Wednesday, December 17, 2008

Camry Pilihan Perak ganti V6

IPOH: Kerajaan Perak hari ini meluluskan pembelian 16 kereta Toyota Camry 2.4 sebagai kenderaan rasmi anggota exco kerajaan negeri dan pegawai kanannya bagi menggantikan Proton Perdana V6 yang dianggap telah uzur. Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat kerana kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana yang digunakan sekarang adalah tinggi disebabkan kenderaan itu sudah lama dan sering mengalami kerosakan.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini, beliau berkata, pembelian itu membabitkan perbelanjaan lebih RM2 juta. “Tempahan sedang diusahakan manakala kereta Proton Perdana yang bermasalah itu akan dijual,” katanya.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri 13 November lepas, kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional sebelum ini dilaporkan telah membelanjakan RM1.3 juta bagi kos penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan rasmi Menteri Besar serta barisan Exco Negeri Perak dari tahun 2004 hingga Mac 2008.

Mengenai satu perkara lain, Mohammad Nizar berkata, pengeluaran status hak milik tanah kekal kepada penduduk di kampung baru dan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dijangka dapat dibuat sebelum 25 Disember ini. Beliau berkata, banyak permohonan telah diterima daripada pemilik tanah untuk mendapatkan status berkenaan. Hasrat kerajaan negeri menawarkan pertukaran status hak milik tanah daripada pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal 999 tahun itu telah menimbulkan kontroversi kerana dikatakan melanggar peraturan dalam Kanun Tanah Negara.
Mohammad Nizar juga berkata, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan supaya semua projek perumahan di kawasan lereng bukit di Perak dihentikan sementara sehingga pemaju mendapat pengesahan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains bahawa projek itu selamat.

Dalam pada itu, Kerajaan negeri Selangor menafikan pembelian 14 buah kereta jenis Toyota Camry bagi kegunaan exco kerajaan negeri seperti didakwa oleh sebuah laman web. Bagaimanapun, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid, mengakui pihaknya sedang meneliti beberapa model kereta bagi menggantikan kereta rasmi kerajaan yang telah berusia lebih lima tahun.

“Kita belum membuat tempahan tetapi ada memanggil syarikat pengeluar kereta seperti UMW Holdings dan Proton Edar dan mereka menghantar risalah untuk kita membuat pilihan,” katanya kepada pemberita di Shah Alam, Khalid berkata antara model kereta yang sedang dipertimbangkan termasuk kereta jenis Proton, Toyota Camry dan Honda.

Semalam, sebuah laman web pembangkang mendakwa kerajaan negeri itu telah membazir sekitar RM600,000 apabila membuat keputusan membeli 14 buah kereta Toyota Camry dengan nilai RM2.1 juta. Menurut laporan laman web itu sebuah kereta jenis Toyota Camry berharga RM168,000 berbanding RM120,000 bagi sebuah kereta Proton Perdana V6.

Khalid berkata ada lebih 10 buah kereta rasmi exco dan pegawai tinggi berusia lebih lima tahun dan kos penyelenggaraanya adalah tinggi. - Bernama

1 comment:

  1. Tuan - tuan Budiman

    Jangan campak diri anda ke dalam api neraka.

    Berkata benar walaupun pahit atau Berdiam jika tidak mampu berkata benar.

    Tindakan kerajaan Perak di anjung kemelesetan ekonomi global ini adalah pembaziran.


    Pembaziran dengan apa hujah sekali pun tetap pembaziran tetap amalan syaitan.

    Tuan-tuan Budiman

    Lebih baik diam dari bersubahat.


    wallahualam

    ReplyDelete