Thursday, December 30, 2010

SUK bisa menjerut Kerajaan Negeri

SHAH ALAM 30 Dis 2010 Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa kerajaan persekutuan cuba membubarkan DUN Selangor melalui pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK). Khalid berkata, Khusrin yang merupakan bekas setiausaha sulit kepada menteri besar sebelum ini Tan Sri Muhammad Mohd Taib, terhutang budi kepada perdana menteri Datuk Seri Datuk Najib Razak dan bukannya kepada negeri itu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di pejabatnya, Beliau mendakwa, Najib pula berniat untuk mewujudkan kekacauan di negeri itu dan memaksa pembubaran DUN.

Kebimbangan yang disuarakan Khalid itu timbul berikutan desas-desus berhubung langkah Selangor dan negeri-negeri dikuasai Pakatan Rakyat untuk tidak membubarkan DUN sekiranya Najib mahu mengadakan pilihan raya mengejut.

Khalid juga mendakwa SUK Negeri Perak sebelum ini memainkan peranan utama dalam menumbangkan pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri itu pada awal 2009.

Beliau bimbang keadaan sama akan berlaku di Selangor ekoran pelantikan Khusrin ke jawatan tersebut memandangkan bekas pengarah Jabatan Agama Islam itu lemah dari segi kelayakan.Khalid turut mendakwa, Khusrin dilantik ke jawatan itu untuk mewujudkan masalah kepada pentadbiran negeri.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pula dilaporkan berkata, perlantikan Datuk Khusrin itu sendiri mempunyai agenda khusus dari kerajaan pusat untuk membolehkan Datuk Khusrin campur tangan bagi pihak kerajaan pusat dalam membuat keputusan Mesyuarat Exco Negeri Selangor.

"Apa saja keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat Exco, sepatutnya setiausaha sulit akan keluarkan arahan dan laksanakan, kemudian putuskan dalam mesyuarat.

"Ini tidak, apa yang tak diputuskan dia buat, mesyuarat Exco tak bincangkan masalah ini, dia sendiri akan buat surat dan keluarkan arahan tanpa kita bagi arahan daripada mesyuarat Exco," katanya dalam satu kenyataan media.

Kejadian seperti itu, menurut beliau, tidak mustahil akan berlaku dalam pentadbiran kerajaan Selangor jika perlantikan Khusrin diteruskan sehingga akhirnya akan menyebabkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berjaya digulingkan oleh kerajaan pusat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut melahirkan kebimbangannya berhubung perkara itu, berdasarkan pengalamannya sendiri sebelum ini yang pernah mengetuai sebuah kerajaan yang sah yang diberikan mandat oleh rakyat pada PRU Ke-12 lalu, tetapi digulingkan oleh pihak Umno BN menerusi rampasan kuasa.
Harakahdaily

Wednesday, December 8, 2010

Titah Sultan Perak martabatkan bangsa Melayu disokong

IPOH, 8 Dis 2010 Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPNPk) Rabu menyokong titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah bahawa orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini telah menghina dan mengkhianati bangsanya sendiri.

Setiausahanya Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata titah berkenaan bertepatan dengan situasi negara kerana mereka yang mempertikaikannya, bertindak tanpa berasaskan faktor sejarah dan bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

"Perkara ini turut ditekankan PAS dan pakatan pembangkang yang bersepakat berdasarkan konvesyen tahun lalu yang akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan termasuk hak istimewa orang Melayu dan Raja Berperlembagaan.

'DPPNPk juga menyembah maklum akur dengan titah Sultan Azlan Shah kerana sejarah telah menyatakan bahawa kejatuhan empayar dan Kerajaan Islam dahulu adalah akibat pemimpinnya telah lalai terhadap tanggungjawab dan perintah agama," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya DPPNPk komited mempertahankan Perlembagaan Malaysia.

Semalam, ketika merasmikan sambutan Maal Hijrah 1432 peringkat negeri, Sultan Azlan Shah mengingatkan agar umat Islam dan orang Melayu tidak terburu-buru mengambil sesuatu tindakan kerana dibimbangi akan merugikan masa depan dan generasi mereka sendiri.

Baginda bertitah amat malang kepada agama dan bangsa, apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah dan jika ini dibiarkan, tiada maknanya lagi apabila bangsa kemudian hari menghadapi kesesalan kerana ketika itu telah terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan.
-Bernama

Tuesday, December 7, 2010

Sultan Johor: Kedaulatan Melayu ganti Ketuanan Melayu

Johor Bharu 8 Dis 2010 Ketuanan Melayu lebih sesuai disebut “kedaulatan Melayu” kerana ia mencakupi kedudukan Raja-raja Melayu dan rakyatnya dan bukannya soal antara “tuan” dan “hamba”, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

“Ketuanan Melayu merujuk kepada kedaulatan di negeri Melayu dengan kedudukan raja sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu,” titah baginda semasa merasmikan Multaqa Ulama Darul Ta’zim di sini hari ini.

Menurut baginda apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu Raja-raja Melayu dan rakyatnya.

Ini kerana, awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-raja Melayu dan rakyatnya, titah baginda.

“Sejak dulu lagi, ketika negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, Raja-raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagi tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Tanah Melayu. Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum lain terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah baginda membangkitkan soal mengenai 'Ketuanan Melayu' memandangkan masih ramai rakyat tidak memahami perkara berkenaan dan menyalah-tafsir maksudnya yang sebenar.

Baginda mengingatkan orang Melayu supaya bermusahabah diri dan mempertahankan ketuanan Melayu memandangkan ada orang Melayu sendiri yang mahu menolak kedaulatan Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

"Berdasarkan perkembangan semasa, suka saya mengingatkan kepada orang Melayu sekalian supaya muhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah sistem raja dan kerajaan Melayu yang telah wujud ratusan tahun dahulu tidak pernah putus malah kekal sehingga ke hari ini serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bernama