Saturday, June 21, 2014

Sultan Perak ke-35: Tegurlah Beta

KUALA KANGSAR 20 Jun - Mesyuarat Dewan Negara Perak Kali Ke-159 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar yang buat pertama kalinya dipengerusikan oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak ke-35. Mesyuarat memutuskan bahawa Tuanku Zara Salim diperkenankan gelaran Raja Permaisuri Perak.ni.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Toh Amar Seri Diraja Datuk Ayop Hashim berkata, berkuat kuasa hari ini juga, balu Almarhum Sultan Azlan Shah pula diperkenankan gelaran Raja Permaisuri Tuanku Bainun.

"Tarikh sambutan rasmi ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak ditetapkan pada 27 November. Sambutan pertama ulang tahun tersebut akan dimulakan pada 2015," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ayop berkata, mesyuarat Dewan Negara Perak hari ini turut memutuskan Raja Di-Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dinaikkan ke pangkat gelaran Raja Muda Perak berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, Raja Kechil Besar Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dinaikkan ke pangkat gelaran Raja Di-Hilir Perak.

"Raja Azlan Muzzaffar Shah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dikurniakan pangkat gelaran Raja Kechil Besar Perak," katanya.

Berkata benar walaupun pahit
Titah Baginda supaya ahli-ahi Dewan Negara Perak memberikan nasihat yang baik kepada Baginda sekalipun ia sesuatu yang pahit untuk diperkatakan.
"Setiap kebenaran wajib disembahkan dan jangan sekali dirahsiakan daripada pengetahuan Beta."
"Jauhkan Beta daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong Beta untuk berkhayal, lena dengan mimpi indah; sedangankan realiti yang berlaku di kalangan rakyat dan di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan' titah Sultan Nazrin semasa mempengerusikan Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159 di Istana Iskandariah semalam.
"Semoga ahli-ahli Dewan Negara Perak membantu Beta dengan segala keikhlasan dan jujur agar Beta dapat menyempurnakan amanah dan tanggungjawap dengan adil dan saksama."
-BumiPerak