Wednesday, March 31, 2010

Suara Rakyat tetap sampai ke Sidang Dewan

IPOH 30 Mac 2010 Mesyuarat pertama penggal ketiga persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berjalan lancar dengan istiadat pembukaan berlangsung di pekarangan bangunan Perak Darul Ridzuan pagi ini.
Setahun yang lalu pada 3 Mac 2009 telah berlaku Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di BAWAH POKOK kerana halangan pihak polis yang menegah masuk ke bangunan Darul Ridzuan. Kemudian berlaku Sidang Dewan USUNG DAN KURUNG SPEAKER pada 8 Mei 2009 dan berlaku pergelutan dengan anggota polis di dalam Dewan. Terakhir Sidang Belanjawan Negeri Perak iaitu SIDANG DALAM SIDANG di mana sidang pertama tanpa kehadiran pembangkang pada 28 Okt 2009.

Maka pada persidangan kali ini dengan penuh kewaspadaan ADUN dari Pakatan Rakyat terpaksa masuk secara berkumpulan ke pintu pagar Dewan yang dikawal ketat anggota polis.


10.12 pagi DYMM Pemangku mulai masuk ke dewan dan memulakan titah ucapan perasmian sidang hari ini disiarkan secara langsung di Perak FM.
10.42 am : Bacaan doa oleh Mufti Perak, DYMM Pemangku Raja Perak selesai merasmikan Dewan Perak.
10.45 am : Bacaan doa selesai, Ganesan tangguhkan dewan dan umum dewan ditangguh ke hari Rabu(esok) jam 10 pagi.
10.46 am : DYMM Raja Nazrin meninggalkan dewan dan bersurai.
















Thursday, March 25, 2010

Info Ipoh minggu ini

Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010- Jom Masuk U pada 27-28 Mac 2010. Simposium dan Ekspo Usahawan Felda- Pameran dan Jualan pada 27-28 Mac 2010. Pameran PC dan Komputer- PC Show Coop pada 2-4 April 2010. Semua akan berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh




Sunday, March 14, 2010

Natrah: Tidak satukan Rakyat Melayu tentang penjajah

SHAH ALAM, 12 Mac 2010: Khalid Samad mengulas pandangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa di majlis pelancaran buku Natrah di kampus UTJM, Jalan Semarak,Kuala Lumpur Selasa 9 Mac 2010.

Muhyiddin mengajak Umno dan Pas bersatu demi mempertahankan kesucian Islam demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian buku 'Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata' di ibu negara yang turut dihadiri Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Beberapa media arus perdana melaporkan Muhyiddin turut melahirkan rasa yakin bahawa parti-parti poltik yang mewakili umat Melayu boleh mencapai perpaduan sekiranya semua pemimpin parti-parti terbabit berusaha ke arah itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan bahawa umat Melayu tidak pernah bersatu dalam isu dan sejarah Natrah yang meletus pada 1950 lalu. Walaupun parti perkauman Melayu itu ditubuhkan sejak 1946, orang-orang Melayu dari Umno didapati tidak bersama rakyat berbangsa Melayu dalam mempertahankan akidah gadis juvana terbabit.

" Sejarah Natrah berlaku pada tahun 1950 menyaksikan rakyat Melayu bersatu atas beberapa pertubuhan berhaluan kiri seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Sebaliknya Umno diam membisu. Pemimpin Umno tidak ada yang ke depan kerana mereka adalah anak emas penjajah manakala Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diharamkan antara pejuang kemerdekaan. ” jelas Khalid petang tadi di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen, di sini.

Dr. Burhanuddin al-Helmi adalah pejuang sebenar, iaitu salah seorang pemimpin KMM yang kemudiannya menyertai PAS turut dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dilihat mengepalai beberapa siri demontrasi dan mogok di Malaya dan Singapura.
"Yang ditahan adalah Dr. Burhanuddin al-Helmi yang ditahan oleh penjajah (dan) pemimpin Umno tidak ada yang ke depan.

Cita-cita PAS sejak 1951 adalah kesinambungan Hizbul Muslim mengajak semua rakyat pelbagai kaum bersatu padu atas nama keadilan Islam. Atas dasar Islam yang dipegang PAS, kita bukan nak rakyat berpecah-pecah, kita nak semua rakyat berbilang kaum bersatu atas keadilan sosial yang diperkenalkan Islam," katanya.

Sehubungan itu, PAS tidak perlu bersatu dengan Umno kerana parti perkauman Melayu itu cenderung pada kezaliman sejak era penjajahan lagi. Dasar perjuangan Melayu oleh Umno lebih hina dari dasar 'keadilan sosial' yang diperjuangkan oleh PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

sumber harakahdaily

Wednesday, March 10, 2010

Zulkifli Nordin diibarat pembawa busuk perlu dihindari

PULAU PINANG, 10 Mac (Bernama) Gerakan Pulau Pinang menggesa kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak menerima anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, yang disingkir daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabtu lepas, sebagai anggotanya.

Pengerusi Gerakan negeri Datuk Dr Teng Hock Nan berkata Zulkifli yang kini menjadi anggota Parlimen Bebas, dilihat sebagai seorang pelampau agama dan rasis.

"Beliau disingkirkan oleh PKR kerana tidak bersedia menerima kepelbagaian bangsa. Menerima beliau masuk Umno dan BN tidak akan mencerminkan BN sebagai sebuah parti campuran pelbagai bangsa yang sederhana berkhidmat bagi kepentingan semua rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Dr Teng, yang juga naib presiden Gerakan, berkata Zulkifli telah mengetuai satu bantahan yang sangat bising untuk mengganggu Forum Masuk Islam Majlis Peguam di sini pada 9 Ogos, 2008.

Beliau berkata Gerakan agak "cemas" dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pintu Umno "sentiasa terbuka" kepada sesiapa yang ingin menjadi anggotanya termasuk Zulkifli. Dr Teng berkata BN pada amnya dan khasnya Umno janganlah menerima pelampau agama dan rasis dalam kumpulannya.

Malaysiakini 10 Mac 2010

Menjelang dan selepas Zulkifli dipecat daripada PKR Sabtu lalu, beberapa pemimpin kanan PAS dilaporkan menolak penyertaan semula ahli parlimen kontroversi itu dengan mengambil kira “setiakawan dalam Pakatan Rakyat”.

Selain Mahfuz, beberapa pemimpin PAS yang turut dilaporkan membantah hasrat beliau itu, antaranya dua lagi naib presiden PAS - Salahuddin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dua ahli jawatankuasa pusatnya - Mohamed Hanipa Maidin dan Dr Hatta Ramli - turut menentang kemasukan semula Zulkifli dalam PAS. Manakala Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali pula sebelum ini membayangkan gelapnya masa depan Zulkifli dalam parti itu. Salahuddin juga enggan memanjangkan lagi perdebatan berhubung penyertaan semula ahli parlimen kontroversi itu.

"Saya tidak mahu komen, biarkan dia," katanya, senada dengan pandangan rakan sejawatannya itu. Dakwaan ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin bahawa wujudnya 'badut hingusan' dalam PAS, tidak perlu di layan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Layan buat apa. Biar dia melalak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini,

Saturday, March 6, 2010

Ahmad Awang telah sangkal kenyataan Mufti Perak

Utusan Malaysia hari ini 5 Mac 2010 menyiarkan luahan terbaru Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria terhadap Pesuruhjaya Pas Perak pasca pilihanraya 2008, Ustaz Ahmad Awang kursusnya dan PAS secara amnya. Tuduhan itu adalah ulangan yang telahpun dijawap panjang lebar oleh Ustaz Ahmad Awang yang ditemu-bual editor dan disiarkan di Majalah Milenia Muslim pada 09 Jun 2009 yang lalu. Sila rujuk blog Ahmad Awang di sini

Nampak sangat sebenarnya DS Harussani berpolitik dan memihak kepada UMNO seperti disiarkan Utusan Malaysia hari ini dan jawapan Utaz Ahmad Awang 9 bulan yang lalu:

Harussani: Pas Perak ‘angkuh’ kerana menolak mentah-mentah penubuhan kerajaan campuran antara Pas dan Barisan Nasional (BN) di Perak pada pilihanraya Umum 2008, BN memperoleh 28 (UMNO+MCA 27/1), DAP 18, PKR 7 dan PAS 6 kerusi yang dianggap penentu. Mufti Perak menyatakan telah diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti PAS ( Nik Aziz dan Hadi Awang )

Ustaz Ahmad Awang: Saya menyangkal dakwaan Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak yang mempersalahkan saya dengan keengganan menerima tawaran UMNO Perak untuk membentuk kerajaan sehingga membawa kepada krisis keabsahan kerajaan negeri di Mahkamah Persekutuan. Ahmad Awang tampil dengan sanggahan balas bagi menjernih kekerohan salah tafsir mengenai peranannya di sebalik tabir krisis tersebut dan pendirian PAS Perak sejak awal 8 Mac 2008.

“Ia seolah semuanya berpunca dari saya. Membaca kenyataan beliau menunjukkan bahawa sahabat saya ini, Tan Sri Mufti adalah seorang yang mencampuri politik kepartian. Tiada lagi atas sifat non-partisan. Terang-terangan menyebelahi UMNO. Sebagai seorang mufti yang diberi perkenan oleh sultan sepatutnya tidak boleh terlibat dengan politik. Malah secara peribadi beliau selalu mengingatkan masyarakat Islam di Perak agar meninggalkan baju politik dan sangkut di luar pagar masjid.

Maka analoginya juga pada hari ini, tidak sepatutnya mufti mencampuri urusan hal politik sungguhpun bekas Menteri Besar (Tajol Rosli) meminta beliau (Mufti) berjumpa Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Jika beliau berhujah atas kepentingan Melayu Islam, itu masih dalam konteks politik. Sepatutnya jika beliau mahu campur tangan, dia hanya perlu aturkan perjumpaan antara pimpinan UMNO yang diketuai Dato’ Seri Diraja Mohammad Tajul Rosli dengan kami pimpinan PAS. Setakat itu boleh dilihat yang beliau bersifat adil.

Justeru itu, saya mahu menjawab “Cerita Harussani Di Sebalik Peristiwa” kerana saya tidak mahu fitnah ke atas diri saya sehingga sampai satu tahap di dalam kursus Biro Tatanegara (BTN) saya dituduh sebagai pengkhianat bangsa dan agama kerana menolak tawaran untuk berpakat sesama Melayu Islam untuk membentuk kerajaan negeri.

Harussani: Ahmad Awang berkata tidak akan bersekongkol dengan orang Islam (UMNO) yang zalim dan lebih baik berkawan dengan kafir (DAP). Sila sebut hadis dan ayat mana yang dipakai kerana setahu saya ada hadis mengatakan tolonglah saudara kamu yang zalim dan dizalimi. Saya kata jika BN ini zalim, saya tawarkan wakil rakyat Pas menjadi Menteri Besar dan yang lain akan jadi Exco bersama BN.

Al-Quran menyebut jika sayang kepada kafir maka kita adalah kafir, beliau (Ahmad) kata dia menggunakan kaedah fikah dalam perkara itu. Maka saya ingin tahu mana boleh kaedah fikah digunakan sedangkan apabila ia bertentangan dengan nas al-Quran, ia tidak boleh dipakai.

Ahmad Awang: Sebenarnya punca krisis politik Perak ini segala-galanya bermula dari UMNO Perak yang tidak bersedia menerima kekalahan mereka dalam PRU ke-12 pada Mac 2008. Sejak dari keputusan diumumkan oleh SPR yang menunjukkan UMNO/BN Perak hanya memenangi 28 kerusi dari 59 kerusi DUN Perak, mereka terus merancang untuk menggagalkan penubuhan kerajaan Perak dari pakatan parti-parti pembangkang PAS/PKR/DAP.


Pada malam keputusan tersebut diumumkan UMNO telah menghubungi beberapa ADUN PAS untuk melompat parti dengan tawaran RM berjuta. Orang yang pertama mendapat tawaran itu ialah Ir. Hj.Nizar Jamaluddin, ADUN Pasir Panjang (kini Dato' Seri).

Setelah saya selaku Pesuruhjaya PAS Perak mengumumkan persetujuan PAS untuk bersama DAP dan PKR membentuk kerajaan di Perak, tidak berhenti-henti saya dihubungi oleh beberapa orang yang mewakili UMNO, diantaranya beberapa orang pegawai kerajaan. Bahkan saya ditemui oleh beberapa orang pemimpin PEKIDA yang saya percaya mereka mewakili UMNO. Saya mendapat maklumat pihak UMNO cuba mempengaruhi istana untuk membentuk kerajaan minoriti dengan 28 ADUN kerana parti-parti lain memperolehi bilangan kerusi yang lebih kecil dari UMNO/BN.


Akan tetapi kami berjaya memintas dengan membuat keputusan menubuhkan gabungan 3 parti yang kemudian dikenali dengan Kerajaan Pakatan Rakyat. UMNO terus cuba memujuk PAS dengan menghantar Dato' Zahid Hamidi untuk berbincang dengan saya, tetapi saya enggan berjumpa beliau. Beliau dan beberapa orang rakannya termasuk Dato' Amin Salleh, Ketua Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan gagal berjumpa saya kerana rumah kediaman saya di Simpang Empat Semanggol dikawal ketat oleh Unit Amal dengan dibantu oleh beberapa orang polis. Kejadian itu berlaku pada malam 16 Mac 2008, sehari sebelum majlis upacara mengangkat sumpah Hj. Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang ke-10.

Semenjak keabsahan penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak, UMNO Perak di bawah pimpinan Tajol Rosli mensasarkan beberapa tarikh tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat. Apabila tarikh 31 Ogos 2008 yang diletakkan sebagai sasaran terakhir gagal dicapai oleh UMNO maka Tajol Rosli meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perak.

Lalu Dato' Seri Najib mengambil alih jawatan tersebut dan bermulalah episod rampasan kuasa di Perak yang menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dengan cara yang begitu gelojoh dan tidak demokratik seperti yang pernah disebut sendiri oleh Tun Dr Mahathir. Bermula dari situ berlakulah suasana huru hara krisis politik Perak. Saya percaya semua perkara ini dapat disaksikan oleh Tan Sri Dato' Mufti Perak

Harussani: Pas Perak sebenarnya telah diperalatkan oleh DAP bagi memenuhi kepentingan tuntutan politik mereka. Contohnya semasa orang Melayu berbaring di atas jalan raya bagi menghalang laluan kereta Sultan Perak pada masa itu, langsung tiada orang DAP turut serta dan apabila saya tanya, mereka (orang Cina) berkata “ itu kerja Melayu, kami banyak lagi kerja lain nak dibuat. “

Yang ini biar aku jawab;
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ingin berpolitik tetapi tidak pandai berpolitik. Beliau sebenarnya tidak tahu membezakan antara sentimen perkauman dengan perkara asas (maruah) orang ramai yang bangkit meluahkan rasa tidak puas-hati. Apakah menuntut keadilan dan pertahankan peraturan undang-undang orang-orang Melayu/Islam perlu bertindak sama dengan penganut ugama lain?. Dan adakah DAP itu parti perjuangkan kaum Cina!

Thursday, March 4, 2010

Ada kemungkinan Mohsin keluar parti kerana ada senarai-hitam

IPOH 3 Mac 2010 Pakatan Rakyat Perak mengutuk tindakan bekas Setiausaha Agong PKR Salehudin Hashim yang mengulangi ugutan mendedahkan segala maklumat rahsia peribadi anggota parti yang dia memiliki dan sekarang ini terbukti segala pengetahuannya itu bocor berikutan keputusan Ahli Parlimen (AP) Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri keluar dari PKR.

“Melihat kepada suasana politik tidak menentu dengan tekanan dan ugutan dibuat oleh Perdana Menteri Najib Razak, saya tidak terkejut masih ada lagi mereka yang lompat parti ” ulas Nizar Menteri Besar Perak yang disingkir pada sidang media di sini.

Perhubungan masa lalu antara saya dengan Mohsin tidak pernah menyerang saya seperti mereka yang mahu keluar parti semata-mata mahukan habuan wang ringgit. Kita tentunya mengenali rapat mereka, tidak mustahil perkara ini ada kaitan ugutan oleh seseorang seperti Salehudin.

Malah, Salehudin kelihatan bersama di sidang media ketika Mohsin mengumumkan tindakan keluar parti pada pagi tadi. Spekulasi telah kedengaran tentang siapa dalang disebalik keretakan yang berlaku dan Umno telah mengambil kesempatan ‘menjuarai’ bekas Setiausaha Agong PKR disebalik pengetahuan mendalamnya ramai anggota PKR tentang kekuatan dan kelemahannya.

Menurut satu laporan berita, sedangkan AP PKR Wangsamaju Wee Choo Keong pernah menerima ugutan dari Umno dengan ancaman boleh membongkar maklumat peribadinya.

“ Adalah sesuatu yang mengecewakan jika dia bertindak menodai segala jasanya dibina selama 6 tahun sebagai Setiausaha Agong PKR dengan mendedah maklumat rahsia anggota parti “ kata Nizar. Dasar Islam dibawa PAS juga turut mengutuk kaedah yang tidak bertamadun dan khuatir cara ini tidak hanya mencemarkan Umno tetapi juga maruah bangsa Melayu juga.

Nizar juga menyatakan hairan terhadap sikap Mohsin dengan menyatakan tindakan keluar parti kerana ingain pertahankan kalimah Allah, merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi yang mengistiharkan bukan Islam juga berhak menggunakan perkataan Allah sama kepada Tuhan.

Umno berkata penggunaan kalimah Allah hanya kepada orang Islam sahaja. Berbeza dengan gerakan PAS yang berteraskan dari kalangan ulama dan Tok Guru berpendapat Allah juga boleh digunakan kepada semua manusia selagi mana ia bertepatan dengan panduan agar tidak disalahkan.

“ Jika Mohsin sebenarnya mematuhi ajaran dari Al-Quran, perkara pertama perlu dia tolak adalah Umno sebab itu tuntutan Allah, yang menolak Al-Quran dan yang berjuang atas sentimen bangsa dan dasar tidak berlandaskan Islam.” ujar Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dan ADUN Pasir Panjang.

“ Saya menyeru semua AP dan ADUN Pakatan Rakyat agar tidak mudah kucar-kacir dari apa yang berlaku. Jangan ambil jalan mudah untuk senang kerana ia akan memburukkan keadaan. Di Perak ada anggota PAS, DAP dan PKR ditawarkan RM10 ke 25 juta ringgit untuk tumbangkan Pakatan Rakyat. Seperti yang diketahui sebahagiannya menerima dan kebanyakan menolaknya. Kerana mereka sedar tidak mahu sejarah mengenangkan sebagai pengkhianat. Sanggupkah anda menjadi hina hanya kerana wang “.

Wednesday, March 3, 2010

Kemalangan Jalanraya di Rapat Setia, Ipoh

IPOH 3 Mac 2010 Satu kemalangan jalanraya telah berlaku di Jalan Dairy, Ipoh di persimpangan masuk ke Sekolah Kebangsaan Rapat Setia jam 7.30 pagi sewaktu kenderaan sibuk dengan urusan kerja dan ke sekolah. Sebuah kereta yang dipandu seorang wanita membelok masuk simpang ke sekolah lalu dirempuh sebuah motosikal yang ditunggangi seorang pemuda dari arah bertentangan. Keadaan yang remuk teruk motosikal dan tayar belakang kereta yang patah itu membayangkan betapa kuat pertembungan ini.

Lebih menyayatkan, pemuda ini mengerang menahan kesakitan apabila dibawa naik ke ambulan dari kecederaan teruk di kakinya.
Laluan ini memang merbahaya dan seringkali terjadi kemalangan diharap pihak berwajib melakukan sesuatu dengan membina pembahagi jalan dengan segera. HATI-HATI DI JALAN RAYA