Showing posts with label pendapat. Show all posts
Showing posts with label pendapat. Show all posts

Sunday, July 31, 2011

UMNO lebih bahaya dari Wahabi

Tuan Ibrahim Tuan Man
 Keghairahan Umno melalui agensi Majis Keselamatan Negara (MKN) membuat tuduhan mengaitkan Wahabi dengan pengganas bukanlah sesuatu yang baik untuk negara.Wahabi yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab mempunyai perbezaan dalam perkara furu’, bukan soal penafian prinsip Islam. Kerana itu, ia diterima dan dianuti oleh kerajaan Arab Saudi dan beberapa negara lain.

Arab Saudi, sekurang-kurangnya telah melaksanakan hukum hudud, Qisas dan Takzir, akan tetapi Malaysia masih terkial-kial mencari formula mengatasi masalah jenayah dalam negara.

Umno dalam sejarahnya pernah mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum syarak, memperlekehkan sunnah nabi, menganggap negara akan mundur kalau melaksanakan Islam, bahkan lebih teruk dari itu, ada sebilangan pemimpin Umno pernah menanggap politik suku agama suku.

Fahaman sekular yang dianuti oleh sebahagian pimpinan tertinggi menyebabkan Islam hanya ditadbir sebagai satu jabatan, bukan sebagai satu sistem kehidupan manusia. Bukankah ini bukti fahaman Umno yang berdasar sistem pragmatisme sebenarnya jauh lebih bahaya dari Wahabi?

Tuduhan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan pengganas bukanlah perkara baru, bahkan ianya selaras dengan anggapan Amerika Syarikat terhadap gerakan Islam.

Cuma yang agak menghairankan bilamana ulama muda Umno juga tergolong senarai pengganas? Apakah Kementerian Dalam Negeri tidak bercadang mengenakan mereka di bawah Ordinan Darurat, sebagaimana nasib enam aktivitis PSM yang sehingga kini rakyat tidak tahu apa jenis ancaman yang mereka bawa kerana menyokong BERSIH 2.0?

Kerana kalau benar ulama muda Umno ini ada kaitan dengan pengganas, bukankah ia sudah pasti menjadi ancaman kepada keselamatan negara?

Sehubungan itu, saya bersetuju dengan pandangan bekas mufti, Dr Asri Zainul Abidin agar 40 ulama muda Umno ini menyemak kembali penyertaan mereka dalam Umno. Tidak terfikirkah bahawa apabila ulama Umno pun dicop sebagai pengganas, bukankah ini bermaksud pemimpin mereka lebih hebat lagi?

Tapi, apa yang hairannya, inilah Umno. Bagi mereka, kerja membunuh kerjaya politik musuh dalaman atau luaran mereka adalah satu kerja yang halal dan wajib dilaksanakan asalkan kuasa politik mereka terjaga.

Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat merangkap Pesuruhjaya PAS Pahang

Thursday, July 28, 2011

Wahabi: Penegahan adat dalam ibadat bukan isu baru

Isu 'fahaman Wahabi mempunyai perkaitan dengan terorisme dan mengancam keselamatan negara', tercetus hasil peranan beberapa agamawan tertentu. Peranan yang mereka mainkan menyebabkan pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan, akhirnya menerima fahaman Wahabi boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Inilah susur galur kemunculan isu ini.

Ringkasnya, ia muncul bukan disebabkan percaturan politik untuk kepentingan pihak tertentu. Ia juga tidak membabitkan mana-mana parti politik, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Salah seorang individu yang dilabel sebagai pengikut Wahabi, yang juga seorang ahli sebuah parti politik, turut menafikan penglibatan partinya itu dalam isu ini.

Hakikat ini perlu dimaklumi bagi sesiapa juga yang berusaha menangani isu ini atau cuba memahaminya.

Isu utama

Wednesday, April 21, 2010

Hishamudin Rais: Zaid yang aku kenali

Zaid Ibrahim adalah kaum kerabatku dari Keluarga Hj Shamsudin Lubuk Merbau Mac 2010. -Gambar Hiasan
Saya ingat lagi pada tahun 1972 - ketika itu saya anak mahasiswa yang mengulang tahun satu di Universiti Malaya. Saya telah aktif dalam perjuangan gerakan mahasiswa sejak dari awal tahun pertama lagi.

Pada tahun itu, ketika Kongres Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia (PKPM ), saya telah dilantik untuk menjadi setiausaha agung.

Badan yang bernama PKPM ini telah diharamkan pada tahun 1974 - sesudah demo pelajar menyokong warga Baling.

Ketika saya dilantik sebagai setiausaha agung PKPM – perang Vietnam sedang rancak. Kuasa imperial Amerika sedang melancarkan perang kolonial ke atas Vietnam, Laos dan Kamboja – sama seperti yang sedang berlaku di Iraq dan Afghanistan hari ini.

Justeru dalam Kongres PKPM tahun 1972 itu ada terdapat resolusi yang mengutuk imperialis Amerika Syarikat dan menyokong perjuangan menuntut keadilan oleh rakyat Indo China.

Ketetapan yang dibuat dalam kongres akan menjadi dasar persatuan sehingga ke kongres tahun hadapan.


Pada zaman itu gerakan mahasiswa cukup rancak.

Saya adalah seorang ahli kelab sosialis yang aktif. Justeru pandangan politik saya adalah kiri. Buku dan akhbar yang saya baca adalah kiri. Negara dan pemimpin negara yang saya hormati adalah dari jalur kiri.

Berdasarkan resolusi PKPM yang anti-Amerika, saya telah memasang poster-poster anti-perang Vietnam yang kami terima dari International Union of Students yang berpangkalan di Prague.

Rupa-rupanya ada juga kumpulan mahasiswa, terutama dari PMUKM yang yang tidak bersetuju dengan pemasangan poster ini. Lalu saya dikritik sebagai setiausaha agung PKPM yang tidak bertanggungjawab.

Sebenarnya isu poster anti-perang Vietnam ini hanya alasan. Kritikan ini datang dari pelajar reaksionari bermazhab
kanan.

Akhirnya satu persidangan tergempar telah diadakan. Persidangan ini diadakan di Dewan Majlis Persatuan Universiti Malaya. Saya ingat lagi petang itu – delegasi dari PMUKM, dari Serdang College, dari Institut Teknologi Kebangsaan, KSITM dan tuan rumah PMUM turut hadir.

Saya dapat merasakan seolah-olah telah ada persetujuan untuk menyingkirkan saya dari PKPM.

Idris Jusi, dari PMUKM mula bercakap membuka kes tentang saya yang dikatakan tidak mengikut dasar PKPM dan dilihat pro-komunis. Dari KSITM, presidennya Zahari tidak pula bercakap. Yang banyak bercakap ialah Ibrahim Ali.

Pandangan-pandangan kanan dan reaskioner bertaburan pada petang itu.

Sebelum keputusan dibuat untuk menyingkirkan saya dari PKPM, tiba-tiba seorang wakil delegasi dari KSITM mengangkat tangan untuk berucap.

Saya masih ingat lagi anak muda itu. Dia kurus lansing dan kacak. Berkulit sawo matang. Anak muda ini memakai seluar hitam dan berbaju biru.

Mustahil saya akan melupakan susuk ini. Sampai akhir hayat saya ingat apa yang berlaku pada petang itu. Tidak mungkin saya akan lupa kerana pada petang itu saya sedang disalib.

Masih terngiang di telinga saya hingga ke hari ini apa yang dikatakan oleh anak muda itu:

“Sebelum dia dibuang, dia berhak untuk diberi peluang bersuara. Ini adalah cita-cita demokrasi pelajar… dan ini adalah hak dia.”

Saya terperanjat kerana tidak ada sesiapa dari persatuan lain yang menyokong saya kecuali PMUM.

Saya terperanjat kerana anak muda ini berani 'pecah regu' untuk menyokong saya. Saya kagum atas keberaniannya.

Saya tidak kenal anak muda ini. Tapi saya tahu anak muda ini datang dari KSITM – satu persatuan pelajar yang saya anggap reaksionari.

Bila saya selidiki baru saya sedari anak muda ini ialah Zaid Ibrahim – pelajar jurusan undang-undang Institut Teknologi Mara. Saya juga difahamkan si Zaid ini datang dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) seteru kuat sekolah saya, MCKK.

Semenjak petang itu saya tidak bertemu dengan Zaid Ibrahim. Kami meneruskan keyakinan diri.

Saya difahamkan Zaid telah menjadi seorang peguam yang berjaya. Saya terus menjadi diri saya.

Lima tahun dahulu seorang kawan dari MCKK mengajak saya untuk menjadi ahli Civil Society of Malaysia.

Ini badan hak asasi manusia yang cuba diwujudkan oleh Zaid Ibrahim. Cuma ada 'catch' - sesiapa yang ingin menjadi ahli wajib membayar RM250.

Jumlah ini agak berat untuk saya - lalu saya menolak jemputan ini.

Seminggu sebelum NGO ini berkumpul dan bersidang, saya telah mendapat panggilan telefon mengatakan bahawa RM250 telah dibayar oleh Zaid Ibrahim.

Saya hairan kerana seumur hidup saya – saya belum pernah bercakap sepatah pun dengan susuk ini. Dari panggilan telefon - saya telah diberi kebenaran untuk datang ke persidangan pertama Civil Society ini di Hotel Renaisance.

Inilah kali kedua saya melihat Zaid Ibrahim. Kali kedua ini agak berbeza. Anak muda kurus yang berbaju biru dan berseluar hitam dahulu telah agak bersisi.

Rambutnya telah dicantikan oleh anyaman uban. Baju dan pantalon yang dipakainya kelihatan dari jenis yang baik dan bermutu. Nah! Pastilah dia telah berjaya hinggakan sanggup membayar yuran untuk orang yang tidak dikenalinya.

Dua hari sebelum nama Zaid Ibrahim dimahsyurkan sebagai calon di Hulu Selangor, saya telah pergi menemuinya.

Rumah kediaman si Zaid ini bukanlah sama seperti bilik sewa tempat saya menginap. Ini kawasan lumayan yang hanya 30 minit dari Serendah Hulu Selangor.

Mata saya memerhati dengan rapi untuk mengetahui lebih dalam lagi manusia yang bernama Zaid Ibrahim ini.

Rumahnya tidak mengancam tapi pastilah lebih luas dari bilik sewa saya. Dalaman tidak lucah dan bukan bermotifkan budaya 'arriviste – horray henry' yang sering kita temui di wilayah-wilayah mewah.

Tujuan saya datang kerana ingin bertanya apakah dia masih ingat lagi apa yang terjadi di Dewan Majlis PMUM 38 tahun dahulu.

Zaid termenung sebentar sebelum mengakui yang dia pernah datang ke PMUM untuk bermesyurat. Tetapi tidak ingat apa tujuan dia hadir. Malah dia juga tidak ingat bahawa pada petang itu yang disalib ialah saya.

Saya tidak merasa kecewa kerana si Zaid tidak mengingati episod itu.

Inilah perjalanan hidup kita sebagai manusia . Terpencar pencar - ada yang kita ingati dan ada yang kita lupakan.

Untuk kita – perkara yang ini mungkin penting dan untuk orang lain perkara yang sama adalah 'non event – tidak ada apa apa yang penting'.

Kenapa saya menulis kisah ini? Saya menulis kerana susuk yang bernama Zaid Ibrahim ini sedang berkempen untuk memenangi kerusi di Parlimen.

Saya menulis ini kerana saya yakin bahawa manusia yang bernama Zaid Ibrahim ini adalah manusia demokrat.

Tiga puluh lapan tahun dahulu – ketika kami masih lagi anak pelajar - si Zaid ini telah memperlihatkan sifat jujur dan demokratnya.

Pada petang itu – 38 tahun dahulu - si Zaid telah tidak terpengaruh dengan tohmah anti-komunis, anti-kiri dan anti-sosialis.

Sifat demokratiknya telah tertanam dalam sebelum dia meletakan jawatan sebagai menteri kabinet kerana menentang ISA. Susuk yang bernama Zaid Ibrahim dapat melihat salah dan benar.

Jika saya warga Hulu Selangor saya merasa senang hati untuk menobatkan Zaid Ibrahim sebagai wakil suara saya di Parlimen.





Thursday, February 11, 2010

MB Perak, tidak noktah atau masih dilema. Apa kata mereka?

Apakah Gelora yang mula reda?. Itu yang dapat dikatakan dari krisis yang panjang semenjak rentapan kuasa oleh Barisan Nasional (BN) terhadap Menteri Besar Perak Dato Seri Ir Nizar Jamaludin dari Pakatan Rakyat. Tutur kata, raut wajah dan riak badan memang ada yang tak puas-hati dengan keputusan berkenaan, namum terpaksa akur dengan ketentuan ini.

Mohamad Nizar Jamaludin: Ini adalah risiko paling besar yang dihadapi oleh negara masa kini dan kita perlu perbetulkannya. Keputusan mahkamah itu mengketepikan prinsip-prinsip yang ditetapkan dalam perlembagaan.”

“Rakyat ingin melihat badan kehakiman bebas membuat keputusan. Tetapi berdasarkan alasan yg dikemukakan hakim, ia menunjukkan badan kehakiman masih tidak bebas dan dipengaruhi pihak tertentu. Ini adalah hari yang paling sedih bagi Malaysia.
Pakatan Rakyat Perak akur dengan keputusan tersebut biarpun pahit dan tidak berhasrat untuk menentang keputusan yang telah dibuat oleh hakim Mahkamah Persekutuan.

Kepimpinan kami yakin keputusan yang dibuat mahkamah tidak melambangkan keadilan yang sebenar dan tidak menghormati hak dan kuasa rakyat.

Zambry Abdul Kadir: Saya sebagai seorang yang dipertanggungjawabkan, mengharapkan dalam sistem kita berpolitik tentunya ada had dan batas dan proses itu sudah pun dibuat oleh Mahkamah dan keputusan sudah pun didengar.

Bagi saya apa yang penting ialah menyeru semua pihak termasuk Nizar untuk kembali bekerja, bukan soal penyokong dan bukan penyokong tetapi untuk seluruh rakyat Perak. Kembali melaksanakan agenda untuk rakyat dan kita semua dipertanggungjawabkan sebagai pemimpin.
Sebagai pemimpin, adalah tugas kita untuk melaksanakan yang terbaik untuk rakyat.

Kepada Nizar saya boleh jumpa dia, tidak ada masalah. Anda tahu dia kemalangan pun saya pergi jumpa dia, tidak bawa wartawan. Ini menunjukkan tanda hormat dan kasih saya kepada sekalian rakyat Perak.

Abdul Hadi Awang: Kepimpinan yang diterajui Nizar masih teguh kerana pilihan rakyat yang mengundi Pakatan Rakyat di Perak. Peristiwa hitam ini tidak patut melemahkan semangat juang dikalangan peminpin dan anggotaq parti untuk keadilan sebenar.

Dalam menghadapi suasana sebegini, rakyat Perak yang cintakan keamanan dan keadilan diminta bertenang dan mengelak dari terlibat dalam provokasi yang mungkin dicetuskan pihak-pihak tertentu yang akan merugikan kita.

Pihak kepimpinan tertinggi Pas akan berbincang dalam masa terdekat untuk mengambil langkah strategik dalam menghadapi situasi ini.

Datuk Nik Aziz Nik Mat: Penyokong Pakatan Rakyat di Perak perlu memprotes keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Kerana keputusan kemenangan Barisan Nasional (BN) bukan menerusi pilihan raya, sebaliknya rampasan kuasa.


Perasaan benci adalah menentang kebatilan yang perlu ditanam dalam hati rakyat terhadap keputusan itu kerana kemenangan Barisan nasional (BN) bukan menerusi pilihan raya, sebaliknya rampasan kuasa.

Walaupun tidak dengan demonstrasi tetapi perasaan benci dalam hati kepada keputusan (mahkamah), teras perjuangan adalah untuk keamanan dan keadilan semua.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim: Nizar seorang yang dipertanggungjawabkan, kita mengharapkan dalam sistem kita berpolitik tentunya ada had dan batas dan proses sudah pun dibuat dan keputusan sudah pun didengar.

“Saya tidak terkejut dengan keputusan itu kerana kita faham dengan keterbatasan dalam sistem undang-undang, Bukan soal penyokong dan bukan penyokong, tetapi bagi saya seluruh rakyat untuk kembali melaksanakan agenda untuk rakyat dan kita dipertanggungjawabkan sebagai pemimpin.


Sebagai pemimpin, adalah tugas kita untuk melaksanakan yang terbaik untuk rakyat. Beri penjelasan isu berkenaan kepada rakyat, selain berdepan dengan kemungkinan berlaku pilihan raya lebih awal di negeri itu.

Lim Guan Eng: berkata parti itu kecewa dengan keputusan mahkamah itu yang disifatkan bercanggah dengan prinsip asas demokrasi iaitu kerajaan perlu dipilih oleh rakyat.

Beliau berkata mana-mana kerajaan yang mendapat mandat tidak melalui undi secara langsung adalah melanggar prinsip demokrasi kuasa rakyat.

Sehubungan itu, DAP mengulangi gesaan supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan dan mengembalikan kuasa kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya negeri yang baru, katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Razaleigh Hamzah: Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin masih lagi menjadi Menteri Besar Perak sehinggalah beliau meletakkan jawatan atas kerelaannya sendiri, atau disingkirkan melalui usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Perlembagaan tiada memperuntukkan kuasa untuk menyingkirkan Nizar dengan apa cara sekalipun, termasuk petisyen atau arahan daripada sesiapa juapun. Usul pada Dun sahaja yang boleh menyingkirkan Nizar daripada jawatan itu, selain itu tak kiralah berapa banyak majlis angkat sumpah, lompat-melompat, sidang akhbar dan perisytiharan, atau apa jua iklan, paparan, sogokan atau tindakan dibuat ke atas persoalan ini tidak terpakai”.

“Untuk menguji mandat berkenaan maka kerajaan yang memerintah, mesti sama ada menyerahkan kembali kepada rakyat untuk menentukannya melalui pilihan raya negeri ataupun melalui usul undi tidak percaya pada persidangan dewan undangan negeri,’

Bumiperak: Kekacauan dan keserabutan di Negeri Perak ini adalah berpunca oleh tiga orang katak di Behrang, Cangkat Jering dan Jelapang. Kenapa kita nak Bubarkan DUN seluruh negeri Perak sedang kita tahu busuk dari pengkianat ini telah melibatkan keseluruh ceruk hingga berpanjangan.

Biar rakyat tentukan sendiri jika ingin keadaan yang selamat dan tenteram ini berpanjangan kepada rakyat dan kerajaan Negeri Perak.

Monday, September 14, 2009

Mahathir membayangkan Umno, BN akan tumbang dalam masa terdekat

Kenyataan bertulis terbaru Tun Dr. Mahathir mantan perdana Menteri Malaysia dalam blognya /chedet/ bertarikh 11 Sept 2009 menganalisis kekalahan Parti Liberal Demokrat ( LDP) Jepun yang memegang kuasa semenjak 54 tahun lalu. Padamasa satu hari disiarkan lebih 100 respon dan komen pembaca telah diberikan yang mahukan perubahan untuk menyelamatkan Umno dan Barisan Nasional.

Mahathir berpendapat UMNO dan Barisan Nasional akan mengalami nasib yang sama dengan Parti Liberal Demokrat ( LDP) yang ditolak rakyat negara itu. Situasi politik yang berlaku turut menjejaki parti-parti lain yang memperjuang hingga mencapai kemerdekaan negara dari penjajah di serata dunia samada di Asia dan Afrika yang kini kian lenyap.

Rakyat tidak lagi ambil kisah kepada perjuangan dan pengorbanan silam yang telah dibuat parti dan peminpin mereka. Generasi baru tidak tahu nilai kesusahan pejuang kemerdekaan lalu, oleh itu mereka sukar bersyukur dan berterima kasih. Ianya tidak penting bagi kehidupan mereka.

Puncanya adalah sikap pejuang bangsa ini tamak dan berkepentingan diri. Mereka tidak lagi memperkasa bangsa. Mereka mengabaikan perhubungan dengan penyokong dan akar-umbi yang semakin hari makin jauh.


Malah tidak dipertikaikan lagi dimana rasuah telah menular kepada Umno dan parti-parti komponennya. Kuasa dan jawatan menjadi rebutan sesama mereka. Pemimpin berkeinginan besar mengekalkan jawatan biarpun keupayaan mereka semakin hilang manafaatnya.

Dengan pemimpin begini pembangunan negara dan rakyat yang seharusnya diutamakan telah terabai. Sedekad yang lalu pemimpin ini bercakap berbilion ringgit telah dilaburkan kepada beberapa projek Koridor dan sebagainya belum nampak dan tak dapat dipastikan. Pemimpin gagal menunjukkan RM 250 bilion lebihan wang Petronas dikatakan telah dibayar kepada kerajaan.

Ia bukan lagi pelik apabila mendapati Malaysia telah ketinggalan berbanding dengan jirannya. Sekarang Malaysia bukan lagi negara peneraju dan contoh di rantau ini.

Pengundi terutamanya Melayu selama ini begitu setia kepada BN terbukti telah beralih kepada pembangkang pada pilihanraya 2008 yang lalu sehingga negeri Umno terkuat boleh jatuh kepada pembangkang.

Tidak mustahil pilihanraya umum akan datang BN bakal tumbang seperti yang berlaku di Jepun. Pengundi muda tidak mempedulikan apa itu sejarah perjuangan lalu kerana ia tidak memberi makna kepada mereka.

Hanya yang boleh menyelamatkan BN mungkin adalah tiadanya perubahan kemajuan dari parti pembangkang kerana mereka bukan pilihan alternatif sebenarnya. Oleh itu jika kerajaan BN perlu memanafaatkan kemajuan dan pembangunan untuk pulihkan keyakinan mereka. Jika tidak, pengundi ini akan kecewa dan akan buat seperti pengundi Jepun yang menumbang parti yang mereka sokong lebih separuh abad itu.

Pilihanraya umum akan datang ada masa lebihkurang 3 tahun, masa yang terlalu singkat. Beliau berharap tindakan drastik diambil untuk membaiki keadaan dan rakyat dapat merasakan terbela. Jika tidak BN akan termasuk dalam kumpulan parti lapuk dan menjadi sampah kepada sejarah baru.

Komen dan respon pembaca nampaknya mereka masih menaruh harapan kerajaan dan memulihkan kekuatan baru. Tidak kurang juga yang menyalahi dan mencari kelemahan pentadbiran negeri-negeri Pakatan Rakyat. Jadikannya iktibar dan teladan kepada sesiapa sahaja yang diberi kekuasaan.

-bp