Wednesday, May 28, 2014

Sultan Azlan Shah 19 April 1928 - 28 Mei 2014

KUALA LUMPUR, 28 Mei  Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah mangkat pada jam 1.30 petang tadi di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Almarhum berusia 86 tahun.

Beliau meninggalkan isteri, Raja Permaisuri Tuanku Bainun Muhammad Ali, seorang bekas guru, dan empat anak mereka iaitu Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah; Raja Datuk Seri Azureen Shah, Raja Eleena dan Raja Yong Sofia.

Seorang lagi putera, Raja Ashman Shah meninggal dunia pada 2012.

Pengembumian akan diadakan esok selepas solat Asar di Makam Diraja Kuala Kangsar.

Sultan Perak ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Perak ke-34 pada 1984. Sebelum ini, baginda mempunyai kerjaya cemerlang dalam sistem kehakiman Malaysia, dan pernah menjadi Ketua Hakim Negara pada 1982.

Pada 1989, Sultan Azlan menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-9, berkhidmat selama lima tahun, sebelum kembali ke takhta Perak pada 1994.

Khabar angin tersebar mengenai kemangkatan Sultan sejak Ahad, tetapi perkara itu tidak benar.

Sultan Azlan Shah menjadi pemerintah Perak selepas kemangkatan bapa saudaranya, Sultan Idris Shah pada 1984.

Baginda juga adalah bekas Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia dan terkini Canselor Universiti Malaya.

Sultan Azlan menjadi presiden Persekutuan Hoki Malaysia sehingga 2005 dan kekal sebagai presiden Persekutuan Hoki Asia dan ahli lembaga eksekutif badan global sukan itu, Persekutuan Hoki Antarabangsa.

Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah adalah kejohanan hoki tahunan yang disertai beberapa banyak negara dan diadakan di Ipoh.

Raja Azlan Shah dilahirkan pada 19 April, 1928 di Batu Gajah, Perak.

Baginda adalah putera kepada Sultan Yusuf Izzuddin Shah (1948–1963) dan Toh Puan Dewangsa Khadijah Ahmad.

Ketika kecil, Raja Azlan Shah dibesarkan oleh bondanya di luar lingkungan diraja.

Pendidikan awal baginda adalah di Sekolah Kerajaan Inggeris, Batu Gajah, kini dikenali sebagai SMK Sultan Yussuf.

Baginda mendapat pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum berlepas ke United Kingdom untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di University of Nottingham.

Baginda memperoleh ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada 1953 dan dimasukkan ke Majlis Peguam Inggeris oleh Honourable Society oft Lincoln’s Inn pada 23 November 1954.

Sekembalinya ke tanah air, baginda berkhidmat sebagai pembantu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sebelum menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang bagi Persekutuan Tanah Melayu sebagai majistret. Baginda kemudiannya dilantik sebagai presiden Mahkamah Sesyen.

Baginda juga merupakan Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwa Raya, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Johor, Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Pada usia 37 tahun, baginda diiktiraf sebagai hakim termuda dalam Komanwel yang dilantik bagi Mahkamah Tinggi pada 1965.

Pada 1973, baginda dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan pada 1979 pula sebagai Ketua Hakim Malaya.

Baginda ditabalkan sebagai Raja Muda pada 1 Julai, 1983.

Pada awal 2009, baginda menerima kritikan hebat kerana penglibatannya dalam penyingkiran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak semasa Pakatan Rakyat  (PR) masih berkuasa yang membawa kepada krisis Perlembagaan negeri.

Keputusan baginda tidak dipersetujui Mahkamah Tinggi, yang memutuskan Sultan mengikut perlembagaan tidak dibenarkan memecat menteri besar.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan kemudian mengatakan Sultan adalah betul dalam melantik Zambry daripada Barisan Nasional sebagai menteri besar, walaupun mereka tidak memenangi undi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). – 28 Mei, 2014.

Sunday, May 18, 2014

Dyana Sofya mula pamer ketangkasan bidas serangan lawan

Semangat dan tenaga muda Calon DAP pada Pilihan raya Kecil (PRK) Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud kian menyerlah bagi membidas dan menbalah serangan lawan dari BN. Shahrizat semalam berkata beliau bersimpati dengan Dyana yang didakwanya diperalatkan oleh DAP dan menjadi "boneka" DAP.

“Kita semua tahu perjuangan DAP yang sebenarnya dan saya amat kesian kepada Dyana Sofya yang sanggup membiarkan dirinya diperalatkan.” kata Shahrizat.

Menurut Dyana, Shahrizat tidak seharusnya memperkecilkan kemampuan beliau untuk membezakan antara perjuangan BN dan DAP serta sebaliknya memuji DAP kerana mempunyai keberanian untuk meletakkan seorang wanita muda Melayu di kerusi yang biasanya ditandingi oleh pemimpin kaum Cina dari BN.

“Sikap negatif seperti ini yang selalu ditunjukkan oleh para pemimpin wanita BN telah menyebabkan kaum wanita terlepas peluang untuk memimpin negara ini,” ujar Dyana dipetik Roketkini.

Berdasarkan pengalaman dalam DAP, Dyana yakin bahawa parti itu lebih mengiktiraf wanita dan meyakini kemampuan mereka untuk memainkan peranan lebih besar dalam pentadbiran negara.

“Jika saya memilih Umno, pastilah saya tidak akan berada di kedudukan sekarang,” tambah beliau yang memilih untuk menyertai DAP pada tahun 2011.

Menurut Dyana, beliau tahu bagaimana untuk membezakan perjuangan BN yang mempertahankan kepentingan golongan yang kaya dan berkuasa, berbanding perjuangan DAP yang mempertahankan hak rakyat biasa tanpa mengira keturunan dan agama.

“Parti telah mencalonkan saya kerana saya benar-benar percaya dengan keadilan, peluang saksama dan urustadbir yang baik,” ujar gaduan bidang undang-undang UiTM berusia 27 tahun itu.

"Saya minta beliau belajar daripada ibu saya yang juga seorang anggota Umno tetapi menyedari bahawa pencalonan saya oleh DAP memberi peluang kepada wanita muda dalam politik, terutama wanita Melayu muda, yang sering terhalang dengan struktur kebapaan dalam Umno.

"Apa yang saya capai sekarang disebabkan oleh keluarga, ibu saya, dan kerja keras... dan keputusan peribadi yang saya buat sepanjang hidup saya," kata Dyana dalam satu kenyataan hari ini.

“Sikap negatif seperti ini yang selalu ditunjukkan oleh para pemimpin wanita BN telah menyebabkan kaum wanita terlepas peluang untuk memimpin negara ini,” ujar Dyana.

Harakahdaily/Roketkini 

Saturday, May 17, 2014

Dyana Sofya calon DAP di Teluk Intan satu keberanian


TELUK INTAN, 17 MEI: Peguam berusia 27 tahun lulusan UiTM, Dyana Sofya Mohd Daud hari ini diumumkan sebagai calon DAP dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat pengumuman itu di pusat gerakan pilihan raya kecil DAP di Bandar Baru Teluk Intan.
  “Saya menentang politik perkauman dan memegang teguh pada prinsip semangat kekitaan,” kata calon DAP PRK Parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud.
Dalam sidang media yang diadakan di pusat operasi pilihanraya PRK Teluk Intan selepas diumumkan sebagai calon hari ini, Dyana menegaskan bahawa rakyat Malaysia mempunyai persamaan yang mendalam berbanding perbezaan-perbezaan dangkal.
“Saya ingin supaya semua rakyat lebih memahami antara satu sama lain. Tembok perkauman mesti dirobohkan, barulah sebuah bangsa Malaysia boleh dilahirkan.
“Sebagai seorang Melayu beragama Islam, saya pastinya menjulang tinggi dua unsur ini. Tambahan pula, kedua-duanya mempunyai kedudukan istimewa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan dipertahankan DAP,” jelasnya,
Tambah graduan undang-undang UiTM itu lagi, sebagai calon generasi muda beliau juga mendukung amalan politik baru.
Beliau mengemukakan teh tarik yang digemari oleh semua kaum di Malaysia sebagai perlambangan bagi unsur-unsur yang menyatukan masyarakat.
“Marilah bersama mencari ramuan teh tarik terbaik untuk kita, orang Malaysia,” ujarnya. -Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Keputusan DAP menukar calonnnya daripada bangsa Cina kepada Melayu dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan ini jelas suatu keberanian yang mengkagumkan.

“Apa pun hujah yang cuba digunakan untuk memperlekehkan keputusan DAP itu, ia bukan saja untuk membuktikan kepelbagaian kaum dalam parti itu, tetapi juga merupakah suatu transformasi yang jauh lebih bererti daripada kata-kata,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Baginya, berbanding BN yang sudah banyak kali mengeluarkan cadangan mahu menukar kebiasaan meletakkan calon daripada parti yang sama berdasarkan keperluan sesuatu kawasan itu, malangnya ia tidak pernah dipraktikkan.

Justeru, menurutnya jika calon MCA meninggal, orang daripada parti yang sama juga akan dikekalkan, begitu juga jika terjadi kepada UMNO, Gerakan atau MIC.

“Malah jika yang meninggal atau meletakkan jawatan itu Melayu, maka Melayu juga gantilah. Jika Cina atau India pula yang pergi, yang mengganti juga kaum yang sama,” tulisnya lagi.

Beliau menambah, laungan dan cadangan untuk melakukan perubahan tidak pernah menjadi kenyataan kerana BN tidak punya keberanian untuk berbuat demikian. Walaupun banyak desakan akar umbi menuntut perubahan itu, BN lebih selesa terkongkong dalam kepompong yang memenjarakan mereka dengan tradisi lama.