Wednesday, June 1, 2011

Dewan Ulama: Pertembungan PAS dan Umno pertembungan akidah

KUALA LUMPUR 2 Jun 2011: Pertembungan antara PAS dan Umno perlu difahami dengan jelas oleh setiap pihak sebagai bukan hanya sekadar pertembungan politik, tetapi adalah pertembungan akidah. Oleh itu, para ulama dalam PAS di semua peringkat perlu memainkan peranan dengan berkesan bagi menerangkan perkara itu bukan hanya kepada ahli-ahli PAS, tetapi juga kepada orang ramai di seluruh negara.

Perwakilan Dewan Ulama PAS Terengganu, Hamzah Ngah berkata, realiti itu tidak perlu disembunyikan oleh ulama PAS apabila ditanya oleh seseorang tentang perbezaan antara PAS dan Umno. Menurut beliau, sebalik perbezaan itu perlu dinyatakan dengan jelas dan tegas agar difahami setiap pihak, selaras dengan perjuangan PAS untuk Islam, manakala Umno atas dasar nasionalis.



Namun dalam hubungan ini, beliau kesal kerana terdapat ulama PAS di peringkat kawasan sendiri enggan menjelaskan perkara itu dengan mengatakan terpulanglah kepada kefahaman sendiri untuk menanggapinya.

“Begitu juga jika ditanya tentang kepentingan mendaftar diri untuk menjadi pengundi, ada ulama di kawasan hanya memberikan jawapan seperti itu, pada hal ia perlu dicantas terus dengan menjelaskan perbezaan pertembungan antara PAS dan Umno sebagai pertembungan akidah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan ucap utama pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Ke-50 di Dewan Datuk Haji Fadzil Mohd Noor di Taman Melewar Gombak, di sini, hari ini. Bagi mengatasi perkara itu, beliau menyarankan agar para ulama bukan sekadar memiliki pelbagai ilmu, tetapi juga memiliki sifat keberanian untuk menyatakan kebenaran dan melakukan perubahan.

Lebih untung bersama Pakatan Rakyat

Sejajar dengan itu, beliau menegaskan penolakan PAS untuk bersatu dengan Umno-Barisan Nasional sememangnya tepat kerana kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat ternyata jauh lebih menguntungkan PAS dan umat Islam dari sudut dakwah dan pelbagai sudut lain.

Sementara itu, perwakilan Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Lutfi Ariffin berkata, kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat memerintah di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang merupakan satu cabaran penting kepada para pemimpin dan ahli-ahli PAS agar tidak terpedaya dengan kemewahan hidup. Beliau berharap agar kemenangan itu pula jangan menimbulkan kepuakan dalam PAS.

Manakala perwakilan Dewan Ulama PAS Perlis, Idris Yaakub berkata, kemenangan yang sebenar bagi umat Islam adalah berpegang kepada ajaran Allah. Perwakilan Dewan Ulama PAS Johor, Ustaz Arif Salim Osman mengingatkan golongan ulama agar memainkan peranan dengan berkesan kepada masyarakat dengan ilmu yang dimiliki kerana ia merupakan amanah Allah kepada mereka.

Manakala perwakilan Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Mohd Nazmio Kamaruddin berharap agar PAS mewujudkan Majlis Penyelidikan dengan segera bagi kepentingan seluruh ahlinya. Perwakilan Dewan Ulama PAS Perak, Muhammad Nuri Al-Amin Endut pula meregaskan kekuatan Islam antara lain terletak pada prinsip. Oleh itu, beliau berharap agar para pemimpin dan ahli-ahli PAS terus cekal dengan prinsip perjuangan Islam bagi membolehkan PAS terus maju mendepani pelbagai cabaran.

Perwakilan Dewan Ulama PAS Pahang dalam ucapannya menyarankan agar rakyat Pahang ‘mengKelantankan’ Pahang dengan antara lain melakukan penguasaan terhadap masjid dengan mengimarahkan masjid. Selain itu, beliau juga berharap agar rakyat Pahang turut mencontohi negeri Kelantan menerusi keilmuan dengan berusaha memperbanyakkan pusat penyebaran ilmu di negeri itu.

- harakahdaily

No comments:

Post a Comment