Sunday, December 25, 2011
Perselisihan tetap utuhkan Pas
SHAH ALAM 23 Dis – Seluruh anggota Pas diingatkan supaya mengikut haluan dan hala tuju parti serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan fahaman sahaja.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sesiapa yang berlagak pandai dan menganggap dirinya paling bijak dalam Pas pasti tersungkur serta menjadi mangsa serigala politik musuh.
Menurutnya, setiap ahli seharusnya menyedari bahawa tindakan bersendirian dengan membelakangkan parti pasti akan gagal namun Pas tetap selamat dan menjadi parti Islam yang makin gagah perkasa.
“Seluruh ahli Pas wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera parti dengan setiap pengalamannya walaupun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam.
“Pas telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam atau kalangan bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menegaskan bahawa pendekatan politik bersama Pakatan Rakyat (PR) adalah kesinambungan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh.
“Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan,” katanya.
Selain itu Abdul Hadi turut mempersoalkan kenapa Umno yang menjadi teras kerajaan Barisan Nasional (BN) masih gagal menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah SAW yang sebenarnya.
“Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun masih tidak mampu melakukan muhasabah?” katanya.
KOTA BHARU 23 Dis - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meredakan kebimbangan ahli Pas dengan memberi jaminan parti itu tidak akan tersasar dari landasan perjuangan sebagaimana dakwaan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
Mursyidul Am Pas itu berkata, Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada Pas sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak.
“Dakwaan konsep negara berkebajikan yang disebut oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal Pas adalah merupakan kenyataan yang tidak berasas.
“Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea negara berkebajikan yang disebut oleh Presiden bukannya menggelincirkan Pas dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat kepada perjuangan Pas yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan,”katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment