Friday, May 11, 2012

PRU13: Gelombang perubahan bermula dari Johor

KUALA LUMPUR  10 Mei: Wacana politik dan persepsi semasa Sinar Harian di Universiti Malaya bertajuk 'Siapa selepas PRU ke-13, BN atau PR' antara panelis Pengarah Eksekutif, Dewan Perdagangan Amerika-Malaysia (Amcham), Fui K. Soong, blogger politik Mohd Sayuti Omar dan Editor Sinar Harian Online Dr G.Manimaran.
 
Fui K. Soong menjangkakan negeri Johor akan menjadi pusat kepada gelombang perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang. Beliau juga mendakwa, gelombang itu juga mungkin akan merebak ke Melaka sehingga ke Negeri Sembilan. Menurut Fui K. Soong (gambar), pandangannya itu berasaskan kepada faktor Johor yang mempunyai banyak kawasan campuran Selepas Selangor dengan kaum Cina adalah majoriti.

Menurut beliau, ini berbeza pada PRU-12 sebelum ini, pusat perubahan itu dilihat bermula di Pulau Pinang dan membawa kepada negeri sekitarnya iaitu Kedah dan Selangor.
Menurut Fui K. Soong, Johor juga antara negeri 'paling panas' pada PRU-13 nanti dan boleh dilihat dengan pertambahan pengundi baru paling tinggi iaitu seramai 385,591 orang. Selain Johor, negeri yang juga boleh dianggap 'panas' adalah Selangor dengan pertambahan pengundi baru seramai 373,748, Perak (249,405), Sabah (149,940) dan Sarawak (164,547).

Sementara itu Mohd Sayuti juga turut memberi pendapat serupa. Beliau dapat melihat gelombang perubahan rakyat yang luar biasa berbanding pilihan raya sebelum ini khususnya di Johor. Ianya berasaskan sambutan memberangsangkan oleh rakyat terhadap program-program Pakatan Rakyat di negeri itu.

"Sebagai penulis blog dan wartawan, saya ikut jelajah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim ke Endau sampai lah ke Sembrong. Saya dapat lihat kehadiran menakjubkan," katanya.

 
Selepas PRU 2008 lalu, banyak pihak melihat Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah di negeri-negeri Selatan tanah air khususnya Johor dan Negeri Sembilan yang dahulu terkenal dengan negeri 'kubu kuat' Umno BN. Tindakan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS, mengesahkan akan bertanding di negeri kelahirannya di Johor pada PRU-13 ini bukti pengaruh Pakatan Rakyat.

No comments:

Post a Comment