Thursday, January 5, 2012

Ucapan Anwar Ibrahim 4 hari sebelum dijatuh hukuman

anwar ceramah in melaka 040112Melaka 4 Jan. (Mkini) Menjelang demonstrasi kempen "Bebaskan Anwar 901" yang dirancang pada Isnin ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kekacauan selagi tiada pihak yang tampil membuat provokasi.
 

Katanya, keputusan sama ada beliau dipenjarakan atau tidak, tidak penting, namun apa yang dinantikan adalah keputusan rakyat menilai dan membuat pilihan pada pilihan raya akan datang untuk merubah kerajaan.

"Saya meletakkan tiga keputusan yang mungkin berlaku, ia termasuk saya diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak bersalah, bersalah dan diikat jamin atau berkemungkinan besar dipenjarakan.

"Keputusan itu tidak penting sebaliknya perubahan yang bakal dilakukan oleh rakyat untuk menumbangkan kerajaan sedia dalam proses pilihan raya akan datang," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ceramah di Taman Sin Hoe, Bukit Baru, Melaka malam tadi.


Hampir, 3,000 orang hadir termasuk, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari.

Jelasnya, kekacauan ketika kempen "Bebaskan Anwar 901" tidak akan timbul sekiranya tiada pihak yang cuba mengganggu-gugat perhimpunan secara aman itu. Kita minta seperti biasa, perhimpunan kita bersih daripada semua perhimpunan yang dibuat sebelum ini, aman dan selesai dengan baik  dan bersurai pun dengan baik.
 

"Yang penting jangan benarkan sesiapa menganggu termasuk tindakan polis supaya mengawal keadaan dan jangan ada provokasi," katanya.

Serentak itu, menurut bekas timbalan perdana menteri itu, solat hajat akan diadakan di seluruh negara bagi mengelakkan fitnah dan kezaliman serta keputusan mahkamah yang adil.

"Solat hajat akan dibuat secara berterusan di berpuluh tempat termasuk di Permatang Pauh supaya diselamatkan daripada fitnah dan kezaliman. Saya yakin kemenangan akan berlaku, kalau tidak esok, dalam beberapa bulan lagi akan berlaku perubahan besar dalam negara kita. Biar dia hukum saya dan kita doa rakyat akan hukum Umno dalam pilihan raya."

"Pada 9 Januari ini kita boleh dengar keputusan mahkamah tetapi fokus kita adalah pilihan raya. Meskipun, Anwar dipenjarakan namun pilihan raya masih penting, dihukum dengan ikat jamin, pilihan raya masih penting, rakyat putuskan kerajaan ini tumbang akhirnya," katanya.

Sebelum itu, semasa ceramahnya di Seremban, Anwar menyerang pemimpin atasan Umno kerana terus memfitnah dan menyerangnya.

"Ahli Umno dan pemimpin Umno peringkat bawah bukan musuh saya, hanya pemimpin atasan Umno yang menyerang saya tanpa henti. Pelbagai fitnah dan pembohongan dari setiap penjuru dilemparkan.
 

"Mereka ini adalah pemimpin yang merompak wang rakyat, terlibat dalam rasuah, komisen dan lembu. Senjata Umno hanya mengeksploitasikan isu perkauman dan memecah belahkan perpaduan pelbagai kaum. Umno punca orang Melayu menjadi miskin dan terpinggir. Siapa yang bertanggungjawab atas  kegagalan ini?"

"Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pertanian, semua mereka adalah orang Melayu daripada Umno," kata Anwar pada kira-kira 3,000 hadirin.


SUMPAH LAKNAT
Petaling Jaya 5 Jan. (Sinar)  - “Walaupun di saat akhir ini, saya tidak akan sekali-kali melakukan sumpah laknat untuk membuktikan saya tidak bersalah,” tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menafikan dakwaan beliau akan mengangkat sumpah laknat, Ahad ini.

Ketua Umum Pakatan Rakyat ini menjelaskan, beliau tetap dengan pendiriannya mendengar nasihat para ulama yang menyarankan agar tidak melakukan sumpah sebagai instrumen politik untuk membersihkan nama sehingga mempersendakan agama.

Tegas Anwar, beliau nekad dengan keputusan tersebut kerana mengambil kira nasihat ulama besar Yusuf al-Qaradawi yang melarangnya dari berbuat demikian kerana isu ini melibatkan sumpah demi politik yang diharamkan dari segi agama Islam.

Pendirian itu menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Anwar akan mengangkat sumpah laknat sebagai jalan terakhir menyelamatkan karier politiknya apabila keputusan kes liwatnya diumumkan Isnin ini.

Tambah Anwar, walaupun beliau sedar tindakannya mengangkat sumpah boleh memberi kelebihan besar kepadanya dari segi moral penyokong dan rakyat, namun beliau tidak akan melakukannya kerana menganggap sumpah tersebut mempermainkan agama.

“Kalau dengan sumpah sahaja boleh membebaskan saya, saya pasti ramai orang yang mencuri, merogol dan membunuh akan mengangkat sumpah menafikan kesalahan mereka, ia adalah salah. Sepatutnya dibawa bicara di mahkamah syariah.

“Jadi adakah saya perlu mengikut nasihat ulama-ulama besar atau mereka yang minum dan memiliki saham dalam syarikat arak? Sudah tentu saya mengikut nasihat ulama yang muktabar, jadi dakwaan yang kata saya akan angkat sumpah sebelum 9 Januari ini adalah tidak benar,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian Online.

Beliau berkata, tindakan melakukan sumpah laknat bukan sahaja akan merosakkan nilai sumpah itu sendiri, malah lari daripada kaedah Islam.

“Beberapa ulama memberi amaran kepada saya, jika sumpah sebab politik saya akan berdosa besar kerana mengelirukan orang Islam dengan perbuatan sumpah.

“Jadi kenapa saya perlu nak ikut benda yang tak betul? Saya tidak akan terbawa-bawa mainan politik atau media sehingga kita hina syariat Islam,” katanya.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang menjelaskan, masyarakat perlu mendalami hukum sumpah laknat seperti dalam buku “Qazab” untuk faham dengan lebih jelas kenapa beliau berkeras untuk tidak mengangkat sumpah.

“Seorang guru dari Johor tampil menulis surat meminta maaf kepada saya selepas baca buku Qazab kerana tersedar kesalahannya berucap kepada murid dan ibu bapa kata saya orang yang salah kerana tidak mengangkat sumpah laknat.

"Saya tak mahu sumpah saya itu akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu, jadi saya tetap dengan pendirian ini walaupun apa cara dan keadaan sekalipun,” katanya yang sudah bersedia menerima apa jua keputusan kes liwat kedua melibatkan diri beliau minggu depan.

1 comment:

  1. Sumpah, saya tidak pernah rogol Altantuya

    ReplyDelete