PARLIMEN 24 Jun Pakatan Rakyat (PR) dicadangkan untuk menubuhkan satu "Kabinet
Bayangan" dalam sidang Dewan Rakyat Ke-13, kata Yang di-Pertua Dewan
Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas dilantik untuk penggal kedua
dalam ucapan pemasyhuran di Parlimen pagi ini.
Pandikar yang baru dilantik selepas memenangi pengundian dengan 133
undi berkata cadangan tersebut bertujuan untuk memudahkan proses
perdebatan apabila Dewan Rakyat mula bersidang secara rasminya nanti.
"Saya berharap perubahan ini akan disusuli dengan pengwujudan barisan
Kabinet Bayangan untuk memudahkan pengendalian perbahasan dalam konteks
mengenalpasti pembahas-pembahas utama daripada pihak pembangkang," kata
Pandikar.
Disamping itu, Pandikar juga menjelaskan kedudukan ahli Parlimen pada
Dewan Rakyat kali ini disusun mengikut jawatan paling kanan berbeza
dengan dahulu yang mengikut blok parti bertujuan untuk memudahkan
keutamaan diberikan kepada para mereka semasa berdebat.
"Sementara itu, dalam hal-hal berhubung dengan pengendalian majlis
mesyuarat pasti stailnya juga akan berbeza dari Parlimen ke-12.
"Disamping itu, saya perhatikan tempat duduk ahli-ahli Parlimen
terutama sekali daripada pihak pembangkang telah juga diubah mengikut ke
kananan sebagai satu parti berbeza semasa Parlimen ke-12 dimana tempat
duduk MP mengikut blok parti masing-masing," tambahnya lagi.
Pandikar menang pengundian selepas menewaskan calon pembangkang PR,
bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang
mendapat 89 undi.
Pandikar dalam ucapannya lagi juga menggesa supaya MP yang baru
mengangkat sumpah agar mencerminkan imej sebagai seorang wakil kepada
rakyat dan menunjukkan kematangan semasa berdebat.
"Marilah sama-sama kita menunaikan tanggungjawab sebagai ahli dewan
yang mulia dengan penuh dedikasi, beramanah dan berkesan," kata
Pandikar. - MInsider.
Ungkapan 'Ini Kali Lah' Pandikar cuit perhatian
Di luar Dewan semasa Sidang Media, Pandikar menyeru Ahli-ahli Parlimen membudayakan seruan-seruan yang dilaungkan sewaktu bertugas di Dewan Rakyat.
Beliau berpandangan seruan-seruan yang 'dipopularkan' iaitu 'Ubah',
'Transformasi', 'Reformasi', Ini Kali Lah', 'Kalau Bukan Kita Siapa
Lagi?', 'Kalau Bukan Sekarang Bila Lagi?' merupakan mesej menyeru iaitu
"Mengubah sikap untuk membuat kebaikan".
"Bagi mereka yang mempopularkan seruan ini, mungkin mereka mempunyai pengertiannya yang tersendiri. Akan tetapi, bagi saya, seruan-seruan ini, bermesej iaitu menyeru - "Mengubah sikap untuk membuat kebaikan.
"Maka bertolak dari roh maksud tafsiran ini, saya menyeru Ahli-ahli
Yang Berhormat sekalian untuk membudayakannya sewaktu bertugas di Dewan
Rakyat. Ayuh! Kita ubah, kita bereformasi, kita
bertransformasi, kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila
lagi? Ini Kali Lah!" katanya.
Tambah Pandikar, beliau bertekad untuk berubah.
"Seperti yang Ahli-ahli Yang Berhormat nampak dan lihat, pada hari
pertama persidangan hari ini, jubah yang saya pakai telah
ditransformasi, reka bentuk atau designnya canggih, menggamit dan selesa
dari yang dulu.
"Sementara itu, dalam hal-hal lain berhubung
dengan pengendalian majlis mesyuarat pasti stailnya juga akan berbeza
dari Parlimen Ke-12," katanya.-Hrkdaily