Monday, July 18, 2011

Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali Dalam Kenangan.

Nama Dr Lo’Lo’ agak sukar dilafazkan kerana ia berasal dari bahasa Arab yang bermakna permata mahal dari lautan. Jikalau dalam Bahasa Arab pun sebutannya susah disebut, tetapi bertentangan dengan tuan tubuh yang benama Lo’Lo’ beliau seorang yang mudah dan senang bergaul. 

Dalam parti PAS, Dr Lo’Lo’ sememangnya sinonim dengan Lujnah Kebajikan dan tagline 'Kami Prihatin' adalah usaha beliau yang menjadi slogan kebajikan Pas. Termasuk usaha Dr Lo’Lo’ ialah memberi makan kepada warga Chow Kit dan usaha itu terus dijalankan hingga hari ini. Dr Lo’Lo’ juga cuba untuk memastikan isu wanita menjadi inklusif dalam ruang ligar perjuangan PAS dan sikap keterbukaan Dr Lo’Lo’ amat disenangi oleh semua pihak khususnya dalam advokasi hak-hak wanita di Malaysia dan dunia secara umumnya.Dr. Mujahid Yusof Rawa

Beliau dilahirkan pada 2 Ogos 1957 di Kuala Kangsar, Negeri Perak. Beliau pernah bersekolah di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, Perak kemudian ke Kolej Islam Kelang, Selangor. Beliau menyambung pelajaran beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menjadi ahli Majlis Kepimpinan Pelajar UKM.

Bapanya ialah Dato Hj Mohd Ghazali yang merupakan Imam Besar Masjid Negara yang pertama manakala ibunya Datin Hjh Zainab. Suami beliau ialah Prof Madya Dr Aminuddin Abd Hamid Karim yang merupakan pensyarah perubatan. Anak-anak beliau ialah Mawaddah, Muhd Fawwaz, Sakinah, Muhd Farhan manakala menantu beliau ialah Mohd Azizy (suami Mawaddah) dan Nur Hafizzah (isteri Fawwaz). Beliau juga mempunyai seorang cucu yang bernama cucu iaitu 'Izz Nu'man (anak Mawaddah

Beliau pernah berkhidmat di Hospital Besar Alor Star, Kedah sebagai pegawai perubatan dari 1983 hingga 1985. Kemudian bertugas di Pusat kesihatan Besar Pokok Sena, Kedah dari 1985 sehingga 1987, Hospital Besar Kuala Lumpur (1987-1988), Pusat rawatan Islam Kuala Lumpur (1988-1994) dan menjadi pegawai perubatan dan pengarah eksekutif Pusat Perubatan KOHILAL, Kuala Lumpur dari 1994 sehingga sekarang.
Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Harakah milik PAS.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 beliau mengalahkan calon dari Barisan Nasional - UMNO, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir dengan majoriti sebanyak 1,972 undi. Beliau memperolehi 17,857 undi berbanding lawannya memperolehi hanya 15,885 undi. Beliau merupakan di antara 3 calon Dewan Muslimat PAS yang memenangi pilihan Raya Umum tersebut. Kemenangan beliau merupakan kemenangan pertama PAS Wilayah Persekutuan setelah lebih 30 tahun PAS cuba bertapak di Kuala Lumpur.
Beliau juga pernah menjadi calon Parlimen Bukit Gantang, Perak pada tahun 2004, kalah di tangan calon Barisan Nasional, Tan Lian Hoe.

Pada hari Ahad, 17 Julai 2011, jam 10.13 malam, beliau meninggal dunia di Hospital Selayang pada usia 54 tahun. Sebelum itu beliau berhadapan masalah barah yang serius. Jenazah akan disembahyangkan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat. Pilihan raya kecil Titiwangsa tidak dapat diadakan kerana tempoh parlimen sudah melepasi tiga tahun sejak pilihan raya umum yang lalu.

No comments:

Post a Comment