Apabila saya dihubungi editorial MerdekaReview untuk menjadi kolumnis jemputan, saya seakan tidak percaya; kerana lebih kurang 10 minit sebelum dihubungi oleh pihak editorial, saya baru sahaja menyatakan hasrat saya untuk menulis di akhbar dan portal agar segala pandangan dan buah fikiran saya dapat dinilai seadilnya. Bukan sekadar di medium Twitter atau Facebook. Tidak lama kemudian, saya mula termenung; apa harus saya tulis? Saya pernah terbaca pesanan seorang penggiat sastera yang mengatakan "pertama, kita harus tulis apa yang orang mahu, kemudian barulah kita tulis apa yang kita mahu,". Saya cuba untuk menuruti pesanan beliau. Puas saya fikirkan, akhirnya saya buat keputusan. Reaksi kepada soalan-soalan yang sering diajukan kepada saya, saya fikir, ramai yang ingin tahu dan baca; mengapa saya pilih jalan raya.
Tahun 1997 dan 1998 tentu sekali tahun penting dalam lipatan sejarah Negara kita kerana pada tahun itulah kita menyaksikan mobilisasi manusia yang disifatkan paling besar pernah berlaku dalam sejarah moden tanah air. Dari situ saya mengenali jalan raya sebagai medium sebenar menyampaikan suara dan isi hati rakyat yang setiap satunya mungkin tidak pernah pun merasai sejuk hawa dingin bangunan Parlimen mahupun Putrajaya. Saya masih ingat, ayah saya juga antara demonstran tegar ketika itu. Setiap pagi Sabtu beliau pasti akan turun ke kota. Dengan hanya berkemeja-t dan berseluar jeans, dengan motosikal buruknya beliau akan ke sana. Pernah saya mohon untuk bersama, tapi dihalang beliau. Katanya bahaya.
Lebih kurang sepuluh tahun kemudian, saya mula kenal jalan raya. Bermula dengan demonstrasi menuntut hak air rakyat Selangor, segala persoalan mengapa ayah saya turun ke tengah kota hampir setiap minggu sepuluh tahun lalu terjawab.
Di tengah-tengah keringat ribuan manusia, saya seorang diri asalnya. Saya tidak kenal langsung siapa yang berada di situ. Usai demonstrasi tersebutlah baru saya kenal beberapa rakan baru yang kini bersama dalam satu barisan bernama Solidariti Mahasiswa Malaysia. Saya masih ingat, ketika itu, berdepan dengan trak FRU, sebagai "first timer", logiknya pasti saya memilih barisan paling ke belakang sekali. Namun entah dari mana saya dapat keberanian untuk menjadi benteng hadapan. Sekali lagi diulangi, saya hadir seorang diri tanpa rakan yang dikenali. Namun aneh, saya tidak pula rasa keseorangan. Dengan bergandingan bahu bersama beberapa anak muda mahasiswa yang lain, kami berdepan dengan tembakan water-cannon. Kami tidak berganjak dari tempat kami. Sehingga akhirnya diserang oleh anggota keselamatan barulah kami mula mangambil langkah berundur. Itu antara kenangan yang masih saya simpan.
Sejak dari itu, saya sering kemaskini diri saya dengan berita-berita mengenai himpunan dan protes jalanan. Protes jalanan bagi saya sudah menjadi pentas mulia, dan juga cara yang mulia untuk memurnikan jalan raya. Akhirnya, jalan raya "disalahgunakan" dengan sebab yang baik, berbanding "disalahguna" dengan tujuan lumba haram, meragut, merompak dan sebagainya. Saya tidak faham dengan orang yang menentang orang yang memartabatkan jalan raya sebagai wadah ekspresi suara sebenar rakyat.
Maka kita datang ke persoalan sebenar; mengapa jalan raya? Tenang rakan-rakan. Jika dikupas satu persatu risalah sejarah, kita akan akhirnya bertemu dengan catatan-catatan mengenai kuasa jalan raya. Dari kurun ke 16 hingga ke Occupy, kita faham bahawa jalan raya telah banyak berjasa kepada rakyat berbanding parlimen! Tidak hairanlah Guy Fawkes suatu masa dahulu pernah ingin meletupkan bangunan Parlimen! Saya sering tekankan kepada rakan-rakan; parlimen hanya untuk 222 orang, sedangkan kita ada jutaan suara yang mahu didengari. Maka jalan raya adalah ruangnya. Ia terbuka, luas, dan pasti mendapat perhatian!
Kempen BEBAS yang menuntut kebebasan akademik misalnya, sering dirujuk sebagai anarki jalan raya yang tidak bertamadun dan hanya untuk membuat kacau. Di sini kita lihat, dan dibuktikan; bahawa hanya bila kempen ini digerakkan di jalan raya baru masyarakat dan pak-pak menteri mahu mengambil tahu tentang kempen ini. Mereka ini pasti tidak tahu bahawa sepanjang setahun kempen BEBAS digerakkan sejak awal 2011, sudah belasan gerak kerja dijalankan; dari siri debat, forum, wacana, pidato awam, termasuklah sidang-sidang video dan proses surat-menyurat. Siapa yang mahu dengar? Tiada siapa pun. Walau antara yang pernah dijemput hadir ke program kami itu termasuk nama-nama besar seperti Anwar Ibrahim, Saifuddin Abdullah, Hisham Rais, Fahmi Reza, dan Aziz Bari, ia tidak mampu mencuri perhatian orang ramai. Realitinya, masyarakat kita adalah masyarakat yang paginya dihidang dengan akhbar tabloid. Kisah-kisah sensasi sahaja yang mampu mencuri tumpuan masyarakat. Dan protes jalanan adalah salah satu dari sensasi yang gemar dibincangkan di kedai kopi.
Saya menemui jawapan terhadap mengapa harus turun ke jalan raya apabila saya sendiri turun ke jalan raya.
Andai kata tiada protes jalanan, mahukah semua pihak; kerajaan, pembangkang, media, akademia,imam surau, tok siak, sami, paderi, nelayan, petani, buruh, tukang masak, suri rumah, malah pelajar sendiri ambil perhatian terhadap isu-isu yang dibawa? Tidak kiralah samada BEBAS, BERSIH, GMA, PPSMI, ISA, Anti-Lynas, HIMPUN, OccupyDataran dan sebagainya. Demonstrasi, protes, himpunan, dan jalan raya kini terbukti sebagai medium terbaik dalam menyampai suara dan keringat masyarakat. Pada yang masih memandang jalan raya sebagai cara tidak bertamadun dan merosakkan ketenteraman awam, anda perlu muhasabah diri. Tanya kepada diri anda, adakah suara anda yang mengutuk demonstran ini didengari? Jika tidak, apa yang anda mahu buat? Mungkin anda harus cuba turun ke jalan raya juga.
*Adam Adli ialah aktivis mahasiswa, bergiat aktif dalam pertubuhan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).
Syabas Adam Adli, andalah yang akan mencetus keberanian anak muda kini yang kecut perut akibat pelbagai akta yang mencengkam!!!!
ReplyDelete