Tuesday, October 29, 2013

Bajet 2014: JPM dapat lipat ganda dalam tempuh 5 tahun

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar untuk mengekang defisit negara, namun belanjawan jabatannya sendiri telah melonjak ke paras tertinggi.

Menurut Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2014, anggaran bajet Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun depan berjumlah RM16.45 bilion, dengan perbelanjaan operasi RM5.86 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM10.58 bilion.

Jumlah itu adalah peruntukan tertinggi kepada JPM, dan memecahkan rekod sebelum ini iaitu bajet RM15.62 bilion pada 2011.

Perbelanjaan JPM pada tahun-tahun sebelumnya ialah RM6.91 bilion (2008), RM10.19 bilion ( 2009), RM11.88 bilion (2010), RM15.62 (2011 ), dan RM13.721 bilion (2012).

Peruntukan bajet 2014 bermakna JPM telah, buat kali pertamanya dalam tempoh tiga tahun, mengatasi kementerian pertahanan  dengan bajet 2014 sebanyak RM16.1 bilion.

Bajet bagi kementerian pendidikan bagi 2014 ialah RM54.6 bilion, manakala kementerian kesihatan di tempat kedua dengan RM22.16 bilion.

Antara perkara yang mengambil sebahagian besar bajet JPM adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( RM779 juta), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (RM631 juta) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( RM367 juta).

Ketika membentangkan Bajet 2014 semalam, Najib berkata negara mensasarkan untuk terus mengurangkan defisit daripada 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK ) tahun ini kepada 3.5 peratus tahun depan. MKini
DAP: Henti wujudkan agensi mahal
DAP hari ini menggesa kerajaan mengambil langkah berjimat supaya ia selaras dengan gesaannya kepada rakyat selepas pembentangan Bajet 2014 minggu lalu, serta mengkritik penubuhan agensi baru yang berkos mahal.
Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming (gambar), berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya terlebih dahulu mengurangkan perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diunjur meningkat 13% daripada RM14.6 bilion kepada RM16.5 bilion pada 2014 nanti.
"Najib juga perlu turut sama berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan di jabatannya," kata Ong dalam satu kenyataan hari ini.
Ong berkata, DAP juga mempersoalkan bayaran gaji yang tidak munasabah kepada pengarah eksekutif yang berada di bawah JPM sehingga ada yang mencecah ratusan ribu ringgit.
"Dalam jawapan Parlimen saya pada 1 Oktober, saya diberitahu gaji tahunan, elaun dan bonus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Inovasi Malaysia adalah RM830, 500, gaji bulanannya kira-kira sebanyak RM69, 000. Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula dibayar gaji tahunan sebanyak RM480,000 (RM40, 000 sebulan).
"Semua CEO ini dibayar bulanan lebih tinggi daripada penjawat awam seperti Ketua Setiausaha Negara yang mempunyai gaji bulanan RM23, 577," katanya.
Beliau berkata, dua agensi tersebut hanya sebahagian daripada beberapa agensi lain yang berada di bawah JPM, malah kebanyakan staf kontrak yang bekerja dalam agensi tersebut dibayar gaji yang tidak munasabah.
"Sebahagian punca perbelanjaan kerajaan meningkat dengan ketara sejak empat tahun lalu di bawah JPM dan ketika Menteri Kewangan mengambil alih adalah kerana pengambilan staf kontrak yang dibayar gaji amat tinggi, terutamanya di JPM,” katanya.
Katanya, penubuhan dua agensi baru Yayasan Hijau dan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) merupakan suatu pembaziran kerana kerajaan sudah pun memiliki agensi yang memainkan peranan sama.
"Najib juga perlu berhenti daripada mewujudkan agensi baru yang fungsinya sama dengan agensi sedia ada,” katanya.
Kerajaan pada September lalu  memotong subsidi minyak sebanyak 20 sen bertujuan menjimatkan perbelanjaan bahan api tersebut, kemudiaannya disusuli dengan pemotongan subsidi gula sebanyak 34 sen yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2014 lalu.
Langkah kontroversi itu diambil bertujuan menurunkan defisit fiskal yang dihadapi Malaysia selama 15 tahun berturut-turut.-29 Oktober, 2013. MInsider

Wednesday, October 16, 2013

BBC: Pengharaman kalimah Allah usaha Umno dapatkan sokongan

Keputusan Mahkamah Rayuan menghalang penganut Kristian daripada menggunakan kalimah Allah dilihat sebagai usaha Umno memenangi semula sokongan orang Melayu menurut BBC dalam ruangan komentarnya semalam. Wakilnya, Jennifer Pak yang hadir ketika keputusan dibacakan mahkamah menjelaskan bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana populasi penganut Kristian di Malaysia hanyalah 9%.
 
"Ramai yang percaya isu ini tercetus daripada pertelingkahan di antara Umno dan PAS tetapi isu sama juga yang dimainkan semasa dan selepas pilihanraya."
Sementara itu, sebuah akhbar di Emiriah Arab Bersatu (UAE), The National terkejut dengan keputusan yang dibacakan oleh Mahkamah Rayuan semalam.
 
"Keputusan mahkamah Malaysia bukan sahaja bercanggah dengan amalan beragama tetapi sejarah kalimah itu sendiri. Kalimah Allah itu berasal daripada perkataan 'al-ilah' yang bermaksud tuhan. Kalimah itu telah digunakan di serata dunia dan memasuki alam Melayu dari negara Arab," kata pengarangnya.
 
"Kalimah Allah tidak hanya eksklusif untuk Islam malah Kristian dan Yahudi juga menggunakan kalimah itu merujuk kepada tuhan sebelum kedatangan Islam.
"Al-Quran sendiri dalam Surah Al-Ankabut menjelaskan umat Islam harus menjelaskan kepada kaum (Kristian dan Yahudi) bahawa tuhan adalah satu."
 
Akhbar itu turut mengambil contoh UAE menjadi negara Islam dengan pecahan populasi Kristian dan Hindu tetapi boleh hidup bersama mengamalkan kepercayaan masing-masing tanpa ada diskriminasi.
Akhbar di Timur Tengah juga kerap memainkan isu ini beberapa kali sejak ia mula didebatkan di Malaysia pada awal 2010.
Pada Januari 2010, seorang kolumnis akhbar di sana menyebut, "Malaysia telah bertindak kejam kepada penganut Kristian dengan menggunakan isu kalimah Allah yang menunjukkan mereka sendiri tidak cukup arif tentang Islam.
"Dalam Islam, Allah merujuk kepada kalimah Arab yang merujuk Tuhan Maha Besar dan Pencipta sekalian alam. Allah juga adalah tuhan kepada Nabi Noh, Ibrahim, Musa, Isa, Muhammad dan nabi-nabi yang lain," kata Akash Sagar TMI

Wednesday, October 9, 2013

Husam Musa bimbang Kelantan menyimpang dari ketelusan

KOTA BHARU 8 Okt- Seorang Adun Pas yang juga bekas exco kanan kerajaan Kelantan hari ini membuat kejutan apabila membidas beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.

Datuk Husam Musa (Pas-Salor) yang membahaskan usul Belanjawan 2014 kerajaan Kelantan antara lain membangkitkan isu pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu.

Menyentuh isu pembalakan itu, Husam meminta kerajaan negeri tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutan simpan berkenaan.

Tegasnya ketika Kelantan diteraju Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, satu keputusan sudah dicapai agar semua permohonan baharu di kawasan hutan simpan itu
mesti ditolak.

"Seingat saya, kata Tok Guru (Nik Abdul Aziz), Hutan Ulu Sat dan Cabang Tongkat adalah paru-paru untuk mengeluarkan udara segar dan bersih bagi penduduk
Kelantan. Biarlah ia kekal untuk anak cucu kita," kata Husam yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan.

Husam juga berkata, syarikat berkenaan bakal menerima kawasan tersebut tanpa membuat sebarang tender.

"Ia sangat meragukan sekali. Seingat saya, semasa pentadbiran YAB Tok Guru dahulu, tidak ada kawasan seluas itu diberikan kepada mana-mana individu.

Adakah hanya dengan permohanan ringkas dua muka surat, serta-merta permohonan ini akan ditimbangkan?," katanya.

Mengenai kenaikan tarif air, Husam berkata, jika Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) diurus dengan lebih amanah, kenaikan itu sepatutnya boleh dielak.

Beliau berkata AKSB sebenarnya telah gagal meningkatkan kualiti bekalan air di Kelantan walaupun beberapa loji air utama telah dinaik taraf.

Husam memberi contoh naik taraf Loji Rawatan Air Jeli bertujuan mencapai 10  juta liter (JLH) air sehari dengan kos RM21 juta, namun hanya mencapai 6.6 JLH.
   
"Naik taraf loji rawatan air Bukit Remah, Tanah Merah dengan kos RM16.4 juta bagi meningkatkan pengeluaran kepada 42 JLH tetapi pencapaian 36.6 JLH. 

"Naik taraf loji rawatan air Pintu Geng membabitkan kos RM52 juta dengan sasaran 30 JLH namun dengan kos sebesar itu hanya mengeluarkan 12.5 JLH,"
katanya.

Untuk mengurangkan kebocoran paip, AKSB membelanjakan RM130 juta setakat Julai tahun ini, namun kadar air tanpa hasil masih 52 peratus, bererti gagal
sama sekali, katanya.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila kerajaan negeri yang baharu ini menamatkan kontrak dengan kontraktor dari Korea Selatan untuk membina Lebuh Raya Rakyat yang diasaskan olehnya kira-kira dua tahun lepas.

"Kerajaan baharu tidak boleh dengan mudah memutuskan hubungan dengan kotraktor yang dikira berkebolehan yang telah dipilih lebih awal dan datang dengan cadangan baharu yang pada hemat saya meragukan," katanya.

Husam yang ditemui di luar dewan selepas itu berkata segala tegurannya adalah kerana sayangkan Kelantan dan mahu melihat negeri itu jauh lebih maju.

"Kerajaan baharu ini masih jauh lagi dan apa yang saya sebutkan ini bukanlah salah kepimpinan," katanya. - Bernama