Friday, March 20, 2009

2 sebutan Kes Pakatan Perak di Mahkamah Wilayah Hari ini


20 Mac 2009 PUTRAJAYA, Siapa antara Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan Menteri Perak yang sah akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan dijadualkan Isnin ini, demikian ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri Datuk Md Raus Sharif, Datuk Abdull Hamid Embong dan Datuk Ahmad Maarop sebulat suara bersetuju bahawa Hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan tepat untuk merujuk persoalan mengenai isu perlembagaan dalam kes itu untuk ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sulaiman sebelum itu memohon mahkamah agar menetapkan sama ada Hakim Lau membuat keputusan yang betul dalam merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan berdasarkan Seksyen 84 itu kerana Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman menjelaskan bahawa perkataan "Perlembagaan" hanya merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan Undang-undang Tubuh Negeri. "Hakim Lau tersilap menggunakan Seksyen 84 kerana pertikaian dalam kes itu hanya melibatkan Undangundang Tubuh Negeri Perak. Mahkamah Persekutuan tidak ada kuasa mendengar dan membuat keputusan dalam kes ini," katanya.
Dalam hujah balasnya, Abdul Gani berkata, Seksyen 84 perlu dilihat secara menyeluruh bagi merangkumi undang-undang tubuh negeri bagi mengelak sebarang kejanggalan dalam tafsirannya. Berhubung perkara itu, Hakim Md Raus, berkata, "Kami bersetuju bahawa perkataan 'perlembagaan' mengikut Seksyen 84 tidak hanya terbatas kepada Perlembagaan Persekutuan."
Pada 13 Feb, Mohammad Nizar, 52, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, memohon diadakan semakan kehakiman bagi mengisytihar dirinya sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan untuk mendapatkan injunksi melarang Zambry daripada melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar.
Beliau juga memohon mendapatkan takrif mengenai Perkara 16 (6) Undangundang Tubuh Negeri Perak sama ada jawatan Menteri Besar boleh dikosongkan jika :
*Menteri Besar telah memberi nasihat kepada Sultan supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri;* Tidak berlaku pembubaran dewan;* Tidak ada undi tidak percaya terhadapnya di dewan undangan negeri;* Tidak berlaku peletakan jawatan oleh beliau. *
Mohammad Nizar juga mahu supaya Zambry membuktikan kesahihannya sebagai Menteri Besar.
BERNAMA

Kes Sivakumar ditangguh pada 27 Mac
20 Mac 2009 KUALA LUMPUR: Kes Semakan Semula Kehakiman Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V.Sivakumar dan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) ditangguhkan sehingga 27 Mac untuk disebut, berikutan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai isu perlembagaan dalam saman Nizar-Zambry.
Hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan membenarkan permohonan peguam pemohon Razlan Hadri yang meminta kes itu ditangguhkan dalam kamar beliau di sini hari ini. Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad tidak membantah permohonan tersebut kerana isu bagi dua kes itu mungkin ada kaitan dengan isu yang akan ditentukan oleh mahkamah yang lebih tinggi.
Saman Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar kesahihan pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak dan kerajaan negeri baru telah dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk menentukan empat isu perlembagaan.
Hari ini, Azizan berkata Pejabat Peguam Negara akan membantah terhadap kebenaran permohonan Sivakumar dan ADUN itu untuk satu semakan kehakiman. Sivakumar telah memfailkan satu permohonan semakan kehakiman terhadap tiga ADUN itu yang menjadi anggota Bebas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memohon agar suruhanjaya itu mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.
Pada 3 Feb, Sivakumar memberikan notis kepada SPR bahawa tiga kerusi DUN itu kosong berikutan bermaksud telah menerima surat peletakan jawatan Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee sebagai ADUN. SPR, bagaimanapun, meragui peletakan jawatan itu dan enggan mengadakan pilihan raya untuk kerusi tersebut.
Permohonan yang sama dengan satu penyelesaian sama juga difailkan oleh tiga ADUN Chen Fook Chye (DAP-Keranji), Tai Sing Ng (Parti Keadilan Rakyat-Kuala Sepetang) dan A.Sivanesan (DAP-Sungkai) dan tiga pengundi Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang) terhadap Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee.
Dalam permohonan itu, Sivakumar mahu mahkamah mengeluarkan perintah untuk certiorari keputusan SPR tidak mengadakan pilihan raya bagi ketiga-tiga kerusi itu dan mengeluarkan satu perintah baru (mandamus) memaksa mengadakan pilihan raya.
Beliau juga meminta satu writ "quo warranto" memaksa ketigatiga ADUN itu menunjukkan alasan bahawa mereka masih lagi mewakili kawasan pilihan rayanya dan boleh menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugastugas sebagai wakil rakyat.
BERNAMA

No comments:

Post a Comment