Pengerusi Institut Akhbar Malaysia, Chamil Wariya dan Utusan Malaysia
memohon maaf kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kerana fitnah yang
disiarkan dalam artikel bertajuk 'Politik Baru YBJ' yang diterbitkan
oleh edisi hujung minggu akhbar harian milik Umno itu pada 12 Oktober
2008.
Peguam Zalil Mohd Mess - dalam kenyataan pemohonan maaf yang dibacakan di Mahkamah Tinggi hari ini - berkata artikel itu telah diubah oleh edisi hujung minggu Utusan Malaysia - Mingguan Malaysia - tanpa persetujuan Chamil.
Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Abdul Hamid Sultan Backer
Peguam Sankara Nair yang mewakili Teresa memberitahu mahkamah bahawa
ahli parlimen DAP itu tidak menuntut bayaran kos daripada Chamil.
Katanya, Utusan Malaysia perlu membayar RM50,000 kos sebagai
sebahagian daripada penyelesaian tersebut dan penerbit bersetuju untuk
menyiarkan permohonan maaf itu dalam Mingguan Malaysia.
Chamil, dalam menyuarakan kesalnya kerana menurutnya cerpen yang
dikarangnya itu telah disiar dan dieksploitasi oleh Mingguan Malaysia,
memohon maaf kepada Teresa dan semua yang terlibat.
Katanya, (suntingan) cerpen tersebut bertujuan untuk melaga-lagakan beliau dengan Teresa.
"Saya juga merasa kesal bahawa Mingguan Malaysia telah menyunting
cerpen asal saya dengan cara yang tidak profesional dan tidak beretika
di luar pengetahuan saya dan tanpa persetujuan saya.
"Saya tidak bertanggungjawab terhadap penyiaran cerpen itu," kata Chamil dalam kenyataan empat muka surat itu.
"Dalam cerita rekaan yang saya hantar kepada Pengarang Mingguan Malaysia itu saya
dengan terang dan jelas telah membuat perbezaan yang nyata antara watak
YB J (rekaan) dengan watak Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok. Dalam
karya asal saya itu, YB J hanya mirip kepada watak YB Teresa Kok tetapi
YB J bukan YB Teresa Kok.
"
Katanya, perubahan
ini bukan kecil tetapi adalah fundamental yang merubah keseluruhan
penceritaan, yang jauh berbeza dengan apa yang terkandung dalam
karyanya.
Beliau percaya bahawa penggantian nama YB Teresa Kok dan jawatan
beliau adalah disengajakan oleh editor Mingguan Malaysia dengan tujuan
untuk menjana kontroversi dan skandal.
"Akibatnya saya dan YB Teresa Kok menjadi mangsa kepada kejadian ini," kata Chamil.
Beliau akui bahawa pihak pengarang atau penerbit berhak untuk menukar
atau mengubah sebarang skrip yang dihantar kepada mereka, tetapi berkata
perubahan-perubahan itu, setelah dibuat, hendaklah dirujuk semula
kepada penulis karya asli untuk mendapatkan persetujuan.

No comments:
Post a Comment