Saingan politik
Seperti yang selalu ditegaskan, pada asalnya, Islam tidak suka perasaan tamakkan jawatan tanpa sebab yang berasas yang Allah redha. Keinginan mendapatkan kedudukan politik untuk kepentingan diri atau sebagai kebanggaan adalah dilarang dalam agama ini. Ini jelas daripada hadis-hadis, antaranya sabda Nabi s.a.w: “Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinanan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permualaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).
Baginda
juga pernah menasihati `Abd ar-Rahman bin Samurah: “Wahai `Abd
ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika
engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak
ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa pemintaan maka engkau
dibantu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Islam
melihat kerakusan inginkan jawatan disebabkan perasaan sukakan
kedudukan dan nama hanya akan penyesalan di akhirat dan melemahkan
jawatan itu sendiri. Namun dalam masa yang sama, seseorang boleh
berusaha mendapatkan jawatan politik jika dia merasakan dia dapat
memberikan khidmat yang lebih baik daripada orang lain. Ini seperti yang
al-Quran ceritakan tentang permintaan Nabi Yusuf a.s : (maksudnya)
Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi
(Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi
mengetahui cara mentadbirkannya.Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan
kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di
negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami
kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan
balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah Yusuf, 55-56).
Kata Ibn
Taimiyyah rh (meninggal 728H): “Nabi Yusuf meminta jawatan kepimpinan
untuk kebaikan agama, itu bukan sesuatu yang menyanggahi pergantungan
kepada Allah, tidak juga termasuk dalam pemintaan jawatan yang
dilarang” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 8/68, Riyadh: Maktabah
al-Abikan)
Kata
al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) mengulas ayat ini: “..demikian juga
hukumnya pada hari ini. Sekiranya seseorang insan tahu mengenai
dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan
hisbah, sementara tiada seorang pun yang sesuai dan setanding dengannya
maka jawatan itu fardu `ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan
memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifat yang
melayakkannya iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain” (Tafsir
al-Qurtubi, 9/21, Beirut: Dar al-Fikr).
Saling memerlukan
Persaingan
PAS dan Umno adalah sesuatu yang baik jika mengujudkan keadaan “check
and balance” antara penguasa dan rakyat. Ia akan menghidupkan suasana
amar makruf dan nahy munkar (promoting good and forbidding evil).
Tindakan pemerintah akan diteliti oleh pembangkang dan tindakan
pembangkang adalah mewakili kemaslahatan rakyat. Maka wujudlah
pemerintah yang berkualiti dan pembangkang yang bermanfaat. Keduanya
membawa kebaikan kepada rakyat dan keduanya berlumba-lumba untuk mencari
pahala dalam lapangan politik.
Saya masih
ingat pernah semasa saya berbual bersendirian dengan Tun Abdullah
Ahmad Badawi di London, beliau menyebut: “Umno memerlukan PAS.
Kewujudan PAS menjadikan Umno sentiasa beringat dengan tindakan mereka.
Tanpa PAS, Umno akan terlupa dan tidak berhati-hati terutama berkaitan
Islam.” Saya percaya itu ucapan yang bukan atas kepentingan politik.
Dalam persada politik Malaysia, menghapuskan persaingan antara PAS dan
Umno bukan sesuatu yang baik untuk rakyat dan umat. Bahkan itu boleh
menjurus ke arah monopoli, kerakusan, bertambah berluluasanya rasuah,
hilangnya sifat berhati-hati dalam tindakan dan pelbagai lagi.
Apa yang perlu dihapuskan?
Malangnya,
hal ini kadang-kala tidak berlaku. Persaingan politik dikendalikan
atas kepentingan diri ataupun puak, bukan untuk kepentingan rakyat
lagi. Perlumbaan melakukan kebaikan itu dipadamkan oleh banyaknya
perlumbaan menghapuskan pesaing politik. Berlakunya manipulasi isu dari
kedua belah pihak. Kedua pihak akhirnya menerima padah; maruah dan
nilai tercemar. Kelantan yang dikuasai PAS telah menjadi mangsa buli
sekian lamanya. Hal yang sebaliknya juga berlaku apabila segala
tindakan pemimpin Umno jarang dinilai positif oleh PAS. Politik
prasangka memenuhi ruang. Kerakusan kuasa dan harta meruncingkan lagi
permusuhan itu.
Persaingan
yang bertujuan untuk menggalakkan kebaikan dan menghalang keburukan
bertukar menjadi persaingan yang membawa keburukan dan menghalang
kebaikan. Media kerajaan yang menggunakan wang rakyat hanya diberi
ruang kepada satu pihak sahaja untuk mencerca pihak yang lain
semahunya. Idea-idea politik dan pembangunan dari pihak yang bersaing
tidak mendapat ruang yang adil dalam media kerajaan. Padahal, jika niat
benar-benar untuk pembangunan rakyat, apa salahnya idea-idea baik itu
didengari oleh rakyat dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan sekalipun
dari pembangkang. Namun itu tidak berlaku. Politik idea dibunuh oleh
politik permusuhan puak dan peribadi. Dalam masa yang sama, ceramah dan
ucapan pembangkang juga banyak yang bukan mengemukakan cadangan dan
idea yang bernas, tetapi lebih kepada menyerang keburukan-keburukan
peribadi pihak lain. Sedaya mampu hanya untuk mencari salah dan silap,
sekalipun dalam perkara peribadi orang lain. Seakan mesejnya, “pilihlah
kami, kerana mereka lebih buruk dari kami”. Sepatutnya, “pilihlah kami
kerana kami dapat menawarkan service yang lebih baik”.
Sikap dan pendekatan yang seperti ini patut dihapuskan. Sikap yang lebih rasional dan insaf perlu disuburkan.
Di sebalik lambang
Dalam Umno
dan PAS, ramai yang menilai pihak yang lain berdasarkan warna parti.
Warna itu pula telah diberikan pelbagai persepsi permusuhan politik
yang diapi-apikan oleh pelbagai keadaan dan pihak. Seakan, tiada lagi
kebaikan yang boleh diharapkan di pihak yang satu lagi.
Hakikatnya,
di sebalik nama dan lambang parti masing-masing, ahli-ahli PAS dan
Umno adalah Muslim. Kehidupan ini bukan segalanya politik. Ya, ada
Muslim yang baik dan ada yang tidak mengamalkan agamanya. Sementara
yang kuat beragama itu pula, bukan semestinya dia berjaya menghayati
agama dalam setiap aspek. Setiap kita ada kelemahan dan kekurangan. Hal
ini terpakai untuk semua orang tanpa mengira parti. Parti bukan agama.
Parti mungkin berperanan dalam menggerakkan satu juzuk dari kehidupan
bermasyarakat dalam negara ini. Orang PAS dan Umno ada yang baik dan
takutkan Allah. Ada yang cuba sedayanya mengamalkan agama apa yang
mereka faham. Ada juga yang tidak pedulikan agama, ataupun
mempergunakan agama. Berserban dan bersongkok bukan jaminan kebaikan
untuk sentiasa dilakukan. Bukan semua orang Umno jahat, bukan semua
orang PAS baik. Begitu juga sebaliknya. Mereka tidak lahir atas lambang
parti. Mereka kebanyakan lahir sebagai orang muslim. Mereka mengakui
Islam sebagai agama mereka. Allah menamakan mereka semua muslimin,
sebelum mereka itu dikaitkan dengan nama parti mereka. Firman Allah:
(maksudnya) “dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang
sebenar-benarnya. DIAlah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan
agamaNya); dan DIA tidak menjadikan kamu menanggung kesusahan dalam
agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: ‘muslimin’ semenjak
dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad)
menjadi saksi untuk kamu, dan supaya kamu pula menjadi saksi untuk umat
manusia. Maka, dirikanlah solat, dan berilah zakat, serta berpegang
teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. maka (Allah Yang
demikian sifatnya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik
pemberi pertolongan. (Surah al-Hajj, 78).
Kita bersaudara
Tidak
menjadi masalah bersaing dalam politik. Tidak menjadi masalah juga
bercita menukar kerajaan atau mengekalkannya. Namun, antara orang PAS
dan Umno, di sebalik tembok parti, mereka kena ingat mereka saudara
seagama. Banyak perkara dalam kehidupan ini yang mereka berkongsi
perkara yang sama. Mereka percaya pada Allah yang sama, Nabi yang sama,
al-Quran yang sama dan seterusnya. Banyak perkara pokok dan asas yang
mereka sama dibandingkan perkara yang mereka berbeza. Walaupun pada
juzuk politik mereka berbeza, mereka wajib menghormati hak sebagai
saudara muslim dalam kehidupan ini. Perbezaan parti tidak boleh
menghalang mereka dalam masa yang sama untuk kasih saudara seagama.
Tidak wajar menghalang mereka untuk duduk berbincang dan berpakat yang
perkara yang mereka sama-sama imani. Tidak wajar menghalangi mereka
memberi salam dengan jujur dan melahirkan ukhuwwah islamiyyah tanpa
dikaitkan dengan soal perbezaan pendekatan politik.
Sesiapa
yang bersahabat dengan kedua pihak, akan menemui kebaikan yang wujud di
kedua belah pihak. Mungkin kita tidak setuju dengan lambang tertentu,
namun dalam kehidupan bukan semua yang disandarkan dengan lambang
tertentu itu sentiasa seiras dengan lambangnya. Sesiapa yang taklid
buta dengan menganggap segala yang dibuat oleh partinya benar bererti
dia telah memaksumkan partinya. Sesiapa yang mengikut dan bersetuju
dengan segala yang baik dan buruk dalam partinya bererti dia bagaikan
kaldai yang tidak mampu menilai.
Maka,
apabila seorang Muslim dari PAS atau Umno menghulurkan tangan kepada
saudaranya, janganlah dipentingkan sangat partinya, lihatlah keluasan
hidup ini dan hak-hak Muslim atas Muslim yang lain yang tercatat dalam
agama ini. Akidah merentasi parti. Sentiasalah kita ingat firman Allah:
(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua
sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah,
lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu
terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap
adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu
lakukan”. (Surah al-Maidah, 8).
* Penulis adalah bekas Mufti Perlis.
No comments:
Post a Comment