Taiping – Seorang pengawal keselamatan yang
memaksa rakan setugasnya menggunakan laluan lain ketika hendak pulang
ke pejabat rupa-rupanya berniat jahat apabila dia disyaki menembak mati
mangsa sebelum lesap bersama wang lebih RM1.2 juta semalam.
Gambar: ANGGOTA polis memeriksa sebuah van keselamatan yang terlibat dalam kejadian samun dan bunuh di Taiping semalam.
Kejadian pukul 3 petang di Jalan Tekah-Aulong
berdekatan sebuah pasar raya di sini itu mengakibatkan Hasnol Hafiz
Saad, 28, mati akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat di
dada. Mangsa ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan kecederaan
parah di perut, dada, bahu kanan dan betis kiri.
Difahamkan,
kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek dalam perjalanan pulang
selepas memungut wang daripada mesin deposit tunai beberapa buah bank di
bandar ini.
Suspek yang dikenali sebagai Mohamad Hafizuddin
Zainal Abidin, 25, yang menghilangkan diri bersama wang dan selaras
senapang kini menjadi buruan polis.
Seorang saksi mendakwa, dia
melihat suspek melarikan diri bersama beberapa beg mengandungi wang
dengan menaiki sebuah kereta Honda Civic hitam yang berada beberapa
meter di belakang van keselamatan tersebut.
Kebiasaannya, mereka
akan menggunakan Jalan Taman Long Jaafar di Kampung Boyan di sini iaitu
hanya sejauh lima kilometer untuk pulang ke pejabat tetapi semalam
Hasnol telah dipaksa menggunakan Jalan Tekah-Aulong selepas mengutip
wang. Jarak jalan itu kira-kira 10 kilometer dari pejabat mereka.
Ketua
Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata,
pemeriksaan mendapati enam daripada 13 karung berisi wang lesap.
“Enam
karung itu dipercayai mengandungi wang lebih RM1.2 juta dan siasatan
awal mendapati bahagian luar van itu tidak mempunyai kesan dilanggar.
“Tempat
kejadian bukan laluan yang biasa digunakan untuk pulang ke pejabat
selepas mengutip wang. Van itu didapati terbabas di kiri jalan
dipercayai akibat tindakan agresif suspek,” kata Yusof yang masih
menyiasat jumlah sebenar wang yang dilarikan serta penglibatan individu
lain.
Tambahnya, polis kini giat memburu Mohamad Hafizuddin bagi
membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa
dibawa ke Hospital Taiping di sini untuk bedah siasat.
Orang
ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi
Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di talian 05-829 1222. -Kosmo
No comments:
Post a Comment