Negeri Kelantan ibarat anak dara sunti yang cantik menawan, jelingan
matanya tajam bab pisau, lenggang lenggoknya bab bidadari istana,
sesiapa memandang pasti tergila-gila lebih-lebih lagi lelaki hidung
belang.
Kerana kecantikannya yang luar biasa maka ramai lelaki
mahu masuk meminang, antaranya dari Putrajaya. Tanggal 19 Januari
datang satu rombongan, ketua rombongan, masih ganteng orangnya
meskipun usia 50an, mulutnya merah bab delima merkah, rambutnya
putih bagaikan kapas dijemur, berkata kepada si gadis ayu: jika
menerima pinanganku akan ku berikan padamu tujuh dulang hantaran yang
mahal-mahal, ada lagi pemberian istimewa lain yang tak disebutkan
sekarang.
Antara tujuh jenis hantaran itu, sebuah masjid berkubah emas,
jalan raya dengan aspal daripada emas hitam import dari luar negara,
stadium bolasepak berbumbungkan perak dan lain-lain. Stadium bolasepak
diulangsebut beberapa kali kerana lelaki itu tahu si gadis ayu
merupakan peminat tegar bolasepak.
Bunyinya seperti hantaran
yang akan dibawa Sultan Melaka ketika mahu meminang Tuan Puteri Gunung
Ledang sepertimana diriwayatkan dalam hikayat Melayu klasik. Hanya
sedikit berbeza ialah hantaran yang akan dipersembahkan Sultan
Mahmud Shah adalah atas kemahuan Puteri Gunung Ledang, sementara
hantaran lelaki dari Putrajaya, Najib Shah itu atas kehendaknya
sendiri, belum tahu sang gadis menerima atau tidak.
Puteri
Gunung Ledang bukan sembarangan manusia, leluhurnya dari kaum bangsawan
yang terhormat. Kepintaran akalnya melebihi Sultan Melaka. Puteri
Gunung Ledang tak mahu menjadi permaisuri sultan yang sudah tua renta
itu, lalu dicarinya helah supaya sultan membatalkan hasrat
memperisterikannya dengan cara yang berhemah. Hati sultan harus dijaga,
jangan sampai terluka atau gila, maruah sultan harus dipelihara, jangan
sampai malu. Lalu Puteri Gunung Ledang mengenakan syarat yang berat
dengan harapan sultan tak sanggup menunaikannya.
“Baginda
sultan perlu menyediakan tujuh dulang hantaran, antaranya; jambatan
emas dari Kota Melaka ke Gunung Ledang, jambatan perak dari Melaka ke
Gunung Ledang, 7 dulang hati nyamuk, 7 dulang hati hama, 7 tempayan air
mata anak dara, 7 tempayan air pinang muda dan satu mangkuk darah
Sultan Ahmad, iaitu putra Sultan Mahmud Shah yang masih kanak-kanak.
Demi cinta yang berkobar-kobar, sang sultan sanggup menunaikan
sepertimana dipinta, kecuali semangkok darah Sultan Ahmad, sangat sukar
baginya, mengenangkan itulah satu-satunya putra lelaki kesayangan
baginda. Akhirnya hasrat mempersuntingkan Puteri Gunung Ledang hancur
berkecai seperti kaca terhempas ke batu.
Begitu juga dengan
Kelantan, sekiranya lelaki ganteng dari Putrajaya itu benar-benar
tergila-gilakan Kelantan, tak perlu hantar tujuh dulang hantaran,
memadai dengan hanya satu dulang, iaitu Umno mesti terima Islam sebagai
wadah perjuangannya!.
No comments:
Post a Comment