Tuesday, November 18, 2008

Bajet 2009 Pulau Pinang - Satu Perbandingan

* Sungguhpun Pulau Pinang lebih maju dari Negeri Perak, namun jumlah perbelanjaan tahunan (RM737 juta) Negeri Perak lebih besar dan pendapatannya juga besar. Nampaknya pengurusan Negeri Perak dan Selangor lebih rumit berbanding Negeri-negeri lain dibawah Kerajaan Pakatan Rakyat.

GEORGETOWN 14 Nov 2008: Bajet 2009, belanjawan pertama kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang dibentang di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), jumaat, menyaksikan defisit sebanyak RM39.4 juta. Dengan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM477.23 juta berbanding RM441.09 juta bagi bajet tahun ini, defisit Bajet 2009 lebih besar berbanding tahun ini, iaitu sebanyak RM3.7 juta.
,
Membentangkan bajet bertemakan 'Bajet CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) , Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata defisit yang lebih besar disebabkan pelaksanaan projek kebajikan kepada rakyat. Katanya, sebanyak RM17 juta akan digunakan untuk bayaran penggunaan air bernilai RM100 setiap keluarga bagi hampir 170,000 keluarga dan RM8.5 juta lagi sebagai bantuan kepada sekolah. Kedua-dua program itu membabitkan peruntukan sebanyak RM25.5 juta. "Jika program itu tidak dilaksanakan, defisit Bajet 2009 ialah RM13.9 juta, bukannya RM39.4 juta. Jumlah RM13.9 juta jauh lebih baik kerana hampir satu pertiga daripada defisit Bajet 2008 yang berjumlah RM35.7 juta.

"Langkah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah serta memberikan keadilan sosial dan ekonomi kepada rakyat dalam menangani kesan kenaikan harga barangan dan kos kehidupan," katanya. Guan Eng berkata, Bajet 2009 memberikan tumpuan kepada tiga teras utama iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjamin keadilan sosio ekonomi.

"Tumpuan itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa yang menjadi pilihan pelabur, pelancong dan orang ramai," katanya. Dari segi merancakkan pertumbuhan ekonomi, Pulau Pinang yang mencatatkan pelaburan sebanyak RM6.1 bilion sehingga Ogos lalu, merangka 10 langkah bagi menjana ekonomi sebagai persiapan menghadapi kemelesetan ekonomi.

Ia termasuk menubuhkan pasukan petugas khas sebagai pemudahcara perniagaan bagi pelaburan bernilai tinggi, melaksanakan konsep mesra pelabur iaitu 'bina dulu, lulus kemudian', menubuhkan panel penasihat industri dan perkhidmatan. Mempromosi Pulau Pinang sebagai lokasi utama pilihan pelabur dengan membangunkan kawasan industri baru di Batu Kawan, menggalakkan pembangunan Hab Industri Halal dan industri kecil sederhana, memulihkan 40 hektar tanah terbiar dengan kegiatan pertanian dan menggalakkan pelaburan semula.

"Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang juga sedang mengkaji langkah untuk mengurangkan harga tanah industri sebanyak 10 peratus," katanya. Guan Eng berkata, dari segi mewujudkan peluang pekerjaan, kerajaan negeri menubuhkan Tabung Pembangunan Latihan Semula Industri untuk membantu pekerja yang hilang pekerjaan dengan memberi latihan semula. Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri memohon peruntukan sebanyak RM500 juta daripada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan program berkenaan.

"Kerajaan negeri juga bercadang menyediakan RM10 juta untuk tabung ini bagi melaksanakan program kemahiran terutamanya mereka yang hilang pekerjaan ketika krisis ekonomi," katanya. Dari segi teras menjamin keadilan sosio ekonomi, Ketua Menteri berkata, hampir 170,000 keluarga berpendapatan rendah akan menerima rebat bekalan air sebanyak RM100. Katanya, pemberian rebat itu akan dilaksanakan dengan empat pembayaran bermula hari ini dengan RM25 bagi setiap bayaran.

"Kerajaan sedar wang ehsan RM100 tidak mencukupi tetapi ia satu petanda bahawa kerajaan tidak melupakan rakyat yang menghadapi kesusahan ketika krisis kewangan global," katanya.

petikan: Berita online

No comments:

Post a Comment