Wednesday, June 29, 2011

GILA! Pakai baju BERSIH haram, boleh ditangkap

KUALA LUMPUR 29 Jun - POLIS akan menahan sesiapa sahaja yang mempamerkan apa-apa perkataan atau lambang yang menghasut orang ramai menyertai perhimpunan haram yang dianjurkan oleh beberapa kumpulan di ibu negara pada 9 Julai ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

"Bukan sahaja baju, kereta, bas, kasut, seluar dan apa sahaja yang berbau hasutan akan ditangkap di bawah undang-undang yang boleh diguna pakai,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini.


Beliau berkata, antara undang-undang yang boleh digunakan dalam tindakan ini ialah Seksyen 27(5) Akta Polis iaitu percubaan untuk mengadakan perhimpunan haram.

Sehubungan itu, Ismail menasihati kumpulan yang berlainan ideologi itu supaya membatalkan hasrat mengadakan perhimpunan haram demi keamanan negara. - Bernama

PUTRAJAYA 29 Jun: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, hari ini baju T Bersih adalah haram kerana ia ada kaitan dengan perhimpunan haram.

"Baju T itu ada hubung kait dengan satu perhimpunan haram jadi apa jua yang mereka pakai adalah haram," kata belia pada sidang ahbar bersama dengan Pesuruhajaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Atiqur Rehman, di sini.
Hishammuddin menjawab pertanyaan mengenai tindakan polis menangkap orang-orang yang memakai baju terbabit.
Ditanya sama ada tangkapan orang-orang berkaitan dengan perhimpunan haram 9 Julai itu bermotif politik, Hishammuddin berkata: "Di pihak mereka atau di pihak kami? saya boleh kemukakan soalan sama kepada mereka".

Mengenai perkara lain, Hishammuddin berkata, tindakan akan diambil terhadap ahli Pemuda UMNO yang berhimpun di hadapan ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat di Petaling Jaya Isnin lalu oleh kerana mereka berhimpun tanpa permit polis.

"Saya beritahu mereka (polis) melayani Pemuda Umno dengan cara sama. Tidak ada orang mengatasi undang-undang," katanya. - BERNAMA

Bersih: Edar bendera Malaysia pun ditangkap?

KUALA LUMPUR, 29 Jun: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim mempersoal tindakan polis menangkap aktivis Bersih termasuk Adun di Sungai Siput, Perak pagi tadi. Beliau mahu pihak polis menjelaskan apa kesalahan yang dilakukan mereka sehingga digari dan dibawa ke balai polis Sungai Siput.

"Saya mempersoalkan apakah alasan mereka ditangkap, adakah kerana pakai baju kuning atau baju merah atau sebab edar risalah parti atau bendera Malaysia?" soalnya ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Seramai 14 orang yang ditahan polis kira-kira 9.00 pagi di Pasar Sungai Siput termasuk Adun Teja, Chang Lih Kang, Adun Jalong, Leong Mei Meng dan Timbalan Setiausaha PKR Negeri Perak, Tan Kar Hing.

Polis membuat penangkapan mereka dengan memberi alasan mengedar bendera Malaysia dengan memakai baju Bersih. Khalil Idham yang juga Adun Titi Serong menyifatkan penangkapan itu sebagai melanggar kebebasan rakyat untuk berhimpun.

"Saya menganggap penangkapan adalah secara tidak sah dan nmelanggar kebebasan rakyat untuk berhimpun dan bergerak secara sah sesuai dengan peruntukan Perlembagaan Fasal 10(1)/b. "Saya dan Adun-adun Pakatan yang lain datang untuk memberi sokongan moral kepada meraka, juga harap semua petugas Pakatan tidak lemah semangat untuk mengedarkan risalah di mana-mana saja," katanya.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, adalah satu kesalahan bagi mana-mana individu yang memakai baju yang berkaitan dengan aktiviti haram.

Justeru, tangkapan ke atas mereka yang memakai baju Bersih 2.0 oleh polis adalah betul. "Jika kemeja-T Bersih berhubungkait dengan aktiviti haram, maka memakainya adalah juga haram,” katanya kepada wartawan. -Hrkh

Monday, June 27, 2011

Sekat BERSIH, Tubuh masih dipenjara, fikiran tetap bebas

Saya sudah kurang keyakinan yang Umno akan kembali seperti sediakala. Di dalam isu Bersih dan rally nya, saya bertambah kurang yakin yang Umno mampu untuk menahan kemaraan bangkangan dari rakyat ramai. Umno hanya mampu untuk berkumpul sesama penyokongnya dan berucap berapi-api dikalangan mereka sendiri. Retorik dan ucapan berapi-api oleh Najib, Muhyiddin, Ahmad Zahid dan lebih-lebih lagi dari Hishammuddin hanya memberikan keyakinan kepada penyokong-penyokong yang sedia ada sahaja.

Orang ramai menerima teguran dan ucapan pemimpin kita ibarat angin lalu sahaja….masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Dalam isu Bersih yang dipersoalkan secara keterlaluan oleh pihak yang berkuasa bukan sahaja tidak dapat menambah keyakinan rakyat tetapi yang jelas pihak yng duduk di atas pagar lebih mirip dan cenderung untuk memberikan sokongan kepada Bersih.

SUHAKAM: Benarkan & menghormati kebebasan berhimpun

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dibentuk oleh kerajaan sendiri menyeru pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman Bersih 2.0 yang dirancang 9 Julai ini.

Bagi Suhakam, orang ramai mempunyai hak  untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman, sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Demikian kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataannya di tengah-tengah usaha yang dibuat oleh Umno dan alat-alatnya untuk membatalkan perhimpunan itu.

Sunday, June 26, 2011

AWAS: berpakaian baju bersih ditahan!

KUALA LUMPUR: Polis menahan lapan lelaki di Taman Kosas, Ampang, di sini pagi tadi kerana memakai baju berwarna kuning yang bertulis "Bersih 2.0" dalam tulisan jawi. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin, berkata semua mereka ditahan atas kesalahan memakai baju berkenaan dan seolah-olah menyokong perhimpunan haram 9 Julai ini.  

"Mereka juga didapati mengganggu-gugat ketenteraman orang ramai ketika menunggang motosikal di kawasan terbabit dan berikutan itu kita menahan mereka untuk langkah pencegahan awal," katanya ketika dihubungi hari ini. Amiruddin berkata, semua mereka kini masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan polis akan membebaskan mereka selepas mengambil keterangan.

Difahamkan semua mereka yang dipercayai penyokong parti pembangkang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu ditahan di hadapan Majid Taman Kosas kira-kira 11 pagi tadi. - BERNAMA

Friday, June 24, 2011

KP JKR: PAS dakwa KSN bohongi Agong

KUALA LUMPUR: CUEPACS bersedia untuk menemui Majlis Bersama Jabatan Pihak

Pekerja Jabatan Kerja Raya (MBJ-JKR) yang dianggotai lima kesatuan sekerja untuk membincangkan isu dua Ketua Pengarah di jabatan yang dilihat semakin serius kerana berlarutan hampir dua bulan.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya menerima memorandum MBJ-JKR, kelmarin yang secara terperinci menyatakan pandangan mengenai isu itu dan CUEPACS akan turut meneliti dokumen berkenaan. “MBJ-JKR ada menghubungi CUEPACS sebelum ini dan mahu kita mengambil tindakan susulan untuk memperbetulkan keadaan...

“Kita juga akan mengadakan pertemuan dengan bekas Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Prof Dr Judin Abdul Karim untuk mendapatkan perincian perkembangan semasa. Hanya selepas itu, CUEPACS boleh memutuskan apa tindakan yang boleh diambil,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat CUEPACS di sini, semalam.

Sementara itu, MBJ-JKR mahu kemelut berkenaan diselesaikan segera bagi mengelakkan wujud dua kumpulan dalam JKR.

Yang Dipertua Pertubuhan Profesional JKR (ProJKR), Zulkifli Ahmad, berkata ini kerana konflik itu kini sudah menjadi perbualan hangat dikalangan pegawai dan kakitangan di ibu pejabat JKR sehingga timbul soalan siapakah Ketua Pengarah JKR yang sah.

“Kami bukannya mahu melawan mana-mana pihak tetapi sebagai kakitangan kerajaan, kami mahu isu ini diselesaikan segera kerana kita risau akan menimbulkan pelbagai masalah di peringkat jabatan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JKR di sini, semalam.

YANG Dipertua Pertubuhan Professional JKR, Zulkifli Ahmad bersama Setiausaha Bersama Pihak Pekerja MBJ-JKR, Hashim Mahmud (kiri) dan Feriz Omar (kanan) menunjukkan  surat dan keratan akhbar  di pejabat JKR, semalam.
YANG Dipertua Pertubuhan Professional JKR, Zulkifli Ahmad bersama Setiausaha Bersama Pihak Pekerja MBJ-JKR, Hashim Mahmud (kiri) dan Feriz Omar (kanan) menunjukkan surat dan keratan akhbar di pejabat JKR, semalam.

Thursday, June 23, 2011

Coretan Timbalan Presiden PAS

(*) Saya kebetulan membesar dalam perjuangan, menyertai PAS pada 1978 dan tahun 1979 berlaku revolusi Islam Iran. Perkembangan dan kebangkitan di sana menjadi tumpuan ramai. Kemudian kemunculan gerakan Islam seperti Hizbullah, yang juga dipimpin seorang ulama yang memakai serban.

Kita ambil contoh Imam Khomeini. Macam mana seorang ulama yang menggerakkan rakyat sehingga boleh buat revolusi. Isu apa yang dipakai? Mereka tidak sebut pertentangan kelas. Tetapi beliau mengemukakan isu Mustakbirin dan Mustad'afin, iaitu yang menindas dan yang kena tindas, 'oppressed and oppressors'.

Bagaimana Khomeini berjaya meletakkan semua golongan dibawahnya. Sama ada sosialis, komunis, liberal dan sebagainya berketuakan dia. Yang ini kita perlu belajar, bukan soal mazhabnya.

Saya juga menghormati, bahkan dalam ucapan-ucapan saya tidak lekang menyebut Imam Hassan Al-Banna. Dia seorang guru agama biasa tetapi dia berdakwah dan berjaya masuk sampai ke bar dan kelab malam. Bagaimana dia boleh memimpin semua peringkat, sehingga intelektual universiti, profesor juga ada di bawah naungannya. Pemimpin macam ini saya amat hormat.

Wednesday, June 22, 2011

Ibrahim Ali: ISA dan lokap my second home

Dah buang tabiat Ibrahim Ali apabila melakukan perkara yang perlu-perlu sangat dihindari. Atau merasakan dirinya sangat perkasa (terbukti) bagai badang legenda Melayu.

 21 Jun 2011 “ISA dan lokap adalah 'my second home'” itu jawapan spontan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mengulas laporan polis dibuat oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Sabtu mendesak Ahli Parlimen Pasir Mas dan juga presiden PERKASA itu ditangkap berhubung seruannya kepada masyarakat Cina supaya jangan keluar rumah dan menyediakan stok makanan bagi menghadapi perhimpunan BERSIH 2.0.

Bagaimanapun menurut Ibrahim, setiap rakyat tertakluk kepada undang-undang. “Kalau saya bersalah, wajar polis ambil tindakan. Kalau saya tak salah, tak ada sebab saya ditahan. Saya serah pada polis tetapi saya percaya profesinalisme pihak berkuasa itu,” tegasnya.

Namun kata Ibrahim, “ Jangan tahan saya atas sentimen poltik tetapi atas asas undang-undang,”. Katanya, jika beliau bercakap soal perkauman, pihak berkuasa kena kaji betul-betul bukannya berdasarkan laporan beberapa portal yang melaporkan perkara tidak betul.

“Polis kena bertindak ikut fakta. Jenis saya, kalau saya buat saya mengaku..tetapi ada orang yang terang-terang buat tetapi tak mengaku,” ujarnya. Malah Ibrahim menyatakan kehairanan kerana pihak yang mendesak beliau dikenakan ISA adalah pihak sama yang mahu ISA dihapuskan. “Mengapa mereka double standard,” ujarnya kepada Agendadaily.

Cabaran beliau merujuk laporan terhadap Ibrahim oleh Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip di ibu pejabat polis Dang Wangi pada jam 12.24 tengah hari ini. Beliau turut diiringi enam anggota AMK termasuk timbalan ketuanya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Dalam laporan polis itu, Rozan mendakwa Ibrahim telah mengeluarkan kata-kata yang didakwa berbaur hasutan yang berunsurkan keganasan yang ditujukan secara khusus kepada kaum Cina apabila mengarahkan mereka jangan keluar rumah dan perlu menyimpan stok makanan dirumah jika perhimpunan BERSIH tidak dibatalkan. Kenyataan tersebut dibuat sewaktu pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman Ahad lalu.

Malah pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Jeff Ooi turut minta Ibrahim dikenakan tindakan dan anggap Ibrahim ada kekebalan kerana tidak dikenakan tindakan walaupun sudah banyak kenyataannya mencetuskan kontroversi.
-Agendadaily

Isu dua Ketua Pengarah JKR masih berlarutan

Kuala Lumpur 22 Jun- Isu Dua nakhoda satu kapal masih berlarutan di Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika ini berikutan tindakan bekas Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim dengan Ketua Pengarah JKR yang baru, Datuk Mohd Nor Yaacob.


Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim, yang memegang jawatan ketua pengarah JKR sejak Mei 2007 ditukar ke jawatan Ketua Pengarah CIDB berkuatkuasa 1Mei lalu. Jawatan yang dikosongkan itu kemudiannya diisi oleh Datuk Mohd. Noor Yaacob iaitu Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya II sebelum ini.


Pelantikan Mohd. Noor sebagai sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya berkuat kuasa pada tarikh sama diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSU), Tan Sri Mohd Sidek Hassan akhir April lalu.

Saturday, June 18, 2011

BERSIH lawan sistem p’raya kotor, bukan polis

    JASIN, 17 Jun (harakahdaily): Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) menggesa polis Malaysia supaya segera berubah dan kembali kepada peranan sebenar sebagaimana polis di negara lain termasuk Eropah dan Indonesia.

"Sikap pihak polis di Malaysia sangat berbeza jika dibandingkan dengan sikap polis di negara lain dengan mengambil contoh di indonesia, di mana ketua polis Jakarta di sana akan membenarkan mana-mana pihak mengadakan demonstrasi aman dan para demonstran akan dilindungi dan perjalanan demonstrasi itu dikawal pihak polis.

Beliau berkata demikian pada ceramah pelancaran Bersih 2.0 peringkat negeri Melaka di Dataran Hamas, Kompleks PAS Jasin di sini malam tadi.

Begitu juga, katanya di negara-negara Eropah yang mana hampir setiap minggu rakyatnya termasuk pelajar-pelajar akan mengadakan himpunan aman dan pihak polis memberikan kebenaran dan mengawal keadaan sehingga tamat himpunan tersebut.

Baginya, kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang dilaporkan berkata, pihak polis akan membuat tangkapan terhadap mana-mana mereka yang menyertai himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti sebagai suatu fenomena pelik di sebuah negara demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

"Pihak polis memang ada kuasa, mereka boleh buat apa sahaja pada rakyat, kita bukan melawan pihak polis dan tiada niat untuk melawan, tetapi kita hanya melawan sistem pilihanraya yang kotor," ujarnya.

Beliau berkata, penganjur himpunan aman Bersih 2.0 tidak akan gentar dengan ugutan dan amaran pihak polis yang jelas tidak peka kepada hasrat dan kehendak rakyat yang mahukan pilihan raya yang telus, bersih dan adil.

Menurutnya, PAS sendiri akan mengarahkan seluruh ahlinya supaya hadir pada himpunan aman tersebut di mana kira-kira 300,000 ahli PAS dijangka akan mengambil bahagian pada 9 Julai ini.

Turut berceramah pada program tersebut termasuk Pesuruhjaya PAS negeri, Adly Zahari, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin dan Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San; Ketua Pemuda PAS negeri, Yuhaizad Abdullah dan Yang Dipertua PAS Jasin, Kamarudin Sidek.

Wednesday, June 15, 2011

Kenyataan PERKASA boleh mengancam Keselamatan Negara

Dalam satu ceramah awal bulan lalu, Ibrahim memberi amaran kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan “perang jihad” jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini. Cabaran ini berkaitan dengan tajuk utama “Kristian Agama Rasmi?” Utusan Malaysia 7 Mei lalu yang mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, yang didakwa turut disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Namun kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Datuk Ibrahim Ali yang mengisytiharkan “perang jihad” ke atas komuniti Kristian, dalam kenyataan Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishamuddin Hussein 13 Jun ini di Parlimen.

Sekali lagi kenyataan provokasi kaum Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang juga ahli Parlimen Pasir Mas bahawa beliau akan mengerahkan ahlinya dari seluruh negara untuk berarak pada hari yang sama bagi menyekat kemaraan Himpunan Bersih 9 Julai 2011 adalah membuktikan dengan jelas bahawa PERKASA adalah pertubuhan yang mahu kekacauan berlaku dalam negara kita. Malah kenyataannya yang mahu bertembung semasa perhimpunan tersebut adalah merupakan satu ancaman yang serius kepada keselamatan negara. Polis perlu menyiasat Datuk Ibrahim Ali berhubung ancaman yang telah dikeluarkan secara terbuka.

Sebenarnya Jawatankuasa Bersih 2 yang dipengerusikan oleh Dato Ambiga mahu membuat 8 tuntutan kepada pihak kerajaan bagi mengembalikan demokrasi yang telah tercemar selama ini. Tuntutan tersebut adalah membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media bebas & adil, tempoh minima 21 hari berkempen, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Dalam Himpunan Bersih 2 suatu memorandum akan diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Himpunan aman tanpa senjata adalah kebebasan yang dibenarkan oleh perlembagaan Malaysia seperti yang tercatat dalam perkara 10. Adapun perkara 27 Akta polis(akta 344) mengenai kuasa untuk mengawalselia perhimpunan, perjumpaan dan perarakan yang diberi kuasa kepada pihak polis adalah bertujuan untuk menjayakan objektif kebebasan bersuara dalam perlembagaan bukannya menghalang kebebasan tersebut.

Pihak polis yang mempunyai kelengkapan mengawal rusuhan sebenarnya mampu mengawal keadaan dengan penuh hikmah. Pihak polis boleh menjaga keamaman Himpunan Bersih 2 dengan menyusun anggota polis di tepi jalan sepanjang himpunan menuju Istana Negara. Mereka yang didapati mewujudkan kekecohan perlu ditangkap. Jika pihak PERKASA dengan niat yang ikhlas mahu menghantar memorandum kepada pihak Istana maka mereka dibenarkan berhimpun dan berarak daripada laluan yang berbeza. Pihak polis perlu membuat perbincangan yang rapi dengan penganjur kedua-dua pihak. Saya yakin pihak polis yang mempunyai banyak pengalaman mampu mengawal keselamatan negara. Jika dua himpunan dapat berjalan serentak dengan aman maka saya penuh yakin pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Tetapi jika pihak polis hanya mengikut telunjuk pemimpin politik tertentu maka polis akan dihina oleh semua pihak.

Himpunan aman tanpa senjata adalah keperluan kepada demokrasi yang adil. Ratusan ribu rakyat tidak akan menghadiri Himpunan Bersih 2 jika mereka tidak ada tujuan yang khusus untuk mendapat satu pilihanraya yang bersih dan adil. Pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan juga sering menganjurkan perarakan semasa Sambutan Maulidurasul atau upacara agama tertentu. Ribuan orang akan berarak di jalan raya. Mereka mendapat hak untuk berhimpun. Persoalannya mengapa Bersih 2 seolah-olah dinafikan hak untuk berhimpun secara aman?

Friday, June 10, 2011

KIKIS.. 'Kalau PAS tak ambil, Umno akan ambil'

Malaysiakini: PAS perlu mencontohi tadbir urus yang baik seperti yang diamalkan negeri Pulau Pinang bagi meningkatkan integriti dalam pentadbiran negeri yang dikuasainya – Kelantan dan Kedah, kata Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu.

Katanya, pemimpin berkenaan perlu berbuat demikian memandangkan perubahan yang berlaku di kedua-dua negeri tersebut masih belum cukup dan lebih buruk lagi, masih ada lagi golongan dalam PAS yang masih berfikiran seperti pemimpin Umno. "Bukanlah kalau PAS pergi ke Putrajaya dengan rakan-rakannya hal ini akan selesai. Tadbir urus baik ini masih perlu difahami.

"Bila kita ceramah, kita tanya 'bila kita memerintah setuju tak kita tangkap (Datuk Seri) Najib (Razak) bawah ISA?' Orang kata setuju. Itu bermakna dalam pemikiran untuk balas dendam ini masih tebal. "Maknanya bila kita perintah kita ganti Umno. Itu yang kita tak mahu. Sekarang di Kedah, Kelantan, perubahan berlaku tapi tak cukup," katanya dalam satu temubual eksklusif dengan Malaysiakini.

Mohamad menjelaskan, perubahan di negeri Kelantan, misalnya, akan berdepan masalah apatah lagi sekiranya menteri besarnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi mengetuai pentadbiran negeri berkenaan.

ADUN, Exco tak boleh pohon tanah
"Dari segi tadbir urus, sebab pergantungan Kelantan misalnya pada Tok Guru (Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat) terlalu tinggi," kata Mohamad yang vokal terhadap pentadbiran PAS sejak parti itu dapat mengembalikan kuasa di negeri itu pada 1990.

Penceramah popular itu juga menegaskan, PAS perlu mengubah sikap yang wujud di kalangan wakil rakyatnya bagi meningkatkan integriti barisan pentadbiran di negeri yang dikuasai.

"Misalnya anggota exco, ADUN tak boleh pohon tanah kerajaan. (Kalau) mahu mohon, berhenti, jadi orang berniaga. Selagi jadi ADUN, exco tak boleh memohon dan sebagainya. Ini yang perlu diubah oleh kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

"Setengah bercakap kalau PAS tak ambil, Umno ambil. Ertinya (PAS) sama (dengan Umno) – benda macam ini yang saya akan berdepan, di dalam isu misalnya balak," katanya lagi yang mengakui bahawa pandangan seperti itulah yang menyebabkan beliau dilihat sebagai "pro-DAP."

Mohamad yang bimbang dengan penyelewengan yang wujud dalam parti itu berkata demikian dengan merujuk kepada dakwaan yang dilemparkan berhubung sumber balak di negeri berkenaan.

Berebut untuk dapat 'Datuk'
Satu lagi perkara yang menjengkelkannya ialah minat yang ditunjukkan pemimpin PAS untuk mendapatkan gelaran daripada istana – sikap yang dikutuknya sebagai pemujaan kepada sistem kasta dan feudalisme.

"Penyanyi menyanyi dua tiga lagu dah 'Datuk'. Pelawak (juga dapat). Kalau P Ramlee itu OK lah bagi Datuk, ini semua, kita baling batu boleh jatuh kepala Datuk. "Kalau gelaran Datuk, semua mencari. Kalau umum 'siapa nak (pangkat) Datuk esok datang depan istana', saya ingat pemimpin PAS akan berebut pergi depan istana," katanya.

Mohamad yang popular dengan gelaran Mat Sabu itu bagaimanapun berkata, beliau setakat ini menolak tawaran bagi gelaran berkenaan kerana tidak melihat keperluannya.

"Saya tolak buat masa ini. Tak berani cakap besarlah untuk akan datang, tapi buat masa ini tak nampak (keperluan). Tak perlu," katanya yang telah menolak tawaran untuk mendapat pingat kebesaran daripada Pulau Pinang sebanyak dua kali.

Thursday, June 9, 2011

Individu pertama halang hudud bukan Karpal tapi Mahathir, selar Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, individu pertama yang menghalang kerajaan negeri Kelantan daripada melaksanakan hukum hudud adalah Tun Dr Mahathir Mohamad bukan Karpal Singh seperti mana didakwa bekas perdana menteri itu.
Kata Nik Aziz (gambar), kemungkinan Dr Mahathir sudah lupa bahawa beliau telah menghantar surat amaran kepada kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS daripada melaksanakan hukum hudud.
Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993.
Ini berikutan dengan janji PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihan raya umum 1990.
Bagaimanapun hasrat untuk melaksanakan hukum hudud tidak dapat dilaksanakan kerana Dr Mahathir telah menyekat pelaksanaannya, ia disekat melalui satu surat amara dihantar kepada Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.
“Seingat saya orang yang menghantar surat kepada kerajaan negeri Kelantan agar tidak melaksanakan hudud satu ketika dahulu namanya ialah Mahathir Mohamad bukannya Karpal Singh.

Wednesday, June 8, 2011

Negara kebajikan cemaskan Umno-BN

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu melahirkan rasa kasihan terhadap kenyataan Perdana Menteri Najib Razak yang ketinggalan zaman. Najib dalam laporan media dari Astana, Kazakhstan menyifatkan Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan Membangun Negara Berkebajikan hanya untuk hadapi PRU13. Mohamad dalam jawapan balas berkata, konsep Negara Berkebajikan telah diwujudkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi ketika Baginda mentadbir Madinah sebagai sebuah Negara Islam.

"PAS perjuangkan dasar Negara Berkebajikan yang didirikan oleh Baginda Nabi sejak zaman Madinah lagi dan bukan hanya untuk PRU13 sahaja. "Nampak sangat Najib tidak tahu di dalam hal ini, saya kasihan, lebih baik beliau diam sahaja dalam perkara yang beliau tidak tahu.

"Sebaik beliau bercakap, rakyat tahu bahawa perdana menteri tidak tahu tentang perkara ini," jelasnya menzahirkan rasa kasihan pada Najib. Bercakap lebih lanjut, Mohamad berkata, Negara Berkebajikan itu disebut juga di dalam Al-Quran sebagai baldatun Toyyibatun wa Rabbul-Ghafur iaitu Negara yang baik yang mendapat pengampunan Tuhan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di atas  'BN telah laksanakan negara kebajikan' wajar diberikan ucapan tahniah kerana ia memperjelaskan lagi imej sebenar di mata rakyat.

Monday, June 6, 2011

Pimpinan baru PAS menggerunkan Umno

Sebagai seorang ahli PAS seumur hidup, saya tidak mahu sesiapa pun memimpin PAS kecuali orang-orang yang bertaqwa. Apabila ulama (“berpendidikan aliran agama”) yang dipilih perwakilan memimpjn PAS, biarlah ulama itu ulama yang bertaqwa. Apabila insan bukan ulama (“bukan dari pendidikan aliran agama”) dipilih perwakilan memimpin PAS, biarlah insan itu insan yang bertaqkwa, Insha Allah.

Takdirnya, pada pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini, para perwakilan telah, buat kesekian kalinya, memilih insan yang bertaqwa untuk memimpin parti dalam tempoh dua tahun yang akan datang. Kali ini, insan yang bukan dari aliran pendidikan agama (tidak semestinya mereka ini bukan ulama) telah dinobatkan sebagai Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden. Mereka memiliki kelebihan – dua orang dari mereka pernah melalui proses pentarbiyyahan Kem Kemunting dan kesemuanya adalah aktivis parti yang paling ketara (visible), terserlah dan berwibawa yang telah menjelajah seluruh pelusuk negara. Lebih dari itu, mereka telah menyertai pilihan raya dan menang dan mereka juga adalah jaguh demonstrasi di jalan raya. Kalau keadaan memaksa rakyat untuk turun ke jalan raya seperti mana yang telah berlaku di Tunisia, Mesir dan beberapa buah lagi Negara Arab, saya rasa inilah orangnya yang akan berada di barisan hadapan.

Mereka adalah ahli PAS yang telah melalui proses pentarbiyyahan yang panjang, lalu mereka itu kenal dengan apa itu Islam dan perjuangan Islam. Dari segi ilmu Islam dan ketaqwaan yang dimiliki, mereka sebenarnya layak dipanggil ulama. Lidah mereka sentiasa basah dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith-hadith. Mereka kenal akan hukum hakam Islam. Di sana ada Majlis Syura Ulama yang memberi legitimasi kepada seluruh keputusan yang diambil parti. Sistem pembuatan keputusan yang wujud di dalam PAS memberi keanjalan yang luas bagi ahli-ahli memilih pemimpin. Sama ada yang dipilih itu “ulama” atau “bukan ulama,” legitimasi perjuangan PAS dan segala tindak tanduknya tetap bersumber dan berpaksikan Al-Qur’an, Sunnah, Qias dan Ijma Ulama. Harus diperhatikan bahawa kebanyakan gerakan Islam di dunia hari ini – dari Negara-negara Arab, Turki dan lran hinggalah ke Asia (India, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia) – dipimpin oleh gabungan ulama dan profesional.



Satu kejayaan besar dari sistem pentarbiyyahan PAS ialah ia telah berjaya “mengulamakan” golongan profesional dan yang bukan dari aliran pendidikan Islam dan ia telah berjaya pula “memprofesionalkan” golongan ulama dan yang dari aliran pendidikan Islam. Sesungguhnya, insan yang ada nilai di sisi Allah hanyalah insan yang bertaqwa. Inilah dia intisari daripada sistem pentarbiyyahan PAS – untuk mewujudkan insan yang bertaqwa, Insha Allah. PAS adalah parti bagi orang bertaqwa yang sentiasa tunduk kepada perintah Allah SWT.

Di luar sana ramai insan yang berstatus ulama. Ada ramai ulama di dalam Biro Agama UMNO. Di Pusat Islam ada ramai ulama. Di Majlis Agama Islam negeri-negeri ada ramai ulama. Tetapi perjuangan mereka (harus ditekankan, tidak semua) itu berbeza dengan perjuangan para ulama yang berada di dalam PAS. Ulama dalam PAS, yang bertaraf pemimpin nasional mahu pun pemimpin negeri, kawasan dan cawangan atau ahli biasa, semuanya insan yang bertaqwa, Insha Allah. Kalau mereka tidak memiliki ketaqwaan yang tinggi, mana mungkin mereka berada di dalam sebuah jemaah Islamiah seperti PAS. Mana-mana jemaah yang perjuangannya bermatlamat menegakkan Al-Qur’an dan Sunnah, Qias dan Ijma Ulama sebagai perlembagaan dan undang-undang bagi ummah, maka itulah dia jemaah Islamiah dan sesiapa sahaja yang berada dan berjuang di dalam jemaah Islamiah, maka mereka adalah orang-orang bertaqwa, Insha Allah. Di dalam bahtera PAS hari ini terhimpun orang-orang bertaqwa dari setiap lapisan dan golongan masyarakat yang pada kalbu mereka sentiasa bersemarak kalimah “Lailaha Ilallah Muhammadur Rasulallah.” Yang lebih menggerunkan musuh ialah sudah wujud pula golongan orang bukan Islam yang merestui perjuangan PAS dan mahu bersama-sama untuk melangsungkan perjuangan.

Umno bukan satu jemaah Islamiah. Ianya jemaah kovensional yang dasarnya “agama suku dan politik suku.” Pemimpin-pemimpinya selalu melaungkan kata-kata ”jangan campur-adukan agama dan politik.” Pemimpin UMNO tidak pernah tahu bahawa berpolitik itu adalah cara hidup para nabi. UMNO, kerana dasarnya konvensional, cukup serasi dengan pendekatan “matalamat menghalalkan cara.” UMNO menggunakan fitnah seks untuk menjatuhkan lawan. Ia memainkan isu perkauman supaya bila tercetus rusuhan kaum seperti “Peristiwa 13 Mei,” maka bolehlah ia terus berkuasa. Dalam tempoh lebih daripada 50 tahun UMNO berkuasa ia telah merosakkan lembaga-lembaga utama di dalam masyarakat dan Negara seperti badan kehakiman, polis, tentera, badan pencegah rasuah, suruhanjaya pilihan raya dan sistem pendidikan Negara. UMNO gagal mengagihkan kekayaan Negara secara adil. Kebokrokan ini berlaku kerana ulama yang ada di dalam UMNO semuanya bisu. Mereka melihat kemungkaran dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka tetapi mereka tidak berani melarang. Malah, mereka tergamak pula mencipta hujjah dan hukum untuk memberi legitimasi kepada kemungkaran yang dilakukan.

Dengan menobatkan Mohamad Sabu, YB Salahuddin Ayub, YB Husam Musa dan YB Mahfudz Omar ke barisan kedua dan ketiga di dalam hiraki kepimpinan PAS, bermakna para perwakilan terus memperkasakan gabungan kepimpinan ulama dan profesional di dalam parti. Sekali gus, para perwakilan menghantar isyarat-isyarat berikut kepada UMNO-BN:

Revolusi rakyat yang dipimpin oleh gabungan ulama dan profesional telah berjaya menumbangkan dua orang diktator paling liat dan “notorious” dalam zaman moden ini, iaitu,El Zine Abidine Ben Ali (Tunisia) dan Hosni Mubarak (Mesir), maka dengan memperkasakan gabungan pimpinan ulama dan profesional di dalam PAS, adalah diharapkan akan tercetus pula revolusi rakyat Malaysia yang kelak berkemampuan menumbangkan kerajaan zalim UMNO-BN dalam pilihan raya ke 13 ini.
Personaliti yang dipilih memang terkenal sebagai “great mobilizer of people” (penggerak orang ramai yang berwibawa).” Mereka telah membuktikan kemampuan memobilisasikan puluhan malah ratusan ribu manusia untuk turun ke jalan raya memprotes kezaliman. Jika UMNO-BN mahu terus menodai sistem pilihan raya pada pilihan raya ke 13 ini, maka jangan dipersalahkan Mohamad Sabu, YB Salahuddin Ayub, YB Husam Musa dan YB Mahfudz Omar, jika sekiranya rakyat turun ke jalan raya memprotes pilihan raya yang tidak adil.
Dengan menambahkan golongan profesional di dalam hiraki kepimpinan PAS, pengundi bukan Melayu melihat bahawa PAS menjadi sebuah parti yang semakin mesra rakyat bukan Melayu. Pengundi-pungundi bukan Melayu, khasnya orang Cina dan India, telah lama menyuarakan bahawa mereka ingin melihat lebih ramai profesional menjadi pemimpin PAS kerana mereka berkeyakinan kejayaan pengurusan ekonomi Negara menuntut kehadiran golongan profesional yang bersih, berintegriti, bijaksana dan berilmu tinggi. Ulama memandu dan golongan profesional melaksana. Para perwakilan melihat bahawa jalan yang selesa untuk memenangi dan menambat hati orang bukan Melayu supaya bersama dengan PAS ialah dengan melakanakan apa jua perkara baik dan bermanfaat untuk semua yang mereka suarakan.

Pemerkasaan gabungan pimpinan ulama dan profesional di dalam PAS menghantar angin dingin ke dalam sum-sum UMNO. Ia menambahkan lagi kegerunan mereka untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat di dalam pilihan raya ke 13 yang akan berlangsung bila-bila masa selepas Muktamar PAS ke 57 ini. Tahniah kepada semua calon yang menang. Kepada yang kalah jangan pula berbalasungkawa kerana ruang perjuangan itu amat luas. 
Dr. Rosli Yaakop- Harakahdaily

Friday, June 3, 2011

Politik Pemilihan PAS: Antara Dua Garis Politik

Hishamuddin Rais
Saya selalu membaca dan mengamati tulisan, komentar dan analisa politik terkini tentang negara kita ini. Saya membaca dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris. Ada yang menarik. Sayangnya banyak pula yang membosankan. Membosankan kerana sang penulis hanya bergelut dengan personaliti individu - si politikus. Tidak lebih dari itu.

Politik bukan hanya tentang individu. Politik ialah tentang kuasa. Perjuangan politik ialah perjuangan untuk merebut kuasa. Merebut kuasa bertujuan untuk merebut punca-punca ekonomi. Di belakang punca ekonomi ialah kelas. Perjuangan politik ialah perjuangan kelas.

Kelas dan ekonomi tidak dapat dipisahkan macam santan dengan kelapa. Setiap sosok manusia tergolung ke dalam satu kelas. Secara kasar, ada dua kelas - yang memerintah dan yang diperintah. Contohnya yang berkuasa dan yang tidak berkuasa. Yang berkuasa ialah mereka yang memiliki harta dan kekayaan. Yang tidak berkuasa ialah mereka yang tidak memiliki harta kekayaan dan golongan miskin.

Dalam sistem ekonomi kapitalis seperti dalam negara kita ini, golongan miskin adalah kaum tani, kaum nelayan dan kaum buruh. Mereka ini adalah kumpulan terbanyak. Manakala kumpulan terkaya tidak ramai. Kumpulan kaya amat sedikit. Mereka adalah kumpulan minoriti. Tetapi mereka menjadi pemilik harta kekayaan yang terbanyak. Justeru melalui harta kekayan, mereka dapat membeli kuasa.

Ini bukan tulisan propaganda. Ini hakikat, fakta sahih yang boleh dirujuk kepada Jabatan Statistik Negara. Fakta-fakta – ekonomi dan kelas ini - menjadi kabur atau sengaja dikaburkan dengan agenda agama, dengan agenda bahasa, dengan agenda kaum dan bangsa. Politik ialah agenda merebut kuasa. Period. Tamat. Agenda-agenda yang lain hanyalah alat dan taktik untuk mengolah persetujuan orang ramai untuk bangun merebut kuasa.

Justeru untuk saya, perjuangan politik untuk melupuskan kuasa kumpulan kaya yang sedikit dan mengambil alih punca-punca ekonomi yang ada dalam tangan mereka. Harta kekayaan wajib diambil kembali untuk diagih-agihkan kepada rakyat terbanyak. Ini seperti yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan Selangor. Kerajaan Pakatan Rakyat telah mengambil kembali hak air dari syarikat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan memberikan secara percuma pada orang ramai.

Justeru berlaku perlawanan yang maha hebat antara Pakatan dengan gerombolan United Malays National Organisation di Selangor. Perlawanan ini ialah perlawanan untuk merebut punca ekonomi. Ini adalah perlawanan dua kelas – kelas kaya yang menindas sedang berlawan dengan rakyat. Suara orang teramai - suara rakyat - diwakili oleh Pakatan.

Hingga ke tahap ini, jika masih ada penulis dan pemberi komentar politik tidak memahami hakikat kelas dan ekonomi maka si mamat atau si minah itu wajib rajin membaca dan mentelaah. Panjangkan akal dan panjangkan ilmu. Sehingga ke hari ini memiliki akal fikrah yang kritikal masih belum dicukai lagi.

Kalau saya membawa para pembaca ke luar Malaysia, hakikat yang sama juga dapat kita lihat. Di Amerika Syarikat, Barack Obama dipilih untuk mempertahankan dan menjaga kepentingan saudagar senjata dan para taikun di Wall Street. Raja Abdulah dipilih untuk mempertahankan kepentingan gulungan feudal di Arab Saudi. Sarkozy di Perancis dipilih untuk mempetahankan kepentingan saudagar Perancis dan kaum Zionis di Perancis.

Parti borjuis kecil

Apabila tuan pembaca telah memahami asas-asas politik dan ekonomi diatas maka saya akan membawa pembaca untuk memahami apa makna dan tanda perebutan puncuk pimpinan PAS yang sedang berjalan hebat sekarang. Perlawanan hebat yang saya maksudkan ialah perebutan kerusi Timbalan Presiden PAS di antara Mohamad Sabu dengan Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Untuk saya pertandingan ini adalah perebutan kuasa. Perebutan kuasa ini ialah perjuangan kelas. Kalau kita kaji dari segi politikal ekonomi, dalam istilah politik moden parti PAS ialah parti yang mewakili kepentingan borjuis kecil Melayu. Parti yang mewakili kepentingan borjuis besar dan borjuis nasional ialah United Malay National Organisation. Justeru saya berani berkata di sini bahawa tidak mungkin Daim, Ananda, Vincent Tan atau Syed Mokhtar menjadi ahli PAS. Parti PAS tidak akan memperluaskan kepentingan ekonomi mereka.

PAS mewakili guru-guru Melayu, tok peraih, penjaja, tuan empunya warung, kontraktor kelas bawah, peneroka, nelayan, termasuk juga askar dan polis pencen. Golongan ini merasa kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka dapat dipertahankan oleh parti PAS.

Kalau PAS ini parti bojuis kecil Melayu, bagaimana pula dengan ulama dalam PAS? Biar saya terangkan di sini bahawa dari segi ekonomi para alim ulama juga memiliki kelas. Dari segi pensejarahan, penubuhan parti politik di Malaysia kita akan dapat memahami bahawa alim ulama dalam PAS ini tergolongn kepada borjuis kecil Melayu. Mereka merasa diri mereka akan dipinggirkan oleh United Malays Natioanal Organisation yang amat mesra bersekongkol dengan tauke dari MCA atau bekas penjajah British. Hujah agama ketika keluar dari payung United Malays National Organisation pada ketika itu adalah hujah terbaik untuk mempertahankan kepentingan ekonomi kelas borjuis kecil Melayu.

Justeru hari ini kita akan bertemu dengan ulama yang bekerja dengan United Malay National Organisation. Mereka ini saudagar agama yang kaya dan lumayan. Kerja mereka ialah mencari ayat-ayat dan hadis nabi untuk 'menghalalkan' apa saja dasar dan tindak tanduk United Malay National Organisation.

Dengan ini apakah Mat Sabu dan Nasarudin ini memiliki pandangan politik dan kelas yang sama kerana mereka berdua berpayung dalam parti PAS? Jawabnya tidak. Parti MCA adalah parti tauke tetapi ramai juga buruh yang menjadi ahli ini. Parti MIC ialah parti Chettiar can mandur tetapi ramai kuli estet yang menjadi ahli.

Awas dan waspada. Di dalam kumpulan borjuis kecil ini juga akan terdapat sosok-sosok yang berminat untuk menjadi borjuis besar dan borjuis nasional. Di dalam PKR juga pasti ada yang bermimpi untuk menjadi borjuis nasional. Bermimpi untuk menjadi tuan pemilik kuasa jana elektrik atau pemilik kilang gula dan beras. Ini bukan sesuatu yang mustahil.

Di tahap ini dalam politik negara kita apa yang wajib kita kenali ialah kepentingan kelas apa yang diwakili oleh Mat Sabu. Kepentingan kelas siapa pula yang diteraju oleh Nasharudin. Seperti saya tulis di atas tadi, perjuangan politik ialah perjuangan kelas. Untuk saya mustahil kedua-dua mereka ini mewakili kelas yang sama. Jika mereka dari kepentingan kelas yang sama mustahil mereka akan bertempur.

Nasharudin dikatakan dari jalur ulama. Tetapi dalam analisa politikal ekonomi, istilah ulama ini tidak memiliki apa apa makna. Ini hanyalah 'tagline' untuk menjual produk. Ulama hanya jenama yang dikenali umum. Majoriti ahli PAS adalah manusia warak yang ritual agama Islamnya terjaga rapi. Untuk para ritualis ini, jenama ulama ini cukup memyakinkan. Justeru dengan bijak Nasharuddin telah melabelkan dirinya ulama. Jenama ini amat baik untuk meraih sokongan dalam parti PAS.

Tabur racun

Dalam analisa ini bukan jenama ulama yang kita bincangkan tetapi 'calon ulama' atau yang 'bukan calon ulama' itu mewakili kelas yang mana? Ini soalan yang wajib kita terus bertanya apabila kita membaca politik. Jika kita dapat memecah persoalan kelas maka kita akan dapat memahami pertembungan politik yang sedang berlaku dihadapan mata kita.

Akhbar Utusan Malaysia dianggap suara musuh oleh PAS dan Pakatan. Kebelakangan ini, sebelum muktamar PAS berlangsung, akhbar ini tiba-tiba menyatakan rasa gembira dan senang hati jika 'kumpulan ulama' dalam Pas ini mencapai kemenangan. Malah sekali imbas kita lihat Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) – kumpulan Umno pencen – tiba-tiba berkempen untuk Nasarudin. Jelas suara United Malay National Organisation ini mahu 'tim ulama' menang dan terus berkuasa.

Beberapa tulisan dalam akhbar Utusan semuanya memperlihatkan bahawa United Malays National Organisation merasa takut jika sekiranya Mat Sabu berjaya mengalahkan Nasaruddin dan Tuan Ibrahim. Utusan kelihatan berhempas pulas menabur racun berkempen agar ahli PAS akan mengenepikan Mat Sabu.

Lalu timbul persoalan, kenapa Utusan sibuk mahu Mat Sabu kalah? Jawapan untuk soalan ini ialah kelas. Dalam pemahaman politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas mustadhafin atau kelas tertindas. Dalam bahasa politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas kaum proletar – kaum buruh dan kaum tani – kaum majoriti yang tertindas.

Nasharudin walau pun dalam parti PAS tetapi dilihat memiliki niat dan mimpi untuk menjadi borjuis besar - borjuis nasional. Cita-cita untuk menjadi borjuis nasional ini hanya akan termakbul jika sekiranya PAS dan United Malay National Organisation dapat bersatu dan bekerjasama dalam satu perserikatan yang baru. Penyatuan ini di bawah lambang perpaduan Melayu.

Justeru pertembungan Mat Sabu, Nasarudin dan Tuan Ibrahim ini memiliki implikasi yang amat jauh merentas markas tarbiah PAS di Gombak. Kemenangan Mat Sabu akan membuka satu garis baru dalam PAS. Garis ini ialah garis memperjuangan golongan tertindas. Jangan lupa Mat Sabu ini pernah menimbulkan isu padi kunca di Kedah di mana tuan tuan pemilik tanah sawah yang luas merasa tergugat.

Tuan-tuan tanah ini ada yang menyokong PAS. Lalu mereka merasa marah kerana kain sarong topeng agama mereka telah diselak terbuka oleh Mat Sabu. Manakala Nasarudin tidak memiliki apa-apa budaya politik melawan. Malah Nasarudin ini didakwa sedia bersekongkol dengan United Malay National Organisation. Manakala Tuan Ibrahim mencelah bertanding untuk memastikan garis musthadafin yang dibawa oleh Mat Sabu dikuburkan.

Dari sini amat jelas menunjukkan bahawa kepentingan kelas melintasi kepentingan parti politik. Ini samalah seperti United Malay National Organisation yang melaungkan ketuanan Melayu tetapi akan sedia berkerjasama dengan para cukong dari MCA atau MIC untuk kepentingan kelas mereka.

Pasti ada sosok-sosok dalam Pas yang bersedia berkerjasama dengan United Malays National Organisation untuk memastikan – Insya-Allah – mimpi mereka untuk menjadi borjuis nasional termakbul. Juga memastikan kepentingan ekonomi mereka dipertahankan dan dikembangkan. Jangan pula hairan jika saya katakan hari ini sosok-sosok jenis Nasarudin ini juga ada dalam PKR dan DAP. Cuma ketika ini suasana politik tanah air kita belum memberanikan mereka menunjukkan muka.

Jelas di sini United Malay National Organisation mahu garis Mat Sabu dikalahkan. Tetapi semuanya terpulang kepada ahli PAS sendiri. Mereka yang membuat keputusan untuk memilih di antara dua garis politik ini. Politik kuasa orang kaya di satu pihak dan politik kaum buruh dan kaum tertindas di satu pihak lagi.
Hishamuddin Rais @ Tukar Tiub

Thursday, June 2, 2011

Pemilihan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Pusat 2011

SHAH ALAM, 2 Jun: Pemilihan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) bagi sesi 2011/2013 menyaksikan Siti Zailah Mohd Yusof menang jawatan Ketua DMPP menewaskan penyandang sebelumnya, Nuridah Salleh.

Bagi jawatan timbalan ketua pula dimenangi Dr. Siti Mariah Mahmud menewaskan pencabarnya Wan Hasrina Wan Hassan. Manakala jawatan naib ketua kekal dengan Mumtaz Md Nawi menewaskan tiga pencabar lain iaitu Mastura Mohamad, Normala Sudirman dan Dr. Najihatussalehah Ahmad.

Berikut adalah senarai Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Sesi 2011/2013:
Pengerusi Tetap:  Nor Hashimah Deraman
Timbalan Pengerusi Tetap: Fatimah Ismail
KETUA: Siti Zailah Mohd Yusof, YB
TIMBALAN KETUA:  Siti Mariah Mahmud, Dr    
NAIB KETUA: Mumtaz Mohd Nawi

JAWATANKUASA KERJA
1. Aiman Athirah Al-Jundi
2. Halimah Ali, Dr. YB
3. Asiah Ali, Dr.
4. Aida@Nurul Huda Yusof Rawa
5. Wan Ubaidah Omar, YB
6. Kartini Ahmad
7. Mastura Mohamad
8. Normala Sudirman
9. Azizah Khatib Mat
10. Rosni Adam
11. Najihatussolehan Ahmad, Dr.
12. Siti Aisyah Ghazali, YB
Berikut pula adalah senarai Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat, Sesi 2011/2013:

Pengerusi Tetap: Ustaz Misbahul Munir Haji Masduki
Timbalan Pengerusi Tetap: Ustaz Kamal Ashaari
Ketua: Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Timbalan Ketua: Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Naib Ketua: Raja AlHiss Raja Yaakob

Ahli Jawatankuasa:
1) Ustaz Riduan Mohd Noor
2) Khairul Faizi Ahmad Kamil
3) Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah
4) Adram Musa
5) Kamaruzzaman Mohamad
6) Ustaz Ahmad Fadley Shaari
7) Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi
8) Ustaz Nazri Chik
9) Yusni Mat Piah
10) Hamzan Sany
11) Syed Qadir
12) Ustaz Mohd Noor Hamzah

Wednesday, June 1, 2011

Dewan Ulama: Pertembungan PAS dan Umno pertembungan akidah

KUALA LUMPUR 2 Jun 2011: Pertembungan antara PAS dan Umno perlu difahami dengan jelas oleh setiap pihak sebagai bukan hanya sekadar pertembungan politik, tetapi adalah pertembungan akidah. Oleh itu, para ulama dalam PAS di semua peringkat perlu memainkan peranan dengan berkesan bagi menerangkan perkara itu bukan hanya kepada ahli-ahli PAS, tetapi juga kepada orang ramai di seluruh negara.

Perwakilan Dewan Ulama PAS Terengganu, Hamzah Ngah berkata, realiti itu tidak perlu disembunyikan oleh ulama PAS apabila ditanya oleh seseorang tentang perbezaan antara PAS dan Umno. Menurut beliau, sebalik perbezaan itu perlu dinyatakan dengan jelas dan tegas agar difahami setiap pihak, selaras dengan perjuangan PAS untuk Islam, manakala Umno atas dasar nasionalis.