Wednesday, May 19, 2010

Kekacauan di Bangkok kemuncak

BANGKOK, 19 Mei (Bernama) -- Perintah berkurung dikenakan di 24 wilayah lain selain Bangkok mulai 8 malam hingga 6 pagi Khamis, selepas pihak tentera menangani penunjuk perasaan anti kerajaan di ibu kota Thailand ini.

Bangunan mercu tanda Bangkok, Central world dibakar ‘baju merah’ dalam rusuhan maut selepas tentera Thailand serbu masuk kubu pihak penentang.
Pusat Resolusi Situasi Kecemasan (CRES) turut mengumumkan dua lagi wilayah iaitu Kalasin dan Mukdaharn telah diletak di bawah perintah darurat dengan perintah berkurung akan turut dikenakan di situ.

Terdapat 76 wilayah di Thailand dengan 27 daripadanya diletak di bawah perintah darurat.

Di Khon Kaen dan Udon Thani, ribuan penunjuk perasaan Baju Merah menyerang Dewan Bandaraya dan membakar bangunan kayu Dewan Bandaraya di Udon Thani.

Kereta perisai tentera Thailand meroboh masuk ke kem utama penentang anti kerajaan selepas tempoh rundingan berakhir di Bangkok
Mereka membalas tindakan kerajaan yang menguasai semula kawasan yang mereka duduki selama ini di Bangkok.

Di Bangkok, golongan Baju Merah meneruskan rusuhan dengan membakar tiga pusat membeli-belah mewah, sebuah hotel, enam bank, sebuah pasar raya dan sebuah pawagam selepas pihak tentera menguasai semula penunjuk persaan di tengah kota Bangkok.

Sebahagian bangunan bursa saham Thailand turut terbakar.

Pihak bomba sukar memasuki bangunan yang terbakar ekoran tembak-menembak yang berlaku.

Angka kematian setakat 8 malam dilaporkan seramai 43 orang sementara 365 orang cedera dengan 15 daripadanya parah sejak pertempuran tujuh hari lalu.

No comments:

Post a Comment