008. Harapan ini jelas telah pancit.
Dari hari ke hari, Perak sedang menjerut leher United Malays National Organisation. Pemanjangan krisis ini amat baik untuk Pakatan Rakyat. Lagi lama Perak menanah lagi subur sokongan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat. Hari ini, MCA, Gerakan dan PPP – komponen Barisan Nasional – telah mula bersuara seirama dengan nada Pakatan Rakyat. Ini adalah tanda-tanda politik sihat di mana elemen-elemen demokrat di dalam Barisan Nasional telah bersuara.
Badan-badan NGO seperti Suhakam dan Majlis Peguam juga telah bersuara.
Lembaga-lembaga ini telah menyatakan pandangan mereka untuk menolak tindak-tanduk yang dilakukan oleh united Malays National Organisation dalam usaha mereka untuk mengambil-alih kuasa pentadbiran di Perak. Malah dari dalam United Malays National Organisation sendiri, kita telah mula mendengar suara-suara yang tidak mempersetujui langkah dan tindak-tanduk yang telah diambil oleh Najid Razak. Ini adalah tanda-tanda bahawa masih wujud elemen sihat dan sentimen demokrat di dalam United Malays National Organisation. Suara-suara ini bukan suara musuh tetapi suara sahabat.
Krisis adalah dugaan. Krisis di Perak telah menduga Pakatan Rakyat. Dugaan ini telah memperkukuhkan lagi setiakawan di antara Parti Pas, KeADILan dan DAP. Semangat setiakawan yang kukuh dan berpanjangan akan lahir dalam kancah perjuangan. Perak adalah medan tempur yang menduga tiga buah parti politik untuk mengenepikan agenda sampingan dan menerkam kepada agenda induk. Kebijaksanaan berpolitik di Perak akan dapat membezakan yang mana kayu dan yang mana hutan.
Setiakawan ini telah dilihat dengan amat jelas sekali di dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang. DAP yang selama ini dimomokan sebagai parti keCinaan telah diterima oleh orang Melayu. PAS yang selama ini dimomokan dengan hukum hududnya telah menerobos masuk ke dalam kawah Cina. Ini adalah perkembangan yang amat menakutkan untuk United Malays National Organisation.
Dua buah parti ini selalu digunakan sebagai senjata ampuh oleh United Malays National Organisation untuk memecah-belahkan orang-ramai Di Perak, orang Melayu tidak lagi was-was dan gentar untuk menerima DAP. Di Perak, orang Cina tidak lagi takut untuk menerima PAS. Setiakawan seperti ini pasti akan menakutkan sesiapa sahaja yang mengamalkan politik racist dan perkauman.
Dalam kancah pertempuran pucuk pimpinan juga akan diduga. Krisis di Perak telah memunculkan dua ikon kepimpinan yang unggul – Nizar dan Siva. Kalau dipermulaan era reformasi dahulu yang muncul hanya Anwar Ibrahim yang pada mulanya masih dilihat sebagai perwakilan ikon Melayu. Anwar mengambil masa yang agak lama untuk menyakinkan warga bukan Melayu bahawa reformasi adalah agenda untuk semua.
Berbanding dengan Krisis Perak secara sepontan, Nizar dan Siva telah dilihat sebagai pemimpin yang mewakili semua bangsa. Tidak timbul apa-apa persoalan atau was-was seperti yang terjadi kepada Anwar Ibrahim. Ini membuktikan telah ada anjakan dan kedewasaaan pemahaman politik untuk semua warga Malaysia.
Apa yang berlaku di Perak ini, tidak banyak bezanya dari apa yang berlaku pada tahun 1998 dahulu. Pada malam 20 September 1998 Anwar Irahim telah ditangkap di rumahnya. Episod penangkapan ini telah menjadi ombak besar yang membuka gelombang reformasi. Pada malam itu, mata rakyat Malaysia telah terbuka untuk melihat kezaliman yang diwakili Mahathir Mohamad.
Di Perak, episod ini berulang lagi. Pada 7 Mei 2009 yang lalu, sekali lagi mata rakyat terbuka apabila melihat Sivakumar diheret keluar dari kerusi Tuan Speaker dan dikurung agar kuasa dapat dirampas. Kini sekali lagi satu Malaysia telah terbuka mata untuk melihat penerusan kezaliman yang diwakili oleh Najib Razak.
Samada DUN dibubar atau tidak dibubar bukan lagi persoalan . Sekolah politik yang sedang dibuka di Perak wajib disebarkan ke seluruh negara. Aktivis dan angkatan muda dari Pakatan rakyat wajib menjelajah ke perusuk tanahair untuk membawa sekolah politik ini.
Ombak perak ini wajib terus dikembangkan. Bara kemaraan rakyat jangan dipadam-padamkan malah wajib terus dikipas dan dibakarkan. Musim menuai hanya akan sampai apabila pilihanraya umum diadakan. Perak sedang membawa hujan emas kepada Pakatan Rakyat. Lebih lama hujan ini, lebih subur politik Malaysia.
No comments:
Post a Comment