SHAH ALAM - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang
mendakwa pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) di Kelantan melakukan tujuh
dosa besar ke atas rakyat negeri itu dan umat Islam.
Menurutnya, kenyataan Najib itu tidak benar dan cuba mengaburi rakyat
Malaysia dengan menyembunyikan fakta sebenar tentang pentadbiran PR di
Kelantan.
Islam, dalam kebangsaan tiada sebutan dosa pahala. Bila kebangsaan
menyebut dosa pahala, maknanya mereka mahu meniru dan mengaburi. Ini
cara menipu rakyat Malaysia.
“Persaingan perlu dibuka, dalam politik pun kena ada saingan tapi kenapa
persaingan itu tutup,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan
Ekspo Kelantan 2013 di pekarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di
sini malam tadi.
Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz berkata, pencapaian terkini di
Kelantan membuktikan negeri tersebut mampu membangun bersama Islam.
“Kita harus kembangkan Islam dalam semua bidang. Bila sebut pasal Islam,
ia bukan hanya pada solat dan puasa tetapi merangkumi pelbagai bidang
termasuk ekonomi, sosial dan politik. Justeru itu, rakyat wajib pilih kerajaan yang mahu menggerakkan Islam,
bukan kerajaan yang mengasingkan agama daripada politik,” jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu terbaru gambar kontroversi
mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata,
tindakan itu adalah tidak wajar kerana cuba mengaibkan Anwar tanpa bukti
sahih.
“Mereka belum puas ‘cincang’ Anwar. Kita orang politik ini sepatutnya kena lawan hujah bukan peribadi,” katanya.
Dalam pada itu, Ekspo Kelantan 2013 yang berlangsung selama tiga hari
bermula Jumaat lalu anjuran Kerajaan Negeri Kelantan bertujuan membawa
pelbagai maklumat berkenaan pembangunan negeri itu untuk informasi
rakyatnya yang berada di luar Kelantan.
Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program berlangsung, antaranya
pertunjukan gasing terbang, demonstrasi kapal terbang kawalan jauh dan
persembahan dikir barat.
No comments:
Post a Comment