Selayaknya pemimpin yang bercita-cita besar tetapi tewas seperti Anwar Ibrahim berasa kecewa dan tidak berpuas hati.
Beliau segera menggerakkan penyokong Pakatan Rakyat ke stadium Kelana
Jaya malam ini, hanya tiga hari selepas pilihan raya umum berlalu,
sebagai bantahan simbolik.
Tokoh
PKR itu tidak seperti pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang lain,
ketewasan dalam pilihan raya umum tidak disusuli dengan fasa menjeruk
rasa dan bersantai selama beberapa bulan.
Anwar segera bangkit -
jika dipandang sepintas lalu, kesegeraan yang tampak berang dan meroyan
- satu gejala "politik baru" pembangkang.
Namun, beliau tidak
kecewa dan meroyan seorang diri. Perdana menteri yang gagal
ditumbangkannya Najib Abdul Razak juga kelihatannya masih terkejut
dengan keputusan awal pagi Isnin lalu.
Hakikatnya, prestasi BN
bawah pimpinan beliau jatuh merudum berbanding Abdullah Ahmad Badawi,
yang diserang oleh Dr Mahathir Mohamad selama beberapa tahun sebelum Mac
2008.
Selain Mahathir sendiri, Najib malah turut dibantu oleh sekutu-sekutu mantan perdana menteri itu, Daim Zainuddin (kiri) dan Sanusi Junid.
Namun, kemerosotan BN tidak dapat dihalang-halang lagi. Seperti arus
deras, ditahan di utara (Kedah), melimpah pula di selatan (Johor) dan
timur (Terengganu dan Sarawak).
Bagaimanapun, Najib patut
bersyukur kerana masih dapat mengangkat sumpah sebagai perdana menteri
dalam keadaan kerajaannya menikmati majoriti "agak selesa", 22 kerusi
parlimen.
'Madu & racun di tanganmu'
Tetapi perdana menteri rupa-rupanya masih tetap kecewa dan nada
meroyannya - meroyan gaya orang menang - akibat kekecewaannya itu
disebut "tsunami Cina".
Sehari selepas itu, akhbar-akhbar milik Umno mengukuhkan lagi kesasauannya dengan melaungkan slogan meroyannya itu.
Utusan Malaysia di muka depannya semalam bertanya "Apa lagi yang Cina mahu?", sementara tabloid sekutunya Kosmo! menuduh pengundi kaum itu sebagai "talam dua muka"!
Najib dan Umno membangkitkan isu perkauman atas sikap pengundi itu yang
meninggalkan parti-parti komponen BN itu secara besar-besaran.
Maka, dikatakan ia satu "polarisasi" trend pengundian yang memerlukan
"national reconciliation", perukunan semula hidup bernegara.
Seperti
slogan 1Malaysia Najib yang menguatkan pertubuhan PERKASA, malan
tokohnya diberi peluang mewakili BN, "national reconciliation" diikuti
cercaan akhbar-akhbar Umno terhadap Cina.
Di sisi ini, lagu
sindiran Anwar terhadap Najib mungkin ada benarnya: "madu di tangan
kananmu, racun di tangan kirimu, aku tak tahu mana yang akan kau berikan
padaku. Aku tak tahu, mana yang akan kau berikan padaku."
Lagu popular Indonesia yang sering dipentaskan Anwar ini dijawab oleh Najib sewaktu kempen pilihan raya lalu di Sabah.
Perdana menteri menjawab: BN-lah madunya, sementara Pakatan Rakyat-lah racunnya.
Menang jadi arang
Sebab itu pula pengundi mengekalkan status quo pilihan raya umum 2008
(kecuali tambahan tujuh kerusi parlimen): Pengundi "tak tahu, mana yang
akan BN atau Pakatan berikan padaku".
Maka, Najib dan Anwar
tidak faham kebingungan rakyat ini. Perdana menteri menyalahkan Cina,
Pakatan menyalahkan sistem pilihan raya.
Selayaknya
begitulah nasib kedua-dua tokoh ini yang sudah terkena sumpahan "menang
jadi arang, alah jadi abu". Kedua-duanya dibakar hangit oleh pengundi.
Tetapi di pihak Najib dan Umno, Cina pula dijadikan arah sumpahannya.
Seperti Umno sering menyalahkan Melayu sebagai "pengkhianat bangsa"
atau "tidak bersyukur" apabila pengundi kaum itu sendiri meninggalkan
Umno dan mengkritik kerajaan BN.
Seperti Mahathir menuduh
penentangnya dan Gerakan Reformasi 1998 sebagai "ejen negara asing"
sewaktu kepimpinannya dipersoalkan habis-habisan.
Polarisasi antikerajaan, propembangkang
Dia perasan dan mengangkatkan dirinya sebagai "Malaysia" dan penentangnya "orang asing".
Seperti Umno perasan dialah Melayu dan membayangkan Melayu itulah Umno.
PAS itu bukan Melayu dan sebagai sumber perpecahan serta pengkhianatan
bangsa.
Tetapi
sewaktu Cina berbondong-bondong menyokong MCA atau Gerakan, tidak pula
kaum Tionghua dituduh mengamalkan "polarisasi" trend pengundian!
Tidakkah itu satu bentuk "polarisasi" juga apabila Melayu hanya menyokong Umno atau PAS; dan Cina menyokong DAP atau MCA?
Polarisasi ini, kalau inilah istilahnya, hanya polarisasi arus antikerajaan BN dengan arus prokerajaan BN.
Jadi, kenapa harus Cina pula dijadikan sasaran? Untuk menakut-nakutkan
Melayu? Melayu mana yang ingin ditakut-takutkan itu - Melayu atau Umno?
Lepas ini jangan ada lagi undi pos atau undi awal. Semua rakyat termasuk polis, tentera, pegawai SPR, undi seperti biasa di tempat mengundi masing2. Bersihkan semua senarai nama pengundi hantu, jika tidak dibersihkan, mereka akan datang mengundi lagi dlm pilihanraya ke 14 akan datang.Nanti JPN danSPR, ejen UMNO, imigrasen, bersekongkol membawa masuk hantu yg baru. Kenapa tak tangkap pegawai2 yg terlibat beri ic? Sampai bila hal ini akan berterusan? Seolah2 negara kita tiada undang2 utk menyekat pengkhianatan terhadap bangsa dan negara? Kenapa semua sistem dan dasar negara rosak teruk? Akhirnya Melayu dihimpit oleh warga asing, masa depan negara dan anak cucu kita ditangan warga asing. Akan wujud satu lagi kelompok bangsa pendatang jadi pesaing kpd org Melayu. Bermakna Melayu semakin tenggelam secara beransur2.Inikah cara berfikir dan semangat patriotik Melayu?
ReplyDelete