Saturday, October 1, 2011

Asri: PAS perlu tokoh diterima semua untuk pimpin Putrajaya

KEPALA BATAS, 1 Okt  Hari ini PAS yang menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-60 dan malam tadi berlangsung program Forum Perdana di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang. Lokasi Kepala Batas dipilih sempena tempat kelahiran parti Islam ini yang wujud enam dekad lalu. Forum turut dibarisi oleh panel Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS YB. Salehuddin Ayob dan moderator Ustaz Idris Ahmad. 

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengulas perlunya PAS ada satu tokoh yang boleh diterima oleh semua rakyat jika mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat kelak. Menurutnya PAS sudah berada ditahap matang dalam arena politik, namun menurut bekas mufti Perlis itu, parti Islam tersebut perlu melahirkan ikon yang boleh diterima setiap lapisan masyarakat jika ingin terus kekal relevan.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini mengetuai PAS memerlukan tokoh ikon untuk mendapatkan kepercayaan rakyat berbilang kaum, seorang tokoh yang bukan sahaja diterima ahli PAS tetapi orang di luar PAS. Apa yang kita lihat terdapat 60 peratus pengundi yang belum membuat keputusan untuk melonjak dan menengahkan tokoh itu.

“PAS perlu seorang tokoh yang bukan sahaja disebut nama sudah dikenali macam Burhanuddin al-Helmy... hebat, bukan sebut nama orang dah kenal, tapi rakyat juga lihat dia layak untuk jadi perdana menteri,” katanya.

Burhanuddin asalnya tokoh pejuang kebangsaan merupakan pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebelum memimpin Hisbul Muslimin dan kemudiannya PAS.
“Tokoh ikon perlu diwujudkan iaitu kalangan PAS sendiri yang akan membantu PAS bersama Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya”, katanya.



Hala-tuju politik PAS memerlukan kerangka politik yang baru, kerangka yang lebih besar... kerangka Malaysia bukan kerangka Kelantan. Beliau turut memberi cadangan agar kepimpinan  tertinggi PAS tidak melibatkan diri dalam hal-hal remeh yang boleh diselesaikan di peringkat bawahan.

“Umno bukan piawaian untuk PAS buat perbandingan, PAS perlu berada di tempat lebih tinggi,” katanya. Asri turut menekankan agar kepimpinan PAS terus mempertahankan dasar Islam walaupun dikritik pihak tertentu.

“PAS sudah mencapai usia matang kerana bersedia mendengar pandangan yang berbeza, saya melihat PAS telah berjalan di atas landasan sehingga dunia Islam menyedari tentang kebangkitan Islam.

“Pemimpin-pemimpin dalam PAS perlu terus mempertahankan dasar Islam, PAS perlu realistik dan ketepikan retorik politik, PAS juga perlu bergerak ke hadapan dengan lebih terbuka dan memahami Islam secara meluas,” katanya.

Tambah beliau Pakatan Rakyat agar tidak “melambakkan” idea politik secara terus kepada rakyat, sebaliknya jelas Asri, kaedah terbaik adalah melalui dialog atau perbahasan untuk menjelaskannya kepada rakyat.

2 comments:

  1. Siapa orang nya HANG ka wahabi oiiiii...

    ReplyDelete
  2. tok guru nika aziz hang perli, tok guru hadi awang hang perli..tok guru pondok hang kutuk...najib kadang kadang hang ngampu terutamanya kes ISA hang suruh rakyat sokong..hang ni sebiji macam alsaud al mabuki alakasino ejen amerika yang SAHIH..shahidan apa khabar...Ustaz azhar rindu kat hang la wahabi oiii

    ReplyDelete