Monday, January 31, 2011

Pengalaman ngeri 2 MP terperangkap di 'pulau' Pogoh

LABIS, 31 Jan: Dua Ahli Parlimen (MP) PAS menceritakan pengalaman ngeri mereka awal pagi tadi sehingga terperangkap dalam satu 'pulau' banjir di Pogoh.

“Kami sekarang berada di Kampung Bukit Limau Manis, Pagoh 3, Segamat. Kami telah memaklumkan kepada pihak berkuasa. Bantuan masih tidak kesampaian. Paras air semakin naik dan hujan masih turun.
(GAMBAR: Dr Hatta bergambar dengan kanak-kanak di 'pulau' Pogoh tempat beliau terperangkap sehingga jam 8.30 malam 31 Januari. Selepas itu, belliau dibawa dengan bot penduduk kampung keluar dari situ dan dalam perjalanan menaiki Hilux. Kereta beliau terpaksa ditinggalkan di pulau 'Pogoh" ini)


Saturday, January 29, 2011

Doa untuk Cikgu Mala calon DUN tenang

Bismillah ir-Rahman ir-Rahim...
Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH yang Esa. Tidak ada sekutu bagiNya. BagiNya kekuasaan dan bagiNya segala puji-pujian. Dia yang menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Berkuasa di atas setiap sesuatu. Selawat dan Salam ke atas Penghulu kami Muhamad saw, keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.

Wahai yang tidak diberatkan dengan permintaan-permintaan orang yang meminta-minta. Wahai Zat yang tidak jemu dengan permintaan orang yang meminta dengan sepenuh hati. Wahai ALLAH, rasakanlah kami kedinginan ampunan-MU, dan kemanisan rahmat-MU.

Ya ALLAH Ya Rabb, kami memohon kepada Mu. Selamatkanlah negara kami Malaysia daripada segala bencana dan malapetaka. Kiranya kami melakukan kesilapan dalam memilih pemimpin kami, maka berilah kekuatan kepada kami untuk berani merobah dan menebus kesilapan kami. Ya ALLAH Ya Rabb, kami memohon kepada Mu. Sekiranya kami dan pemimpin kami yang berselerakkan di negara ini telah lalai menegakkan kemuliaan Agama MU, maka sedarkanlah kami dan mereka, wahai ALLAH.

Sekiranya para pemimpin kami yang berselerakkan di negara ini dengan sengaja mempermudah dan enggan menegakkan kemuliaan Agama MU, maka, kami mohon kepada MU Wahai ALLAH, laknatilah mereka dan jauhkanlah mereka daripada tampok pemerintahan negara kami kerana kezaliman dan kemunafiqkan mereka.

Ya ALLAH Ya Rabb, kiranya hamba MU, Normala binti Aminah telah Engkau takdirkan sebagai pemimpin kami, maka kami mohon pertolongan Engkau wahai ALLAH, permudahkanlah usaha dan perjuangan kami dalam majlis penentuan pemimpin kami di bumi milik Engkau ini. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, kurniakanlah dan iringilah majlis penentuan kami ini dengan rahmat Mu dan akhirilah majlis penentuan ini dengan kemenangan kepada hamba Mu Normala binti Aminah. Ya Rabb, sepertimana kasihnya kami kepada Normala binti Aminah, mohon kami kepada Engkau Ya Allah, limpahilah, kurniakanlah dan cucurilah kasih Engkau kepada hamba Mu Normala binti Aminah kerna sesungguhnya kasih Engkau adalah nikmat yang penuh hikmah.

Ya ALLAH Ya Rabb, kurniakanlah kepada kami daripada rezeki Engkau yang halal. Berkatilah kami pada ahli, harta dan keluarga, jauhkanlah kami daripada kejahatan yang didatangkan pada waktu malam dan siang. Dan cukuplah kepada ALLAH sebaik-baik tempat bagi kami memohon, berlindung dan berserah.

Selawat dan salaam ke atas Penghulu kami Muhamad saw, keluarga dan sahabat-sahabat Baginda. Dan segala puji bagi ALLAH.

Amin, amin Ya Rabb alalami.

Monday, January 24, 2011

Chua Soi Lek hina Islam perlu minta maaf - Harussani

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam — calon PAS-Pakatan kerusi DUN Tenang, sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Justeru, Harussani menggesa Dr Chua yang juga Presiden MCA supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.

Kempen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang dilihat memberikan tumpuan kepada cara bersalam calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki.

Kontroversi itu terlebih dahulu ditimbulkan Dr Chua dan ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong tindakan Dr Chua yang membangkitkan agenda PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam jika Pakatan Rakyat berkuasa adalah baik bagi “mengingatkan” masyarakat Cina di DUN Tenang.

“Beliau (Dr Chua) perlu tahu, kalau tahu beliau kena hormati pendirian agama masing-masing, kalau tidak tahu itu adalah kejahilan.

“Kalau tahu tapi buat-buat tidak tahu itu menghina Islam namanya... saya bukan sebut ini untuk pertahankan calon PAS tapi ini melibatkan ajaran agama.

“Jadi beliau perlu minta maaf kerana menghina orang Islam,” kata Harussani ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Normala, seorang bekas guru juga merupakan Exco Dewan Muslimat PAS pusat.

Menurut Harussani, sebagai seorang wanita yang beragama Islam sudah menjadi kewajiban beliau untuk menjaga adab termasuk dari aspek bersalam.

“Barangkali beliau (Dr Chua) tidak tahu, beliau tak tahu apa itu hukum Islam.

“Kalau lelaki dan wanita itu bukan muhrim maka mereka tidak boleh bersalam, itu haram namanya.

“(Dr) Chua kena tahu itu adalah hukum agama, bagi orang Islam yang beriman tindakan itu adalah betul kerana agama jelaskan katakan ia haram,” katanya.

Dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider semalam, Normala menyifatkan Umno telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.

Beliau juga meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Menurut Normala, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA sepatutnya sudah memahami tertib seorang wanita Islam.

Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari kedua hari ini. Pengundian akan diadakan pada 30 Januari.

Dalam pada itu, Harussani turut menyifatkan tindakan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengeluarkan “fatwa” baru sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

“Beliau (Nizar) tidak boleh gunakan ajaran agama sewenang-wenangnya, kalau tiada dalam tuntutan (agama) tidak boleh kata haram.

“Kalau nak keluarkan (fatwa) mesti ada nas-nas, jangan main cakap sahaja.

“Kalau tiba-tiba kata haram ia melebihi Tuhan, melebihi Tuhan adalah syirik,” katanya.

Beliau juga menggesa mana-mana parti politik supaya tidak menggunakan agama dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang.

“Jadi jangan gunakan agama sewenang-wenangnya, jangan kerana politik agama dipolitikkan.
Saya tidak sebelah mana-mana, apa yang saya cakap berdasarkan agama Islam,” katanya

Friday, January 7, 2011

Kronologi kontroversi pelantikan SUK Selangor

Pejabat Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa, sehingga majlis persaraan Datuk Ramli Mahmud pada 16 Disember lalu, bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri itu, Datuk Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan penggantinya.

Pejabat TS Khalid juga mendawa pada hari yang sama, dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sebelah pagi pada hari yang sama, Ramli turut 'membisu' mengenai perkara itu.

Kenyataan balas itu dikeluarkan lewat petang ini, dipercayai sebagai respons terhadap kenyataan Ramli dalam Malaysiakini awal petang ini yang menafikan beliau menyerahkan cadangan 'penggantinya' kepada Sultan Selangor tanpa memaklumkan kepada Khalid.

Berikut kronologi pelantikan kontroversi SUK Selangor seperti dilaporkan  Pejabat Menteri Besar Selangor yang dirakamkan Malaysiakini:

26 Oktober 2010
PSM memberi Nota Amalan kepada Dato' Menteri Besar tentang prosedur pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Nota ini menyatakan bahawa:
i) Suruhunjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yang difikirkan layak (Gred 54 ke atas) kepada Menteri Besar.
ii) Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang
sesuai dan menyerahkan senarai pendek kepada DYMM Sultan Selangor
iii) Setelah Tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan MB akan menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan.

26 Oktober 2010
Pusat Sumber Manusia memberi nota amalan kepada Pejabat Dato' Menteri Besar tentang prosedur pelantikan Setiausaha Kerajaan yang baharu dan menyenaraikan 8 nama yang dicalonkan untuk pelantikan.

8 November 2010
Pejabat Menteri Besar menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan untuk memilih calon yang paling layak daripada 8 nama pegawai yang telah dicadangkan.

22 November 2010.
Jawatankuasa memulakan proses menemubual semua calon .
1 Disember 2010
Mesyuarat EXCO bersidang. Dato' Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan yang akan menggantikan beliau.


2 Disember 2010
Mesyuarat MTES bersidang Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.
..
3 Disember 2010
Jawatankuasa telah memaklumkan kepada pejabat Dato' Menteri Besar bahawa 3 nama telah dipilih untuk dilantik serta memberitahu bahawa 2 calon tidak mahu mengambil bahagian

8 Disember 2010
Mesyuarat EXCO bersidang. Dato' Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

9 Disember 2010Mesyuarat MTES bersidang Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

15 Disember 2010Mesyuarat EXCO bersidang. Dato' Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan menggantikan beliau.

16 Disember 2010
2pm: Mesyuarat MTES bersidang Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan menganti beliau.
9pm: Majlis Persaraan untuk Dato' Ramli Mahmud dan dihadiri oleh Dato' Menteri Besar serta Setiausaha Politik. Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau

17 Disember 2010Dato' Menteri Besar menulis surat kepada Istana untuk memaklumkan DYMM Sultan Selangor tentang prosedur pemilihan yang dijalankan Kerajaan Negeri dan tiga calon akhir telah dipilih dan Dato' Menteri Besar terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan DYMM Sultan untuk pandangan dan nasihat. Ini selepas pemeriksaan teliti terhadap tiga calon ini.

20 Disember 2010Dato' Menteri Besar menulis surat kepada Pusat Sumber Manusia untuk memaklumkan Menteri Besar telah menghantar tiga nama calon kepada DYMM Sultan Selangor dan belum menerima maklum balas. Surat berkenaan juga memberitahu Dato' Menteri Besar akan bercuti sehingga 30 Disember dan sebarang pengumuman mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dirujuk kepada Menteri Besar.

21 Disember 2010
Istana menerusi Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato' Muhamad Munir Bani menulis surat kepada Setiausaha Sulit kepada Dato' Menteri Besar, Haji Mustapha. Bersama surat itu dilampirkan surat bertarikh 10 Disember 2010 yang dialamatkan kepada Dato' Ramli Mahmud sebagai balasan surat yang dihantar Dato' Ramli bertarikh 3 Disember. Surat 3 Disember itu memaklumkan kepada DYMM Sultan Selangor tiga calon yang layak. Manakala surat 10 Disember memaklumkan kepada Dato' Ramli bahawa DYMM Sultan Selangor telah berkenan dengan pelantikan Dato' Muhamad Khusrin Munawi. Surat itu juga menyatakan Dato' Ramli boleh membuat pengumuman pada 16 Disember 2010.

24 Disember 2010Pejabat Menteri Besar menjawab surat bertarikh 21 Disember dari Dato' Mohamad Munir bahawa Dato' Menteri Besar tidak pernah diberitahu keputusan yang telah dibuat bertarikh 10 Disember 2010 itu. Sehubungan itu, Pejabat Menteri Besar memohon perkenan untuk mengadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

27 Disember 2010Dato' Menteri Besar menerusi surat memohon untuk menghadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

3 Januari 2011Dato' Menteri Besar menghadap DYMM Sultan Selangor. Dato' Menteri Besar juga menulis kepada SPA menyatakan Kerajaan Negeri menolak pelantikan Dato' Mohamad Khusrin dan tidak mengadakan majlis angkat sumpah menyimpan rahsia sehingga perkara ini selesai.

4 Januari 2011Pejabat Dato' Menteri Besar menulis surat kepada DYMM Sultan memohon supaya majlis angkat sumpah ditangguhkan sehingga Kerajaan Negeri dan SPA menyelesaikan perkara ini.

6 Januari 2011Dato' Menteri Besar dan barisan Exco hadir ke majlis angkat sumpah di Istana Bukit Kayangan sebagai taat setia dan kasih kepada DYMM Sultan dan DYTM Raja Muda tetapi tetap tidak menerima pelantikan Dato' Mohamad Khusrin./

Thursday, January 6, 2011

Selangor diasak - Dr Halimah minta solat hajat

SHAH ALAM, 6 Jan: Semua ahli PAS dirayu supaya mengadakan solat hajat serta doa qunut nazilah untuk mempertahankan kerajaan negeri Selangor yang sedang diserang sekarang. Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali dalam mesejnya yang penuh imosi memohon bantuan semua pihak bagi menghadapi serangan ini.

"Kami dah cuba mempertahankan kerajaan ini selama ini. Kami perlukan bantuan anda semua. Maaf kami tak larat untuk melakukan semua perkara," tulis Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang dalam mesejnya kepada Harakahdaily.

Halimah (gambar) juga memaklumkan, Menteri Besar dan semua Exco kerajaan negeri terpaksa menyertai majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru yang disekalikan dengan majlis penganugerahan darjah kebesaran di istana negeri hari ini.

"Umno mahu menggunakan tektik sembah derhaka untuk ambil alih kerajaan Selangor seperti modus operandi Perak kalau kami tidak pergi," kata Halimah yang merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor.

Tidak bermakna kami rela

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataan medianya sebelum ini memaklumkan, pemergian mereka ke istana hari tidak bermakna mengiktiraf perlantikan Khusrin.

"Kami ingin menegaskan kehadiran kami ini tidak bermakna kami rela dengan tindakan arbitrasi SPA terhadap pentadbiran ini. Kami tetap dengan pendirian bahawa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri belum muktamad dan perlu penyelesaian bijaksana," kata Khalid dalam kenyataannya.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri, kata Khalid adalah "sebagai bukti dan tanda kasih serta taat setia kami kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor."

Kerajaan Negeri Selangor, katanya, telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ( SPA ) dan menyatakan rasa terkilan Negeri Selangor di dalam isu pelantikan SUK.

"Kita nyatakan dengan tegas bahawa tindakan mereka telah membelakangkan semangat Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya.

Kerajaan Negeri juga memohon agar proses perbincangan dapat dilakukan dan akhirnya penyelesaian terbaik boleh dicapai.

Pentadbiran Negeri Selangor juga telah memaklumkan kepada DYMM Sultan Selangor beberapa perkembangan hasil dari pertemuan pada 3 Januari, termasuk cadangan memulakan proses penyelesaian dengan SPA.

Pentadbiran Kerajaan Negeri kesal apabila berlaku manipulasi pihak tertentu dan berkepentingan dalam soal ini.

Media pula menggambarkan seolah-olah berlaku krisis di antara Istana dan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat, katanya.

"Kita juga telah memberi maklum kepada DYMM Sultan bahawa Pentadbiran Kerajaan Negeri akan mengadakan Sidang Dewan Negeri Selangor dalam tempoh terdekat untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar khusus dalam melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri.

"Tindakan ini sekali gus menolak dakwaan pihak-pihak yang menuduh kami menderhaka dengan Sultan dan Kerajaan negeri Selangor sebaliknya kamilah yang akan mengembali dan mempertahan kuasa Sultan dan Negeri yang terhakis sejak 1993 kesan dari krisis Perlembagaan," katanya.

Sunday, January 2, 2011

Aktivis PAS Sungai Rokam, Ipoh meninggal dunia

IPOH 2 Jan 2011  Ahmad Maliki bin Hussein 42 seorang pemuda yang aktif dalam masyarakat sekitar kampung Sungai Rokam, Ipoh telah meninggal dunia jam 8.00 malam Sabtu 1 Jan 2011 selepas mengadu sakit dada selepas kembali dari bermain kompang di satu majlis kawin di Ipoh. Malik yang bekerja sendiri masih bujang seorang yang rajin menolong dan tidak keberatan menyumbang tenaga kerja untuk aktiviti PAS Sungai Rokam terutama ketika di era Pakatan Rakyat.

Pagi ini jam 11.00 pagi jenazah Allahyarham Malik telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Rapat Jaya, Ipoh. Turut hadir dan mengimamkan solat jenazah ialah saudara terdekatnya Tuan Haji Asmuni Alwi, Pengarah Pilihanraya PAS Negeri Perak. Lebih dari 1000 orang kaum kerabat terutama dari suku Bowean, sahabat dan penduduk kampung mengiring jenazah hingga ke tanah perkuburan. Semoga roh Allahyarham Malik dicucur rahmat dan ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman... Al-fatihah.