Kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang secara
terbuka menentang Syariat Islam, khususnya undang-undang jenayah
hudud, adalah menyerlahkan sikap Barisan Nasional yang sebenar.
Perlu diingat bahawa UMNO adalah parti teras dalam BN, yang wujud
bersama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lainnya sebagaimana yang kita ulangi
sudah pun diberi amanah menerajui pemerintahan negara Malaysia ini
selama lebih dari lima puluh tahun.
Hakikatnya ialah, bahawa UMNO memimpin kerajaan pusat dan kebanyakan
kerajaan negeri, dengan adanya Biro Agama dalam UMNO itu sendiri, dalam
kerajaannya ada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam - yang diletakkan dibawah
Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO,dan ada menteri
penjaganya.
TETAPIsegala-galanya ini tidak mampu meletakkan Islam itu tinggi
ditempat yang sebenarnya dalam urusan negara Malaysia ini dan dinegeri
yang dipimpin oleh UMNO. Adapun Majlis Fatwa Kebangsaan pula hanya bebas
dalam lingkungan sangkarnya, berkokok mengikut waktu yang disesuaikan
dengan keselesaan UMNO yang menjadi penunggunya.
Soalannya mengapa MCA boleh membuat kenyataan terbuka begitu rupa ?.
Dalam hal ini, MCA bukanlah parti yang patut disoal atau diminta
penjelasan, kerana parti ini hanya mewakili kelompok masyarakat Cina
bukan Islam.Manakala hukum hududpula tidak ada dalam ajaran semua agama
bukan Islam yang dianut oleh ahli MCA.
Parti UMNOlah yang secara khususnya patut dipersoalkan oleh bangsa
melayu yang beragama Islam bukannya MCA, kerana banyaknya urusan Islam
didalam tubuh parti UMNOserta kedudukannya yang memimpin kerajaan pusat
dan negeri.
PAS tidak merasa hairan apa yang berlaku,kerana UMNO adalah Parti
Kebangsaan Melayu, di mana “Islam” hanya menjadi agama yang dianut
secara peribadi kalangan ahli UMNO sahaja. Perlembagaan UMNO juga tidak
meletakkan Islam menjadi dasar, matlamat dan hukum tertinggi.Sifat
individualistik yang menjadi konsep kepada ahli UMNO menyebabkannya
tidak boleh bertindak terhadap ahlinya yang melakukan maksiat yang
besar, apatah lagi yang terlalu kecil, kerana agama adalah urusan
individu.
Ahli UMNO pula boleh menjadi orang yang soleh, paling kuat beribadat,
banyak sembahyang, banyak mendirikan masjid, kerap umrah dan lebih
banyak peluang haji, berkebajikan dalam masyarakat dengan
sebanyak-banyaknya dan sebagainya.
Tetapi ahli UMNOi tidak mampu bercakap atas nama partinya untuk
menegur atau menyanggah kenyataan Presiden MCA, kerana ini akan
bercanggah dengan semangat dan konsep kebersamaan dalam BN yang didukung
sama oleh undang-undang tubuh UMNO yang diselaraskan dengan semua
rakan-rakannya dalam Barisan Nasional.
UMNO lebih mengutamakan konsep pragmatik sekular yang didukung
bersama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lain, dalamgabungan parti-parti
komponen Barisan Nasional. Maka Islam tidak berkuasa dan berdaulat,
hanyalah sekadar menjadicabang yang berteduh dibawah semangat Barisan
Nasional. Maka UMNO tidak ada kelayakan untuk menegur Presiden MCA
sehingga dia boleh bercakap apasahaja termasuk dalam perkara Islam yang
dia terlalu jahil kerana bukan agamanya.
HUDUD
Undang-undang Hudud adalah salah satu daripada hukum jenayahdalam
syariat Islam, bersama dengan hukuman Qisas dan Takzir. Perkataan
“Hudud” bererti batas-batas sempadan Allah yang tidak boleh
dipertikaikan oleh seseorang yang beriman, di mana hukumannya telah
dinaskan oleh Allah secara nyata dalam Al Quran dan Hadith Rasulullah
SAW seperti juga nas wajib sembahyang lima waktu, puasa, zakat , haji
dan pengharaman arak, judi, riba dan lain-lain. Hudud tidak boleh
dinamakan “Hudud PAS” seperti juga tidak boleh dinamakan “sembahyang
PAS”.Hanya yang jahil murakkab sahaja boleh bercakap begitu. Allah
berfirman yang bermaksud:
Maksudnya :“Dan tidaklah harus bagi seseorang yang beriman,
lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan
mengenai sesuatu perkara – mereka tidaklah mempunyai hak memilih
ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat
kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan
kesesatan yang jelas nyata.” (al-Ahzab – 36)
Perkara yang dinyatakan secara nas saperti Hudud dan Qisas tidak
mungkin dicapai oleh akal manusia, maka Allah menyatakan petunjuknya
secara jelas.Rasulullah SAW sendiri, para pemimpin dan ulama selepasnya
wajib menerima dan pihak yang berkuasa pula wajib melaksanakannya di
mana mereka tidak boleh bertelingkah atau khilaf dari segi wajibnya.
Perbincangan dan berbeza pendapat hanya dalam perkara cabang dari segi
mencari bukti dan proses kehakiman yang adil, bukan meninggalkannya.
Keseluruhan undang-undang jenayah Islam lebih bersifat dan
berkonsepkan mendidik masyarakat, maka dikenakan syarat yang ketat
sehingga sukar menjatuhkan hukuman, tetapi undang-undang dan hukumannya
menakutkan sehingga Presiden MCA juga takut.Penjenayah lebih digalakkan
bertaubat sebelum dibawa kemahkamah.Hukum Hudud tidak boleh diampun
setelah diputuskan oleh mahkamah, kerana Hudud menjadi hak Allah bagi
memelihara rukun kehidupan bermasyarakat.
Lucunya, terdapat pula kalangan yang jahil pula cuba berhujah, bahawa
penjenayah akan berkeliaran atau bertambah kerana hukuman sangat sukar
untuk dijatuhkan. Hakikatnya ini tidak akan berlaku kerana sebelum
sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah, pihak yang mendakwa atau pendakwa
akan menentukan samada cukup kesaksian atau tidak untuk kes hudud.
Sekiranya bukti tidak cukup untuk kes hudud bukan bermakna terus
dilepaskan.
Bukti-bukti jenayah ini mungkin cukup untuk di bawa kes ke
perbicaraan takzir – di mana hukuman takzir adalah lebih ringan dari
hukuman hudud.Dalam bahasa mudah difahami waktu ini, hukuman takzir
boleh wujud dalam bentuk kanun keseksaan (penal code) yang hukuman dan beban pembuktiannya jauh lebih ringan dari hukuman hudud.
Setiap penganut Islam sebelum wujudnya PAS dan UMNO wajib beriman
dengan hukum hudud. Maka penganut Islam dalam UMNO wajib bertegas dan
istiqamah dengan Islamnya,seterusnya bertindak sama ada memecat MCA
daripada Barisan Nasional atau UMNO di pecat atau keluar daripada
Barisan Nasional atau ahli-ahli UMNO yang beragama Islam keluar UMNO
beramai-ramai.
PAS DAN DAP
PAS berlainan dengan UMNO dan sangat berbeza, kerana PAS tegas
mengikut undang-undang tubuhnya, menjadikan Islam (Quran, Hadith, Ijmak
dan Qiyas) hukum tertinggi, dasar dan matlamat perjuangannya Islam yang
sempurna, maka termasuk urusan politik negara. Sekiranya dikaji Surah Al
Maidah yang diturunkan diMadinah, terdapat didalamnya undang-undang
jenayah, diantaranya Hudud.
Kebanyakan sebab nuzulnya (turun ayat) adalah berkait dengan sikap
penganut bukan Islam yang dijawab secara wahyu.Perkara ini dapat dirujuk
dalam kitab tafsir dan sejarah Islam.
PAS berijtihad memilih Demokrasi bagi mencapai kuasa pemerintahan dan
melaksanakan Islam termasuk hukum hudud, kerana pendekatan demokrasi
secara damai adalah bersesuaian bagi menyelamat manusia bersama Islam
tanpa paksaan, walaupun memakan masa yang panjang sehingga beberapa
generasi serta pemimpin pergi dan datang.
Maka proses pelaksanaan undang –undang termasuk Hudud dibawa kedalam
Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu setelah mendapat mandat
kemenangan besar dalam pilihanraya lalu. Undang – undang jenayah Islam
termasuk Hudud dipamerkan lebih dahulu kepada masyarakat umum berbagai
agama, di bentang dan dibuka kepada proses soal-jawab terlebih dahulu
sebagai satu proses pendidikannya.
Ingin saya pertegaskan sekali lagi bahawa pelaksanaan enakmen Islam
adalah hanya untuk orang Islam sahaja, sama sekali tidak untuk bukan
Islam. PAS tidak membawa perkara ini diKedah, Perak, Selangor dan Pulau
Pinang kerana tidak mencukupi syarat secara demokrasi.
DAP pula bukan parti kerajaan pusat yang berkuasa sepenuhnya seperti
MCA. Ahli DAP banyak terdiri daripada masyarakat bukan Islam yang
tertindas oleh kekayaan MCA,MIC dan semangat kebangsaan UMNO yang
terlalu tinggi. Maka PAS lebih mudah berkira dengan DAP. Perkara hudud
boleh dibincang secara ilmu dengan adil dan bebas.
Hubungan PAS dengan DAP dan PKR bukan Islam dalam Pakatan Rakyat
adalah secara muafakat. Maka isu pelaksanaan Islam oleh PAS dalam negeri
Pakatan Rakyat adalah berpandukankepada hukum Tahaluf Siyasi dalam
Feqah Siyasah.Ini perkara yang perlu difahami oleh penyokong PAS dan
rakyat seluruhnya.
PAS tetap tegas dengan perjuangan Islamnya dan DAP pula tegas dengan
perjuangannya. Dalam hal ini kerjasama berlaku dalam titik persamaan
dan hak berbeza pendapat tetap dihormati dan hak penganut bukan Islam
wajib diberi dengan adil.
Titik persamaan secara umum sudah disepakati, apabila DAP menerima
konsep yang sudah ada dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan
agama Islam.Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang
perbincangan sekiranya memerintah negara.Cara ini tidak boleh dilakukan
oleh UMNO dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional.
Malangnya perbincangan yang masih awal diganggu oleh media arus
perdana khususnya berbahasamelayu mengaku Islam, yang sengaja berniat
jahat untuk menghalang cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
Sekiranya rakyat memberi kuasa dalam Pilihanraya Umum ke-13 kepada
Pakatan Rakyat, maka PAS yakin dapat membawa mesejnya dengan sempurna
tanpa gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali.
No comments:
Post a Comment