Monday, January 24, 2011

Chua Soi Lek hina Islam perlu minta maaf - Harussani

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam — calon PAS-Pakatan kerusi DUN Tenang, sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Justeru, Harussani menggesa Dr Chua yang juga Presiden MCA supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.

Kempen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang dilihat memberikan tumpuan kepada cara bersalam calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki.

Kontroversi itu terlebih dahulu ditimbulkan Dr Chua dan ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong tindakan Dr Chua yang membangkitkan agenda PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam jika Pakatan Rakyat berkuasa adalah baik bagi “mengingatkan” masyarakat Cina di DUN Tenang.

“Beliau (Dr Chua) perlu tahu, kalau tahu beliau kena hormati pendirian agama masing-masing, kalau tidak tahu itu adalah kejahilan.

“Kalau tahu tapi buat-buat tidak tahu itu menghina Islam namanya... saya bukan sebut ini untuk pertahankan calon PAS tapi ini melibatkan ajaran agama.

“Jadi beliau perlu minta maaf kerana menghina orang Islam,” kata Harussani ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Normala, seorang bekas guru juga merupakan Exco Dewan Muslimat PAS pusat.

Menurut Harussani, sebagai seorang wanita yang beragama Islam sudah menjadi kewajiban beliau untuk menjaga adab termasuk dari aspek bersalam.

“Barangkali beliau (Dr Chua) tidak tahu, beliau tak tahu apa itu hukum Islam.

“Kalau lelaki dan wanita itu bukan muhrim maka mereka tidak boleh bersalam, itu haram namanya.

“(Dr) Chua kena tahu itu adalah hukum agama, bagi orang Islam yang beriman tindakan itu adalah betul kerana agama jelaskan katakan ia haram,” katanya.

Dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider semalam, Normala menyifatkan Umno telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.

Beliau juga meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Menurut Normala, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA sepatutnya sudah memahami tertib seorang wanita Islam.

Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari kedua hari ini. Pengundian akan diadakan pada 30 Januari.

Dalam pada itu, Harussani turut menyifatkan tindakan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengeluarkan “fatwa” baru sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

“Beliau (Nizar) tidak boleh gunakan ajaran agama sewenang-wenangnya, kalau tiada dalam tuntutan (agama) tidak boleh kata haram.

“Kalau nak keluarkan (fatwa) mesti ada nas-nas, jangan main cakap sahaja.

“Kalau tiba-tiba kata haram ia melebihi Tuhan, melebihi Tuhan adalah syirik,” katanya.

Beliau juga menggesa mana-mana parti politik supaya tidak menggunakan agama dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang.

“Jadi jangan gunakan agama sewenang-wenangnya, jangan kerana politik agama dipolitikkan.
Saya tidak sebelah mana-mana, apa yang saya cakap berdasarkan agama Islam,” katanya

Friday, January 7, 2011

Kronologi kontroversi pelantikan SUK Selangor

Pejabat Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa, sehingga majlis persaraan Datuk Ramli Mahmud pada 16 Disember lalu, bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri itu, Datuk Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan penggantinya.

Pejabat TS Khalid juga mendawa pada hari yang sama, dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sebelah pagi pada hari yang sama, Ramli turut 'membisu' mengenai perkara itu.

Kenyataan balas itu dikeluarkan lewat petang ini, dipercayai sebagai respons terhadap kenyataan Ramli dalam Malaysiakini awal petang ini yang menafikan beliau menyerahkan cadangan 'penggantinya' kepada Sultan Selangor tanpa memaklumkan kepada Khalid.

Berikut kronologi pelantikan kontroversi SUK Selangor seperti dilaporkan  Pejabat Menteri Besar Selangor yang dirakamkan Malaysiakini:

26 Oktober 2010
PSM memberi Nota Amalan kepada Dato' Menteri Besar tentang prosedur pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Nota ini menyatakan bahawa:
i) Suruhunjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yang difikirkan layak (Gred 54 ke atas) kepada Menteri Besar.
ii) Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang
sesuai dan menyerahkan senarai pendek kepada DYMM Sultan Selangor
iii) Setelah Tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan MB akan menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan.

26 Oktober 2010
Pusat Sumber Manusia memberi nota amalan kepada Pejabat Dato' Menteri Besar tentang prosedur pelantikan Setiausaha Kerajaan yang baharu dan menyenaraikan 8 nama yang dicalonkan untuk pelantikan.

8 November 2010
Pejabat Menteri Besar menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan untuk memilih calon yang paling layak daripada 8 nama pegawai yang telah dicadangkan.

22 November 2010.
Jawatankuasa memulakan proses menemubual semua calon .
1 Disember 2010
Mesyuarat EXCO bersidang. Dato' Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan yang akan menggantikan beliau.


2 Disember 2010
Mesyuarat MTES bersidang Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.
..
3 Disember 2010
Jawatankuasa telah memaklumkan kepada pejabat Dato' Menteri Besar bahawa 3 nama telah dipilih untuk dilantik serta memberitahu bahawa 2 calon tidak mahu mengambil bahagian

8 Disember 2010
Mesyuarat EXCO bersidang. Dato' Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

9 Disember 2010Mesyuarat MTES bersidang Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

15 Disember 2010Mesyuarat EXCO bersidang. Dato' Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan menggantikan beliau.

16 Disember 2010
2pm: Mesyuarat MTES bersidang Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan menganti beliau.
9pm: Majlis Persaraan untuk Dato' Ramli Mahmud dan dihadiri oleh Dato' Menteri Besar serta Setiausaha Politik. Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau

17 Disember 2010Dato' Menteri Besar menulis surat kepada Istana untuk memaklumkan DYMM Sultan Selangor tentang prosedur pemilihan yang dijalankan Kerajaan Negeri dan tiga calon akhir telah dipilih dan Dato' Menteri Besar terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan DYMM Sultan untuk pandangan dan nasihat. Ini selepas pemeriksaan teliti terhadap tiga calon ini.

20 Disember 2010Dato' Menteri Besar menulis surat kepada Pusat Sumber Manusia untuk memaklumkan Menteri Besar telah menghantar tiga nama calon kepada DYMM Sultan Selangor dan belum menerima maklum balas. Surat berkenaan juga memberitahu Dato' Menteri Besar akan bercuti sehingga 30 Disember dan sebarang pengumuman mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dirujuk kepada Menteri Besar.

21 Disember 2010
Istana menerusi Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato' Muhamad Munir Bani menulis surat kepada Setiausaha Sulit kepada Dato' Menteri Besar, Haji Mustapha. Bersama surat itu dilampirkan surat bertarikh 10 Disember 2010 yang dialamatkan kepada Dato' Ramli Mahmud sebagai balasan surat yang dihantar Dato' Ramli bertarikh 3 Disember. Surat 3 Disember itu memaklumkan kepada DYMM Sultan Selangor tiga calon yang layak. Manakala surat 10 Disember memaklumkan kepada Dato' Ramli bahawa DYMM Sultan Selangor telah berkenan dengan pelantikan Dato' Muhamad Khusrin Munawi. Surat itu juga menyatakan Dato' Ramli boleh membuat pengumuman pada 16 Disember 2010.

24 Disember 2010Pejabat Menteri Besar menjawab surat bertarikh 21 Disember dari Dato' Mohamad Munir bahawa Dato' Menteri Besar tidak pernah diberitahu keputusan yang telah dibuat bertarikh 10 Disember 2010 itu. Sehubungan itu, Pejabat Menteri Besar memohon perkenan untuk mengadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

27 Disember 2010Dato' Menteri Besar menerusi surat memohon untuk menghadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

3 Januari 2011Dato' Menteri Besar menghadap DYMM Sultan Selangor. Dato' Menteri Besar juga menulis kepada SPA menyatakan Kerajaan Negeri menolak pelantikan Dato' Mohamad Khusrin dan tidak mengadakan majlis angkat sumpah menyimpan rahsia sehingga perkara ini selesai.

4 Januari 2011Pejabat Dato' Menteri Besar menulis surat kepada DYMM Sultan memohon supaya majlis angkat sumpah ditangguhkan sehingga Kerajaan Negeri dan SPA menyelesaikan perkara ini.

6 Januari 2011Dato' Menteri Besar dan barisan Exco hadir ke majlis angkat sumpah di Istana Bukit Kayangan sebagai taat setia dan kasih kepada DYMM Sultan dan DYTM Raja Muda tetapi tetap tidak menerima pelantikan Dato' Mohamad Khusrin./

Thursday, January 6, 2011

Selangor diasak - Dr Halimah minta solat hajat

SHAH ALAM, 6 Jan: Semua ahli PAS dirayu supaya mengadakan solat hajat serta doa qunut nazilah untuk mempertahankan kerajaan negeri Selangor yang sedang diserang sekarang. Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali dalam mesejnya yang penuh imosi memohon bantuan semua pihak bagi menghadapi serangan ini.

"Kami dah cuba mempertahankan kerajaan ini selama ini. Kami perlukan bantuan anda semua. Maaf kami tak larat untuk melakukan semua perkara," tulis Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang dalam mesejnya kepada Harakahdaily.

Halimah (gambar) juga memaklumkan, Menteri Besar dan semua Exco kerajaan negeri terpaksa menyertai majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru yang disekalikan dengan majlis penganugerahan darjah kebesaran di istana negeri hari ini.

"Umno mahu menggunakan tektik sembah derhaka untuk ambil alih kerajaan Selangor seperti modus operandi Perak kalau kami tidak pergi," kata Halimah yang merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor.

Tidak bermakna kami rela

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataan medianya sebelum ini memaklumkan, pemergian mereka ke istana hari tidak bermakna mengiktiraf perlantikan Khusrin.

"Kami ingin menegaskan kehadiran kami ini tidak bermakna kami rela dengan tindakan arbitrasi SPA terhadap pentadbiran ini. Kami tetap dengan pendirian bahawa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri belum muktamad dan perlu penyelesaian bijaksana," kata Khalid dalam kenyataannya.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri, kata Khalid adalah "sebagai bukti dan tanda kasih serta taat setia kami kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor."

Kerajaan Negeri Selangor, katanya, telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ( SPA ) dan menyatakan rasa terkilan Negeri Selangor di dalam isu pelantikan SUK.

"Kita nyatakan dengan tegas bahawa tindakan mereka telah membelakangkan semangat Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya.

Kerajaan Negeri juga memohon agar proses perbincangan dapat dilakukan dan akhirnya penyelesaian terbaik boleh dicapai.

Pentadbiran Negeri Selangor juga telah memaklumkan kepada DYMM Sultan Selangor beberapa perkembangan hasil dari pertemuan pada 3 Januari, termasuk cadangan memulakan proses penyelesaian dengan SPA.

Pentadbiran Kerajaan Negeri kesal apabila berlaku manipulasi pihak tertentu dan berkepentingan dalam soal ini.

Media pula menggambarkan seolah-olah berlaku krisis di antara Istana dan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat, katanya.

"Kita juga telah memberi maklum kepada DYMM Sultan bahawa Pentadbiran Kerajaan Negeri akan mengadakan Sidang Dewan Negeri Selangor dalam tempoh terdekat untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar khusus dalam melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri.

"Tindakan ini sekali gus menolak dakwaan pihak-pihak yang menuduh kami menderhaka dengan Sultan dan Kerajaan negeri Selangor sebaliknya kamilah yang akan mengembali dan mempertahan kuasa Sultan dan Negeri yang terhakis sejak 1993 kesan dari krisis Perlembagaan," katanya.

Sunday, January 2, 2011

Aktivis PAS Sungai Rokam, Ipoh meninggal dunia

IPOH 2 Jan 2011  Ahmad Maliki bin Hussein 42 seorang pemuda yang aktif dalam masyarakat sekitar kampung Sungai Rokam, Ipoh telah meninggal dunia jam 8.00 malam Sabtu 1 Jan 2011 selepas mengadu sakit dada selepas kembali dari bermain kompang di satu majlis kawin di Ipoh. Malik yang bekerja sendiri masih bujang seorang yang rajin menolong dan tidak keberatan menyumbang tenaga kerja untuk aktiviti PAS Sungai Rokam terutama ketika di era Pakatan Rakyat.

Pagi ini jam 11.00 pagi jenazah Allahyarham Malik telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Rapat Jaya, Ipoh. Turut hadir dan mengimamkan solat jenazah ialah saudara terdekatnya Tuan Haji Asmuni Alwi, Pengarah Pilihanraya PAS Negeri Perak. Lebih dari 1000 orang kaum kerabat terutama dari suku Bowean, sahabat dan penduduk kampung mengiring jenazah hingga ke tanah perkuburan. Semoga roh Allahyarham Malik dicucur rahmat dan ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman... Al-fatihah.

Thursday, December 30, 2010

SUK bisa menjerut Kerajaan Negeri

SHAH ALAM 30 Dis 2010 Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa kerajaan persekutuan cuba membubarkan DUN Selangor melalui pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK). Khalid berkata, Khusrin yang merupakan bekas setiausaha sulit kepada menteri besar sebelum ini Tan Sri Muhammad Mohd Taib, terhutang budi kepada perdana menteri Datuk Seri Datuk Najib Razak dan bukannya kepada negeri itu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di pejabatnya, Beliau mendakwa, Najib pula berniat untuk mewujudkan kekacauan di negeri itu dan memaksa pembubaran DUN.

Kebimbangan yang disuarakan Khalid itu timbul berikutan desas-desus berhubung langkah Selangor dan negeri-negeri dikuasai Pakatan Rakyat untuk tidak membubarkan DUN sekiranya Najib mahu mengadakan pilihan raya mengejut.

Khalid juga mendakwa SUK Negeri Perak sebelum ini memainkan peranan utama dalam menumbangkan pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri itu pada awal 2009.

Beliau bimbang keadaan sama akan berlaku di Selangor ekoran pelantikan Khusrin ke jawatan tersebut memandangkan bekas pengarah Jabatan Agama Islam itu lemah dari segi kelayakan.Khalid turut mendakwa, Khusrin dilantik ke jawatan itu untuk mewujudkan masalah kepada pentadbiran negeri.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pula dilaporkan berkata, perlantikan Datuk Khusrin itu sendiri mempunyai agenda khusus dari kerajaan pusat untuk membolehkan Datuk Khusrin campur tangan bagi pihak kerajaan pusat dalam membuat keputusan Mesyuarat Exco Negeri Selangor.

"Apa saja keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat Exco, sepatutnya setiausaha sulit akan keluarkan arahan dan laksanakan, kemudian putuskan dalam mesyuarat.

"Ini tidak, apa yang tak diputuskan dia buat, mesyuarat Exco tak bincangkan masalah ini, dia sendiri akan buat surat dan keluarkan arahan tanpa kita bagi arahan daripada mesyuarat Exco," katanya dalam satu kenyataan media.

Kejadian seperti itu, menurut beliau, tidak mustahil akan berlaku dalam pentadbiran kerajaan Selangor jika perlantikan Khusrin diteruskan sehingga akhirnya akan menyebabkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berjaya digulingkan oleh kerajaan pusat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut melahirkan kebimbangannya berhubung perkara itu, berdasarkan pengalamannya sendiri sebelum ini yang pernah mengetuai sebuah kerajaan yang sah yang diberikan mandat oleh rakyat pada PRU Ke-12 lalu, tetapi digulingkan oleh pihak Umno BN menerusi rampasan kuasa.
Harakahdaily

Wednesday, December 8, 2010

Titah Sultan Perak martabatkan bangsa Melayu disokong

IPOH, 8 Dis 2010 Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPNPk) Rabu menyokong titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah bahawa orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini telah menghina dan mengkhianati bangsanya sendiri.

Setiausahanya Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata titah berkenaan bertepatan dengan situasi negara kerana mereka yang mempertikaikannya, bertindak tanpa berasaskan faktor sejarah dan bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

"Perkara ini turut ditekankan PAS dan pakatan pembangkang yang bersepakat berdasarkan konvesyen tahun lalu yang akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan termasuk hak istimewa orang Melayu dan Raja Berperlembagaan.

'DPPNPk juga menyembah maklum akur dengan titah Sultan Azlan Shah kerana sejarah telah menyatakan bahawa kejatuhan empayar dan Kerajaan Islam dahulu adalah akibat pemimpinnya telah lalai terhadap tanggungjawab dan perintah agama," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya DPPNPk komited mempertahankan Perlembagaan Malaysia.

Semalam, ketika merasmikan sambutan Maal Hijrah 1432 peringkat negeri, Sultan Azlan Shah mengingatkan agar umat Islam dan orang Melayu tidak terburu-buru mengambil sesuatu tindakan kerana dibimbangi akan merugikan masa depan dan generasi mereka sendiri.

Baginda bertitah amat malang kepada agama dan bangsa, apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah dan jika ini dibiarkan, tiada maknanya lagi apabila bangsa kemudian hari menghadapi kesesalan kerana ketika itu telah terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan.
-Bernama

Tuesday, December 7, 2010

Sultan Johor: Kedaulatan Melayu ganti Ketuanan Melayu

Johor Bharu 8 Dis 2010 Ketuanan Melayu lebih sesuai disebut “kedaulatan Melayu” kerana ia mencakupi kedudukan Raja-raja Melayu dan rakyatnya dan bukannya soal antara “tuan” dan “hamba”, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

“Ketuanan Melayu merujuk kepada kedaulatan di negeri Melayu dengan kedudukan raja sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu,” titah baginda semasa merasmikan Multaqa Ulama Darul Ta’zim di sini hari ini.

Menurut baginda apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu Raja-raja Melayu dan rakyatnya.

Ini kerana, awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-raja Melayu dan rakyatnya, titah baginda.

“Sejak dulu lagi, ketika negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, Raja-raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagi tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Tanah Melayu. Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum lain terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah baginda membangkitkan soal mengenai 'Ketuanan Melayu' memandangkan masih ramai rakyat tidak memahami perkara berkenaan dan menyalah-tafsir maksudnya yang sebenar.

Baginda mengingatkan orang Melayu supaya bermusahabah diri dan mempertahankan ketuanan Melayu memandangkan ada orang Melayu sendiri yang mahu menolak kedaulatan Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

"Berdasarkan perkembangan semasa, suka saya mengingatkan kepada orang Melayu sekalian supaya muhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah sistem raja dan kerajaan Melayu yang telah wujud ratusan tahun dahulu tidak pernah putus malah kekal sehingga ke hari ini serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bernama 

Tuesday, November 30, 2010

Tiada Istilah 'Ketuanan Melayu' Dalam Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 30 Nov 2010 Istilah 'Ketuanan Melayu' tidak perlu dibahaskan kerana ia tidak wujud dalam perlembagaan negara, kata pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Beliau berkata dalam aspek sejarah, hanya 'Ketuanan Raja' yang termaktub dalam perlembagaan kerana rakyat perlu menunjukkan taat setia kepada raja.

"Sebelum ini tidak pernah disebut 'Ketuanan Melayu' dalam masyarakat Melayu. Dalam sejarah hal sebegitu tidak betul. Yang ada dalam perlembagaan cuma 'Ketuanan Raja' iaitu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Orang Melayu mendapat hak keistimewaan kerana mereka adalah rakyat raja, kerana itu raja yang penting. Kedudukan orang Melayu memang diberikan pertimbangan khas dan tidak perlu dipersoalkan," katanya kepada Bernama malam Selasa.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai Ketuanan Melayu yang dibangkitkannya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh parti itu Ahad lepas.

Dr Wan Azizah meminta konsep Ketuanan Melayu dihapuskan bagi membolehkan anak-anak membesar dengan visi 'bangsa bermaruah' atau 'Melayu bermaruah'.

Khoo berkata istilah Ketuanan Melayu hanya dibangkitkan oleh ahli politik bagi tujuan politik semata-mata, dan beliau melihat ahli politik sekarang sering membangkitkan isu yang boleh mendatangkan konfrontasi antara kaum.

"Ahli politik seharusnya memberi perhatian kepada perkhidmatan mereka kepada rakyat, menolong rakyat. Bukan menggalakkan rakyat untuk bergaduh," katanya. -Bernama

Kuala Lumpur 30 Nov  mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  melaporkan Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak hanya akan berjaya jika rakyat membelakangkan bangsa dan keturunan masing-masing dan mengasimilasikan diri menjadi satu, katanya di Forum Persidangan pelabor Malaysia-Eropah (MEP) hari ini.

Katanya, konsep Najib hampir sama dengan prinsip Wawasan 2020 yang diterajuinya dalam percubaan mewujudkan bangsa Malaysia bagi mencapai perpaduan kebangsaan.

"Apabila kita berbicara mengenai perpaduan kebangsaan kita mesti lupakan sejarah kita, keturunan dan menganggap diri kita sebagai rakyat Malaysia. Kita bercakap dalam satu bahasa dan tidak minta 'Keistimewaan' hanya kerana kita Melayu ataupun bukan Melayu,” kata Dr Mahathir.

Beliau menjawab soalan daripada hadirin ketika sesi dialog pada forum ketiga dialog Malaysia-Eropah (MEF) di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir juga membidas kumpulan yang menyokong 'prinsip 1Malaysia' tetapi masih mempertahankan diri mereka daripada kumpulan yang berasal daripada latar belakang sesuatu keturunan.

"Kita tidak boleh lagi anggap diri kita rakyat Malaysia yang berketurunan Melayu, Cina ataupun India,” katanya sambil menambah jika rakyat boleh melupakan perkara itu, 1Malaysia akan mempunyai pengertian sebenar. -Malaysiakini


PASIR MAS, 30 Nov: Mendaulatkan ketuanan Islam berbanding ketuanan Melayu bukan sahaja lebih mulia, malah mampu mengelak dari permusuhan kaum, kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sekiranya bangsa Melayu mahu ketuanan Melayu, sudah tentu bangsa lain juga mahukan bangsa mereka di angkat seperti mana bangsa Melayu katanya yang juga Mursyidul Am PAS.

“Bangsa lain boleh menerima agama (Islam) ini berbanding ketuanan Malayu yang hanya menunjukkan kepada satu bangsa sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa OKU yang rentung dalam kebakaran di Kampung Ubi Keling Nibong, dekat sini. Turut serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun, Adun Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman dan Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Kazim Nik Yusoff.

Tambah Menteri Besar Kelantan itu lagi, dengan ketuanan Islam tidak akan timbul sikap dengki dari bangsa lain sebaliknya diterima baik oleh mereka, apatah lagi jika mereka memeluk Islam.

Sehubungan itu tegasnya, sikap terlampau mementingkan bangsa wajar dihentikan kerana lebih banyak mengundang perbalahan dan permusuhan berbanding perpaduan. Harakahdaily.