Friday, January 23, 2009

Rasuah Oh Rasuah.. Beri Salah, Tak Beri Kalah, Buat Umno Serba Salah

Demikianlah ungkapan Tuan Guru Nik Aziz pada banner kempen Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu baru-baru ini yang membenarkan keadaan UMNO itu. Hari 22 Jan 2008 di akhbar Berita Harian memuatkan tajuk-tajuk utamanya kes rasuah melibatkan parti dan pemimpin UMNO.....BUKA LAPORANNYA

PETALING JAYA: Tiga orang termasuk Naib Ketua Umno Beruas, Perak dan seorang kontraktor berusia 46 tahun didakwa pagi ini berhubung politik wang ketika pemilihan Umno Bahagian tahun lalu.

Di KUALA LUMPUR, seorang penolong kanan sekolah rendah di Raub, Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di ibu negara hari ini atas dua pertuduhan memberi rasuah dalam bentuk wang semasa pemilihan Umno Bahagian Raub. Pertuduhan ini merupakan kes pertama melibatkan "politik wang" sejak penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Junaidi Abdul Hamid, 46, didakwa memberi suapan berbentuk wang tunai kepada dua anggota Umno, Noranizah Abd Hamid dan Adnan Samad masingmasing RM200 sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid sebagai ketua Umno bahagian Raub dan Datuk Abdullah Bakar sebagai Timbalan Ketua Umno bahagian Raub. Menurut kertas pertuduhan, dia melakukan keduadua kesalahan tersebut di Coffee House, Tingkat 1, Hotel Grand Season, Kuala Lumpur, pada pukul 8 malam, 13 Sept 2008.
Junaidi menghadapi pertuduhan tersebut di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Josendra Abu Senin menawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan dan memohon agar pasport Junaidi ditahan oleh mahkamah. Bagaimanapun peguam bela Mohd Harris Abdullah yang mewakili Junaidi membantahnya dan memohon agar ikat jamin tersebut dikurangkan kerana ia terlalu tinggi.
Beliau juga berkata anak guamnya yang merupakan seorang penjawat awam iaitu merupakan penolong kanan di sebuah sekolah rendah Raub tidak mungkin akan melarikan diri kerana dia pasti akan mempertahankan jawatan yang disandangnya.
Hakim Rosbiahanin Arifin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan menetap kan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes. Sebagai syarat tambahan Junaidi diperintahkan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah. Rakan Junaidi membayar jaminan tersebut.
KETUA UMNO BERUAS
Di IPOH, Naib Ketua Umno Bahagian Beruas tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah wang tunai berjumlah RM300 kepada seorang anggota parti itu pada pemilihan Umno bahagian Oktober lepas. Tertuduh Azman Noh, 42, yang juga merupakan seorang kontraktor didakwa secara rasuah memberi suapan RM300 kepada Davad @ Daud Parman pada 11 Oktober lepas di sebuah rumah beralamat No.10 A, Kampung Sungai Ramai, Air Tawar dekat sini kira-kira 12 tengah malam.
Azman yang juga bekas seorang pendidik didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan supaya Davad @ Daud melakukan satu perkara iaitu memilihnya bagi jawatan Naib Ketua Umno bahagian itu, Abdul Manaf Hashim bagi jawatan Ketua Umno dan Azhar Ahmad bagi jawatan Timbalan Ketua Umno pada pemilihan bahagian Beruas pada 12 Okt lepas.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM6,000 dengan seorang penjamin walaupun peguam Khairil Azwa yang mewakili tertuduh memohon ia dikurangkan kepada RM5,000. Sebelum itu pendakwaan yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya How May Ling memohon ikat jamin sebanyak RM10,000.
Peguam berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa oleh kerana tertuduh memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan kepada pihak pendakwaan dan jaminan untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah. "Penduduk tempatan juga tidak mempunyai bukti tertuduh akan boleh melarikan diri dan semenjak disiasat tidak ada bukti tertuduh cuba mengganggu saksi," katanya.
Peguam turut memberitahu mahkamah, tertuduh mula dipanggil untuk membantu siasatan pada 6 November lepas dan pada Selasa lepas tertuduh sekali lagi dipanggil untuk tujuan yang sama dan sejurus selepas memberi keterangan pada hari tersebut tertuduh ditahan.
Azhaniz Teh juga menetapkan 1, 2 dan 3 Jun depan sebagai tarikh perbicaraan.
Azman yang mempunyai lima orang anak berusia dua hingga 16 tahun dan seorang isteri yang berkhidmat sebagai pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan itu didakwa di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama. Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.
KONTRAKTOR
Di MELAKA, seorang kontraktor juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang wanita semasa pemilihan Ketua Umno Bahagian Alor Gajah pada 1 November lepas.
Johari Ibrahim, 46, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal. Alor Gajah, dituduh memberi suapan itu kepada Nadiah Roslan sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Abdul Kadir Daud sebagai Ketua Bahagian berkenaan. Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 12 tengah hari di perkarangan dewan Institut Latihan Perindustrian, Selandar.
Johari, yang juga Ketua Umno cawangan Kampung Panchor dan bekas pegawai seranta Perbadanan Ayer Melaka (PAM), dituduh mengikut Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16, Akta yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari atau tidak lebih 20 tahun serta didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau sehingga RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menetapkan empat hari bermula 18 Mei depan sebagai untuk perbicaraan dan membenarkan Johari dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh diwakili peguam bela Shamsul Iskandar Mohd Akin manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wong Poi Yoke, dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

1 comment:

  1. Klu org die,yg atas2 nun senyap je x berbunyi.Cube yg sebelah sini,mau seminggu x abih2 kuar tv/paper.Nak tnyelaa sikit kat en.bumiperak keadaan d perak sekarang yg mane klu kite bace paper selalu kuar berita tentang ketidakpuashatian manusia2 psl pemberian tanah hak milik kekal tu,ape cite?Adakah benar pimpinan PR d perak kucar kacir?Adakah benar MB perak selalu membelakangkan sultan?...

    ReplyDelete