Ipoh, 8 Jan 2008 : Menteri Besar YAB Dato Seri Hj Ir Mohamad Nizar bin Jamaluddin dalam perutusan tahun barunya telah mengajak semua kakitangan dan rakyat negeri Perak supaya menjadikan tahun Masehi 2009 /1430 Hijrah sebagai tahun Penyucian Niat.
Turut serta dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Negeri, Dato Dr Abdul Rahman bin Hashim, Mufti Perak, Dato Seri Harussani , Pengarah Jaip, Dato Sheikh Mohd Nor Mansor Al-Hafidz , Ketua-ketua Jabatan serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.
Nizar menyeru mereka supaya sama-sama menjadikan tahun 2009 ini sebagai penjernihan niat masing-masing. Beliau mengingatkan semua penjawat awam bahawa mereka semua adalah penghubung kepada rakyat dan mengajak mereka supaya mengikis dan mencegah rasa sentimen perkauman.
“Jangan biarkan diri menjadi alat sentimen perkauman. Selama 10 bulan tohmahan berbagai rupa cuba memerangkap rakyat yang buta politik kepada sentimen berbentuk perkauman ,tuan-puan sendiri pun tahu,” ujar Nizar.
Nizar mengajak seluruh kakitangan dan penjawat awam yang baru mengerjakan haji supaya sama-sama menghayati laungan talbiah mereka.
“Labbaik Allahumma labbaik, labbaika laa syarika laka labbaik innal hamda wan ni‘mata laka wal mulku laa syarika lak ; Aku penuhi panggilan-Mu, wahai Allah, aku penuhi panggilan-Mu. Tidak ada sekutu bagi-Mu. Sesungguhnya segala puji, segala nikmat dan semua kerajaan adalah milik-Mu. Tidak ada sekutu bagi-Mu,” terang Nizar.
Nizar mengajak mereka supaya mensyukuri segala nikmat Allah itu dengan tidak menyekutuNya , sambil mengingatkan mereka kepada sepotong hadis nabi –Laisa Minni man da’a asabiah – bukan dari kalangan aku siapa yang menyeru kepada asabiah , yakni perkauman.
“Apa guna membawa hasil yang tidak baik untuk anak isteri kita dirumah ; Jangan jadikan projek-projek menyebabkan tuan-tuan terjerumus kelembah neraka,” peringatan Nizar kepada semua penjawat awam disitu sambil merujuk kepada titah ucapan Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah sewaktu baginda bertitah sewaktu merasmikan majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perak tidak lama dulu.
Menurut Nizar , Baginda telah bertitah,
“Suasana ekonomi yang muram ini adalah peringatan ILAHI kepada umat manusia. Bertapa manusia terutama meraka yang diamanahkan kuasa, wajib menginsafi akan tanggung jawab utama menyempurnakan tugas terhadap manusia dan melaksanakan keadilan terhadap alam.Betapa sebahagian meraka yang berkuasa dan berjawatan terlalu asyik dan mabuk dengan kuasa, bersifat tamak dan berlagak angkuh sehingga kuasa sering kali disalahgunakan hingga menjadi punca kepada berlakunya pelbagai bencana,”
“Amatlah perlu bagi negara memilik instrumen berkesan yang berupaya memantau sebarang penyalahgunaan kuasa. Negara juga perlu mengambil langkah-langkah tepat memenuhi tuntutan warga yang berkehendakkan takbir urus yang telus dan sifar rasuah, dengan didukung oleh sistem kehakiman yang adil, yang akan dicapai jika para hakim terdiri dari kalangan meraka yang berintegriti tinggi.”
Nizar turut mengucapkan tahniah kepada Dato Seri Harussani diatas penganugerahannya sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan yang baru lalu. Beliau juga mengalu-alukan diatas perlantikan Dato Sheikh Mohd Nor Mansor sebagai pengarah Jaip yang baru dengan menyifatkan perlantikan itu amat tepat sekali.
No comments:
Post a Comment