Thursday, September 1, 2011

Umno padam jasa agamawan nasionalis

KUALA LUMPUR, 1 Sept — Dua lagi pemimpin PAS pusat mempertahankan Mohamad Sabu sambil menegaskan kefahaman bahawa hanya Umno memperjuangkan kemerdekaan negara seperti dicanang pihak tertentu untuk mendapat sokongan orang Melayu sama sekali tidak benar.

Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli jawatankuasa kerja PAS, berkata gologan agamawan nasionalis yang dicap sebagai penentang atau golongan kiri oleh British juga merupakan pejuang kemerdekaan sebenar, namun tidak diangkat dalam sejarah.

NONEDatuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS  mengeluarkan pendirian menyokong timbalan presiden itu. Mereka seperti Tok Janggut yang menentang British di Kelantan, Tok Ku Paloh dan Abdur Rahman Limbong di Terengganu, Datuk Bahaman di Pahang dan beberapa pejuang lain yang sanggup menggadai nyawa menentang penjajah.


Selain itu tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan negara yang lain seperti Dr Burhanudin al-Helmi, Ibrahim Yaakob, Abu Bakar al Baqir dan Ahmad Boestamam juga seolah-olah dinafikan jasa mereka menentang penjajah. “Pada saya, sebenarnya perlu kepada penziarahan semula sejarah kemerdekaan kita kerana sejarah yang ada pada hari ini hanya ditulis dari satu sisi pandang iaitu dari pihak Umno BN yang diberi kuasa oleh penjajah British,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.



“Kita menerima nasionalis berunding meja bulat dengan British kemudiannya diberi kuasa, namun kita juga perlu mengiktiraf dan merakamkan perjuangan agamawan nasionalis dan golongan kiri yang turut berjuang memerdekakan negara dari British,” katanya dipetik Harakahdaily hari ini.

Menurut sejarah, dalam pertempuran dengan British di Kampung Pupuh, Tok Janggut dibunuh dan mayatnya dibawa ke Kota Baru dalam kereta lembu yang menelan masa sehari.

Kemudian mayat beliau digantung secara terbalik beberapa hari di depan istana di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

Abdur Rahman pula dilabel sebagai sebagai penderhaka kepada kerajaan Terengganu dan ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya di Mekah pada 1928 dan meninggal dunia selepas itu.

“Umno buat apa, berunding meja bulat sahaja, ini Tok Janggut, Abdul Rahman, Tok Ku Paloh, Datuk Bahaman berjuang angkat senjata lawan British bukan ikut telunjuk British,” tambah beliau.

Mengulas kenyataan Mohamad yang dimainkan akhbar Umno berhubung serangan terhadap anggota polis di Bukit Kepong pula, Dzulkefly berkata, anggota polis tersebut terperangkap sebagai mangsa keadaan.

Biarpun serangan itu adalah terhadap British, namun anggota polis tersebut menjadi mengsa kerana mereka pada waktu itu berkhidmat untuk British dan memerangi mereka yang menentang British.

Dr Mujahid Yusof, Ahli Parlimen Parit Buntar juga ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat, berkata isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 1950 iaitu tujuh tahun sebelum Merdeka merupakan serangan ke atas sarang penjajah British dan bukannya kepada anak bangsa sendiri.

Mujahid berkata, serangan kira-kira pukul 5 pagi pada 23 Februari 1950 itu manifestasi kemarahan rakyat terhadap penjajah British ketika itu, namun sejarah itu telah diseleweng oleh Umno BN. Katanya, ia termasuklah kemarahan terhadap anggota polis yang pada waktu itu menjadi tali barut British.

“Isu Bukit Kepong tahun 1950 adalah serangan ke atas sasaran penjajah bukan kepada anak bangsa sendiri. “Polis waktu itu adalah apparatus penjajah, penyerang pula adalah mereka yang menentang penjajah, apakah kerana ini mereka menjadi komunis,” soalnya. 

Zaman British sesiapa sahaja yang menentang mereka akan dicap sebagai golongan berhaluan kiri atau komunis. Golongan kanan atau konservatif pula adalah mereka yang mengikut telunjuk British, katanya.

“Golongan konservatif akan mengekalkan penguasaan British. Penentang keras dan mahu negara ini merdeka mengikut acuan sebenar dicap kiri atau komunis,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut kecaman Umno terhadap Mohamad itu, Mujahid berkata, Umno adalah anak didik British yang diiktiraf sebagai golongan konservatif, sebab itu sehingga sekarang walaupun sudah 54 tahun merdeka, mereka masih bermati-matian mempertahankan British.


AJK PAS Pusat, Idris Ahmad turut mendakwa kesan akibat kerajaan BN menjadikan sambutan kemerdekaan negara seperti menyambut ulang tahun kelahiran Umno, maka rakyat hari ini dikatakan begitu hambar untuk menyambut kemerdekaan negara, 

“Umno adalah golongan konservatif yang menjadi anak didik British, malangnya setelah 54 tahun merdeka Umno masih mempertahankan British. “Cuma Umno tidak sedar mereka adalah 'radio buruk' hari ini di mata rakyat yang sudah merdeka,” katanya.

“Inilah yang terjadi apabila negara menyambut kemerdekaan, seolah-olah negara merdeka hasil perjuangan Umno sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, nama-nama tokoh pejuang kemerdekaan negara seperti Dr Burhanudin al-Helmi, Ibrahim Yaakob, Abu Bakar al Baqir, Ahmad Boestamam (bawah, kanan) dan lain-lain lagi seolah-olah cuba dipadamkan dari sejarah.

“Kenapakah nama-nama mereka digelapkan daripada sejarah negara ini?” soalnya. Sebaliknya, menurut Idris, tokoh-tokoh Umno pula yang diagung-agungkan semasa menyambut kemerdekaan negara.

Pada hal, katanya, Umno hanya wujud kerana menentang Malayan Union pada 11 Mac 1946 dan malahan slogan Umno peringkat awal ialah Hidup Melayu.

Menurutnya, laungan 'Merdeka' hanya digunakan oleh Tunku Abdul Rahman pada 5 April 1953 semasa persidangan perhimpunan agung Pemuda. Ini, kata Idris, membuktikan Umno begitu lambat untuk memperjuangkan kemerdekaan negara ini.

Tambahnya lagi, golongan yang enggan berkompromi dengan British sudah lama menyuarakan hasrat mendapatkan kemerdekaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1945) dan Hizbul Muslimin (1948).

malayan union billboardMenurut Idris, jika benar Umno memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, rakyat tentunya bertanya siapa pemimpin Umno yang diburu oleh penjajah ketika zaman penjajahan British itu.

“Ini membuktikan Umno ialah anak emas penjajah,” ujarnya lagi.

1 comment:

  1. jgn kata yg brjuang di luar UMNO,yg brjuang dlm UMNO tp tk shaluan dgn pimpinan UMNO pun lnyap dr bku sjarah bro

    ReplyDelete