Thursday, November 27, 2008

Menjaga ‘Pokok yang baru Tumbuh’ di Negeri Perak

Memang mudah, setakad ada alamat email dan boleh menulis, kita layak mempunyai satu laman (webpage) dan penyampai maklumat dalam jaringan teknologi komunikasi (IT). Tanpa dikenakan bayaran dan mudah, siapapun tanpa mengira usia dan latar-belakang anda sudah layak mendapat ruang tapak di alam siber. Kemudian untuk menjadi Penyampai Maklumat berwibawa dan dikenali ramai perlu ada tahap pencapaiannya.

Untuk pencapai status terbaik penyampai maklumat, anda mesti ada rangkaian akses yang tinggi dari pengunjung dan ada maklum balasnya. Ia diibarat perniagaan, anda mencuba perbagai cara untuk melariskan jualan. Caranya tidak sahaja mengindahkan dengan perbagai aksessori, corak-rupa malah bahan diniagakan sentiasa segar, memuaskan dan memenuhi selera pengunjung yang perbagai.

Produksi perlu ada identiti tersendiri untuk popular bukan dengan cara muat turun sahaja melainkan ada nilai menguatkan hujah anda. Ibarat Artis menjadi pujaan kerana ada gaya tersendirinya bukan diceduk hasil dari hasil orang lain. Ini etika yang perlu dipatuhi untuk kreabiliti penulis.

Maka untuk melaris atau penyampai maklumat yang berwibawa, perlu dipastikan bahan bacaan sentiasa dikemaskini, tepat, lengkap dengan fakta dan hujah. Untuk menyiapkan tajuk tertentu, penulis kadang-kala terpaksa bersusah payah mencari bahan, menghabiskan masa, mengabaikan sedikit kelapangan. Hasil belum tentu dapat pujian, silap-silap jadi sasaran kecaman.

Inilah penulis bebas atau blogger bukan berorientasikan keuntungan berbeza dengan penulis berita di akhbar. Usaha blogger diibarat penjaga pokok yang baru tumbuh. Dia perlu memastikan pokok ini, membesar dengan baik, subur dan terhindar dari anasir perosak yang boleh merencat pertumbuhannya. Kesungguhannya kerana yakin pokok terbaik ini, bila besar nanti akan mengeluarkan buah yang digemari dan redupannya bakal melindungi orang daripada panas terik dan hujan kepada orang ramai.

Khidmat baktinya adalah untuk kepuasan dan curahan usahanya, satu masa mungkin terpandang jua.

Lamanweb saya, ‘bumiperak’ mungkin tak sepopular, tak sehabat mana berbanding blogger lain. Namun usaha saya selama nampaknya mendapat perhatian Kerajaan Negeri Perak yang saya umpamakan ‘pokok baru tumbuh’. Pada 26 Nov 2008 Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Nizar sudi bertemu para-para blogger di Negeri Perak termasuklah saya. Ini merupakan satu kenangan bersejarah buat saya.

Menteri Besar mengakui peranan dan sumbangan kami sebagai penyampai maklumat Kerajaan Negeri Perak memandangkan ruang penyampaian maklumat di akhbar-akhbar harian, radio dan TV telah dinafikan penyiaran, malahan berita-berita yang negatif dan laporan diputar-belitkan faktanya mendapat liputan. Jesteru, Kerajaan Negeri melihat sumbangan para-para blogger sebagai penyambung maklumat dan menangkis tohmahan yang berat sebelah.

Bergambar bersama Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar, Pengarah IT Kerajaan Negeri, YB Idham Lim bersama blogger antaranya; perakdaily, alhusseyn, bumiperak, telokbakong, ajijoi, anaksengat, pastambun, budakipohtimur, wartasgrapat dan lain-lain.

Perak tubuh sekreteriat blogger
IPOH 26 Nov 2008:
Dengan alasan tidak mendapat liputan adil media arus perdana, kerajaan Perak menubuhkan Sekretariat Blogger bagi menyebarkan maklumat dan dasar kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata hasil pertemuan beliau dengan Persatuan Blogger Perak semalam, kesemua 26 penulis blog yang hadir berjanji menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan negeri menyebarkan maklumat menerusi tulisan mereka.

“Segala maklumat dan berita akan disebarkan secara meluas sehingga ke seluruh dunia menerusi penulis-penulis blog ini,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat negeri Perak di sini malam tadi.Mohammad Nizar berkata sekretariat itu, yang diketuai oleh setiausaha akhbar beliau, Anuar Hashim, dapat menepis tomahan, kritikan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan negeri menerusi media arus perdana. - HarianMetro/Bernama.

Wednesday, November 26, 2008

Penyerahan Siap Kerja Masjid Kg Temelong, Lenggong

25 Nov 2008, LENGGONG, Majlis penyerahan Siap Kerja Projek Masjid Kampung Temelong, Mukim Lenggong Daerah Hulu Perak telah selamat disempurnakan. Masjid Temelong dibina bagi menggantikan Masjid lama yang uzur di atas sebidang tanah yang dibeli dan dipecahkan sebagai wakaf penduduk tempatan. Mengikut makluman, kos binaannya mencecah RM700,000 hasil dari kutipan derma, peruntukkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan

Namun kos tersebut hanya menampung fizikal bangunannya sahaja dan masih kekurangan anggaran RM100,000 untuk menyiapkan jalan masuk, dataran dan pagar. Sumbangan untuk penampung kos tersebut akan diusahakan oleh pengerusi masjid dan pemimpin setempat.

Majlis Penyerahan dokumen siap-kerja dan kunci Masjid Kampung Temelong telah disempurnakan diantara wakil Jurutera Daerah JKR Hulu Perak sebagai agensi Pelaksana kepada Dato’ Zainal Abidin Omar, Pengarah Jabatan Pembangunan persekutuan selaku pelanggan. Seterusnya penyerahan kunci Masjid kepada Pengerusi Masjid sambil disaksikan oleh ADUN Kota Tampan, YB Dato’ Saarani Mohamad, Pegawai JKR dan kontraktor. Turut hadir pada majlis itu Penghulu Lengong, Ketua Kampung, Muhammad Safuan Nawawi, Pengerusi JKKK (Persekutuan) dan penduduk kampung.
YB Dato Saarani dalam ucapannya bersyukur projek yang yang dimulakan Nov. 2007 telah disiapkan mengikut jadual. Perbelanjaan membina dataran, jalan masuk dan pagar akan dapat disiapkan atas usaha Kerajaan, Jabatan Pembangunan Negeri dan dermawan. Beliau berharap Masjid ini dapat berfungsi dengan sebaiknya dengan mengimarahkan dan jadikan tempat perpaduan seluruh penduduk kampung.

Wakil Jurutera Daerah Hulu Perak menyerahkan dokumen siap-kerja kepada Dato Zainal Abidin, Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri disaksikan YB Dato' Saarani ADUN Kota Tampan dan Pengerusi Masjid Kampung Temelong, Lenggong.

Monday, November 24, 2008

Kerajaan Perak martabatkan Media Alternatif tangkis tohmahan

Ipoh 22 Nov 2008, Program Cambah Fikiran Isu-isu Semasa anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Perak telah diadakan di Dewan Serbaguna, Bangunan Darul Ridzuan, Ipoh telah berlangsung sehari suntuk bermula 9.30 pagi dan berakhir 5.30 petang dengan penyertaan kira-kira 300 orang peserta mewakili peminpin masyarakat peringkat daerah dan mukim, Jawatankuasa Penerangan peringkat Bahagian dan Cawangan parti-parti Pakatan Rakyat juga jemputan para-para blogger seluruh Negeri Perak.
Program bertujuan menyampaikan penerangan isu-isu semasa, maklumat terkini lagi benar untuk dihebahkan kepada segenap lapisan rakyat Negeri Perak. Menyedari ruang penyampaian maklumat di akhbar-akhbar harian, radio dan TV telah dinafikan penyiaran, malahan berita-berita yang negatif dan laporan diputar-belitkan faktanya mendapat liputan. Jesteru, Kerajaan Negeri tiada peluang untuk menangkis tohmahan maka diharapkan peserta-peserta konvensyen ini menjadi penyambung maklumat kepada rakyat Negeri Perak.
Aturcara Program
Program bermula dengan ucapan aluan dari Pengarah Urusetia Penerangan kerajaan Negeri Perak, Ustaz Zulkifly Ibrahim dan Exco Pembangunan Industri, Perdagangan dan Penerangan, YB Tai Sing Ng. Ucaputama berupa ‘Amanat Misi dan Visi Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak’ disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Ir Nizar seterusnya merasmikan konvensyen Penerangan.

Pembentangan Visi I bertajuk ‘Aspirasi dan Harapan Rakyat selepas PRU ke-12 – menterjermahkan Manifesto dan Perlaksanaannya’ disampaikan oleh Presiden Teras Melayu, En Mohd Azmi Abd Hamid. Kemudian disambung dengan Pembentangan Visi II bertajuk ‘Memperkasa dan Meluaskan wilayah Pakatan Rakyat melalui Pendekatan Penyayang’ disampaikan oleh Hj Baharom Abu Bakar, pakar Perunding Latihan dan Kaunseling, UIA Malaysia.

Jam 2.00 petang selepas makan tengahari dan solat zohor, diadakan Sessi Diskusi dan Dialog bertajuk ‘Penjelasan isu-isu Semasa kerajaan Negeri Perak ke arah mengukuhkan keyakinan Rakyat’ dibarisi oleh ahli panel, YB Kasevan (PKR) ADUN Hutan Melintang/Speaker Dewan, YB Dato’ Ngeh Koo Ham (DAP) ADUN Sitiawan, YB Zainuddin Mohd Yusoff (PAS) ADUN Lubuk Merbau.

Program diakhiri dengan pertemuan dan sidang rediasi diantara para-para blogger seluruh Negeri Perak dikoordinasikan oleh YB Zainuddin Mohd Yusoff dan Ust Zulkifly Ibrahim dan berakhir jam 5.30 petang.

Amanat Menteri Besar
Menteri Besar Perak, Dato Seri Ir Nizar memulakan ucapan dengan petikan surah Al Ahzab ayat 72 bermaksud “Sesungguhnya telah kami turunkan amanah (perintah) kepada langit, bumi dan gunung-ganang lalu mereka enggan dan takut menerimanya, kemudian amanah itu dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim lagi sangat jahil.”

Demikian jualah amanah Allah dan harapan Rakyat amat berat untuk dipikul terasa letih, tidak terdaya dengan pelbagai kerenah yang diasak dari segenap sudut. Namun ikhlas dan berkeyakinan perjuangan berada dilandasan yang benar, maka ini memberi semangat tenaga kekuatan untuk terus meminpin hingga kini. Tugas dan kerja dilakukan bukan atas pengelaman dan kelayakan tetapi adalah amanah. Tambahnya, sekiranya Pakatan Rakyat menduga untuk mengambil-alih kepimpinan Kerajaan Negeri pada pilihanraya lalu, sudah tentu akan membarisi calun-calon yang benar-benar berpengelaman dan hebat untuk bertanding.

Tetapi calon-calon yang menang tiada pengelaman langsung dalam mentadbir sebuah kerajaan, ini berbeza dengan Umno dan Barisan Nasional yang selama lebih 50 tahun berpengelaman tentunya memahami selok-belok pentadbiran dan perlaksanaan urusannya. Namun Kerajaan negeri berjaya melepasi cabaran dari hari ke hari dan semakin nampak gagah hingga menggerunkan pembangkang seperti di sidang DUN yang baru lalu, ujar Ir Nizar.

Ir Nizar mendedahkan masih menghadapi sabotaj dari pegawai bawahan bagi menggagalkan urusan pentadbirannya seperti membocorkan maklumat yang disepakati juga permohonan dan arahan yang dilambat-lambatkan agar dilihat Kerajaan Negeri kurang cekap. Serangan dengan masalah peribadi yang disengajakan supaya ada Anggota Dewan bertelagah dan tersisih. Banyak lagi tuduhan yang dilemparkan seperti isu tanah, isu Melayu, isu rasuah dan lain-lain yang boleh melemahkan Kerajaan Negeri jika tidak diurus dengan baik.

Oleh itu Program Penerangan adalah penyambung dan cermin kepada kerajaan Negeri sekarang. Kerjasama dari penyampai maklumat penting agar maklumat betul dan benar ini akan menbuka mata setiap rakyat. Apabila rakyat cerdik, akan melahirkan rakyat yang bersatu-padu. Kerajaan Negeri akan dipandang kuat dan teguh membina suasana keyakinan pelabur asing.

“Wahai orang-orang beriman, jika datang seorang fasik antara kamu membawa satu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan kepada satu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilanmu, sehingga menjadi kamu menyesali apa yang kamu lakukan.”

Sessi Diskusi dan Dialog
Selepas Pembentangan Visi dan Misi oleh dua penceramah tadi (tunggu dulu), pada jam 2.00 petang acara Sessi Diskusi dan Dialog. Apa yang sangat menariknya adalah gabungan 3 orang ahli panel, berlainan bangsa, berlainan ugama dan berlainan parti dalam satu Visi dalam Pakatan Rakyat. Mereka ialah YB Kasevan (PKR) ADUN Hutan Melintang/Speaker Dewan, YB Dato’ Ngeh Koo Ham (DAP) ADUN Sitiawan/Exco, YB Zainuddin Mohd Yusoff (PAS) ADUN Lubuk Merbau/Exco.

Keadaan sebenar peminpin Pakatan Rakyat Negeri Perak inidapat mempelihatkan kesefahaman, permuafakatan, keazaman yang patut menjadi contoh dan teladan. Kerajaan berbelanja jutaan ringgit menjaya intergrasi nasional, perpaduaan kaum patut mencontohi Negeri Perak. Ia kerajaan contoh seluruh dunia, mengundang duta-duta asing membuat kunjungan.

YB Zainuddin, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan berpendapat orang Melayu mundur bukan kerana salah kaum lain terutamanya kaum China. Ini adalah kerana sikap. Orang Melayu jelas berjaya apabila berada di perantauan adalah contoh untuk difikirkan. Tidak setuju dengan konsep bangsa Malaysia tetapi rakyat Malaysia kerana bangsa mencerminkan ketamadunan umat seharusnya dibanggakan.

YB Ngeh Koo Ham, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga, Air dan Hal Ehwal bukan Islam menekankan 5 prinsip kerajaan Negeri Perak menepati kehendak ugama Islam. Beliau sedia mewakili kaum Melayu jika yang tertindas dan perlu pembelaan. Menjelaskan secara terperinci isu tanah yang heboh diperkatakan. Membetulkan minda kaum Cina dari Islam fobia dan anti kemajuan.

YB Kasevan, Speaker Dewan Negeri Perak mengeluarkan kaum oleh kepompong MIC pada pilihanraya Mac lalu majoriti kaum india secara jelas menyokong Pakatan Rakyat. Beliau mengkaji Al-Quran untuk memahami budaya kaum Melayu. Menjelaskan Sekolah Keb Tamil berbeza dengan Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Persendirian Cina.

Sessi soal-jawab dengan peserta dengan sikap keterbukaan dan jelas telah jawab.

Kesimpulan
Demokrasi unik di negeri Perak sentiasa mendapat perhatian dalam dan luar negara. Perpaduan kaum dan pemuafakatan sukar Umno-BN mainkan melainkan berita-berita yang dimanipulasikan. Oleh itu peranan Media Alternatif penting bagi membawa kebenaran mematah hujah yang meracuni fikiran rakyat.

Saturday, November 22, 2008

Ada Sesiapa nak guna Proton Perdana?

Satu Topik yang menarik kos Penyelenggaraaan kereta Exco Kerajaan Negeri Perak pada sidang Dun 13 November 2008 Satu topik yang aku seronok dengar masa Sidang DUN tadi ialah tentang kos penyelanggaraan kereta-kereta EXCO semasa era BN dari tahun 2004 hingga Mac 2008.
Setiausaha Kerajaan negeri AFD 11 RM72, 777.12
Penasihat Undang-undang AFD 22 RM45,517.40
Pegawai Kewangan Negeri AFD 33 RM83,045.50Speaker AFD 999 RM63,324.16
Dato Yik Phooi Hong AFQ 183 RM6,587.47
Dato Ho Chang Weng AFD 66 RM105, 783.99
Dato Ramly Zahary AFD 858 RM48,461.71
Dato G. Rajoo AFD 77 RM86, 925.14
Dato Chang Ko Youn AFD 55 RM86, 005.94
Dato Radzi Manan AFD 88 RM64,655.26
Dato Tan Chin Meng AFD 333 RM102,884.63
Dato Mohd. Saarani AFF 99 RM66, 921.04
Dato Mohd. Zaim AFD 99 RM103,896.03
Kapt. Najmudin AFB 64 RM27,658.60
Dato Siti Salmah AFF 33 RM89,259.40
Dato Zamry AFF 88 RM25,808.89
Jumlah: RM1,079,512.07
Bekas Menteri Besar, Dato Tajol Rosli Mercedes Benz ML 320 AEH 9 RM90,733.07. Tu tak termasuk sebuah lagi kereta Proton Perdana.
Jumlah penyelanggaraan kereta Bekas Menteri Besar sahaja berjumlah RM222,343.26.
Jumlah keseluruhan…RM1,301,855.33

Sumber: http://perakexpress.com/?p=2525


Perak Setuju Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan

Sedutan Berita dari Gerakan Mansuhkan Isa (GMI) semasa di Sidang Dewan Undangan Negeri Perak Semalam, saya dan pengerusi GMI telah menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Perak bertempat di Bangunan Setiausaha Kerajaan.YB Saari Sungib dan isteri beliau, Pn Aliza yang turut serta datang dari Kuala Lumpur,turut hadir mewakili Kerajaan Negeri Selangor yang telah terlebih dulu mengeluarkan usul mansuhkan ISA, pada bulan April tahun ini.

Hati saya amat tersentuh dengan kesungguhan YB Chang Lih Kang, ADUN Teja yang begitu cermat mempersembahkan hujjah beliau tentang sejarah dan kezaliman ISA yang terus menerus digunakan oleh pemimpin UMNO-BN untuk kepentingan peribadi masing-masing.Usul beliau beberapa kali di persoal dan dipersendakan oleh para wakil rakyat BN yang ternyata sangat-sangat mempertahankan akta jahat itu.

“Secara prinsipnya, sesiapa pun samada dari BN atau dari Pembangkang tidak sepatutnya ditahan dibawah akta itu.Sejarah telah membuktikan, Pemimpin tertinggi UMNI-BN menggunakan ISA untuk kepentingan masing-masing.Contohnya peristiwa Operasi Lalang dan peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar pada 1998″ jelas YB Lih Kang.
“ISA telah digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk menahan rakyat biasa dari penjual ais kerim, ahli perniagaan, pelajar, wartawan , blogger hinggalah kepada Ahli Parlimen. Terlalu banyak kezaliman yang telah dilakukan oleh SB keatas tahanan ISA dan keluarga mereka, justeru itu ISA mesti di mansuhkan dengan segera” itu adalah sebahagian dari hujjah yang telah disampaikan selama hampir 15 minit, dengan gangguan-gangguan oleh wakil rakyat BN.
Sebelum itu, isu pemberian sumbangan dari Kerajaan Negeri Perak pada keluarga tahanan ISA di negeri itu, telah diberi tentangan hebat oleh wakil Rakyat BN.Begitu buruk akhlak wakil rakyat tersebut ,menuduh tahananan ISA dengan kata-kata yang buruk seperti pengkhianat negara, pembawa masaalah kepada keselamatan negara dan sebagainya.
“Jika kita buang ISA sekarang, kita tiada peluang untuk buat akta seperti ini lagi ” demikianlah Ketua Pembangkang, YB Tajol Rosli sendiri beria-ia sangat mempertahankan akta yang haram dari sudut Islam dan juga ditentang oleh agama lain.Namun, YB Tajol tidak menafikan ISA sepatutnya di review semula.

baca seterusnya disini.. http://lailagmi.blogspot.com/2008/11/dewan-undangan-negeri-perak-lulus-usul.html





Tuesday, November 18, 2008

Bajet 2009 Pulau Pinang - Satu Perbandingan

* Sungguhpun Pulau Pinang lebih maju dari Negeri Perak, namun jumlah perbelanjaan tahunan (RM737 juta) Negeri Perak lebih besar dan pendapatannya juga besar. Nampaknya pengurusan Negeri Perak dan Selangor lebih rumit berbanding Negeri-negeri lain dibawah Kerajaan Pakatan Rakyat.

GEORGETOWN 14 Nov 2008: Bajet 2009, belanjawan pertama kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang dibentang di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), jumaat, menyaksikan defisit sebanyak RM39.4 juta. Dengan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM477.23 juta berbanding RM441.09 juta bagi bajet tahun ini, defisit Bajet 2009 lebih besar berbanding tahun ini, iaitu sebanyak RM3.7 juta.
,
Membentangkan bajet bertemakan 'Bajet CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) , Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata defisit yang lebih besar disebabkan pelaksanaan projek kebajikan kepada rakyat. Katanya, sebanyak RM17 juta akan digunakan untuk bayaran penggunaan air bernilai RM100 setiap keluarga bagi hampir 170,000 keluarga dan RM8.5 juta lagi sebagai bantuan kepada sekolah. Kedua-dua program itu membabitkan peruntukan sebanyak RM25.5 juta. "Jika program itu tidak dilaksanakan, defisit Bajet 2009 ialah RM13.9 juta, bukannya RM39.4 juta. Jumlah RM13.9 juta jauh lebih baik kerana hampir satu pertiga daripada defisit Bajet 2008 yang berjumlah RM35.7 juta.

"Langkah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah serta memberikan keadilan sosial dan ekonomi kepada rakyat dalam menangani kesan kenaikan harga barangan dan kos kehidupan," katanya. Guan Eng berkata, Bajet 2009 memberikan tumpuan kepada tiga teras utama iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjamin keadilan sosio ekonomi.

"Tumpuan itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa yang menjadi pilihan pelabur, pelancong dan orang ramai," katanya. Dari segi merancakkan pertumbuhan ekonomi, Pulau Pinang yang mencatatkan pelaburan sebanyak RM6.1 bilion sehingga Ogos lalu, merangka 10 langkah bagi menjana ekonomi sebagai persiapan menghadapi kemelesetan ekonomi.

Ia termasuk menubuhkan pasukan petugas khas sebagai pemudahcara perniagaan bagi pelaburan bernilai tinggi, melaksanakan konsep mesra pelabur iaitu 'bina dulu, lulus kemudian', menubuhkan panel penasihat industri dan perkhidmatan. Mempromosi Pulau Pinang sebagai lokasi utama pilihan pelabur dengan membangunkan kawasan industri baru di Batu Kawan, menggalakkan pembangunan Hab Industri Halal dan industri kecil sederhana, memulihkan 40 hektar tanah terbiar dengan kegiatan pertanian dan menggalakkan pelaburan semula.

"Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang juga sedang mengkaji langkah untuk mengurangkan harga tanah industri sebanyak 10 peratus," katanya. Guan Eng berkata, dari segi mewujudkan peluang pekerjaan, kerajaan negeri menubuhkan Tabung Pembangunan Latihan Semula Industri untuk membantu pekerja yang hilang pekerjaan dengan memberi latihan semula. Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri memohon peruntukan sebanyak RM500 juta daripada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan program berkenaan.

"Kerajaan negeri juga bercadang menyediakan RM10 juta untuk tabung ini bagi melaksanakan program kemahiran terutamanya mereka yang hilang pekerjaan ketika krisis ekonomi," katanya. Dari segi teras menjamin keadilan sosio ekonomi, Ketua Menteri berkata, hampir 170,000 keluarga berpendapatan rendah akan menerima rebat bekalan air sebanyak RM100. Katanya, pemberian rebat itu akan dilaksanakan dengan empat pembayaran bermula hari ini dengan RM25 bagi setiap bayaran.

"Kerajaan sedar wang ehsan RM100 tidak mencukupi tetapi ia satu petanda bahawa kerajaan tidak melupakan rakyat yang menghadapi kesusahan ketika krisis kewangan global," katanya.

petikan: Berita online

Tuesday, November 11, 2008

Bajet 2009 Negeri Perak -Bina Insan dan Berkebajikan

10 November 2008 11.47 pagi, Menteri Besar Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin membentangkan bajet 2009 negeri Perak yang memaparkan kesungguhan dan komitmen kerajaan negeri ke arah kesejahteraan rakyat. Ia bertemakan usaha untuk menzahirkan negeri berkebajikan ini berhasrat membawa rakyat dan negeri Perak ke satu tahap sosio ekonomi dan pembangunan insaniah yang seimbang.”

"Saya telah buat pertama kalinya membentangkan Bajet 2009 untuk kerajaan Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri Perak DR. Bajet 2009 yg bertemakan "Usaha Menzahirkan Negeri Berkebajikan" itu telah mengambil masa satu setengah jam untuk dibentangkan.

"Saya telah mulakan bajet tersebut dengan petikan ayat al-Quran surah at-Thalaq ayat 2-3. Selepas muqadimah saya telah menyelitkan ayat dari surah Al-Insaan ayat 1-3 sebagai mengenangkan asal kejadian manusia. Ayat surah An-Nahl ayat 90 juga disebut bagi mengukuhkan hujah untuk satu kerajaan yang adil, saksama dan berkebajikan. Petikan surah Al-Hashr ayat 7 juga memberi penekanan agar kekayaan negeri tidak berkisar di sekitar segelintir orang kaya sahaja.

Bajet ini adalah pelengkap pada usaha kerajaan negeri Pakatan Rakyat kearah memenuhi janji dan manifesto pilihanraya ke 12 lepas, katanya semasa membentangkan bajet pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak.

Sambil berkata walaupun bajet negeri masih mengalami defisit bagi tahun kelima berturut-turut, defisitnya berkurangan hampir RM 15 juta daripada tahun sebelumnya.
Bajet 2009 mengalami defisit RM25 juta, berasaskan anggaran pendapatan berjumlah RM712 juta, sedangkan perbelanjaan berjumlah RM737 juta. Mengikut fakta, Perak mengalami desifit selama empat tahun berturut-turut sebelum ini bermula 2005 (RM16 juta), 2006 (RM34 juta), 2007 (RM35 juta) dan 2008 (RM40 juta).

Nizar berkata kerajaan negeri yakin akan dapat mengatasi dan memperbaiki prestasi dari tahun ke tahun untuk mengurangkan defisit itu dan menjangka akan mencapai tahap bajet seimbang pada 2010.

Bajet 2009 menggariskan 4 perkara berikut:
Anggaran hasil dan terimaan pembangunan berjumlah RM711.84juta
Anggaran perbelanjaan mengurus dibawah maksud tanggungan dan bekalan berjumlah RM561.00 juta
Anggaran Perbelanjaan Pembangunan berjumlah RM175.84juta
Defisit berjumlah RM25.00juta
Diantara lain bajet ini memberi banyak peluang dan kemudahan pada rakyat negeri Perak dalam sosio keagamaan, pendidikan, keselamatan dan juga kemudahan.

Berikut adalah antara yang dicadangkan untuk perlaksanaan:
  • Sekolah agama rakyat dibela dgn bantuan perkapita RM70.00 setahun bagi pelajar sekolah menengah dan RM60.00 setahun bagi pelajar sekolah rendah. Yuran asrama RM440.00 setahun bagi setiap pelajar berasrama.
  • Penyelia dan guru KAFA naik elaun RM75.00 sebulan
    Sekolah SUWA Cina dan Sek Agama Rakyat masing-masing dianugerahkan pajakan 1000hektar untuk diusahakan.
  • Setiap warga mas yang meninggal dunia 65 tahun ke atas dapat imbuhan RM1000.00 untuk bantuan pengkebumian.
  • Setiap pelajar Perak yang dapat masuk ke IPTA peringkat ijazah pertama dapat RM1000.00 bantuan derma. Diperuntukan RM6.00juta
  • Setiap keluarga yang berpendapatan kurang dari RM700.00 dapat air percuma bagi 20 meter padu pertama . Ini melibatkan sejumlah hampir 20,000 penduduak atau keluarga.
  • Pemberian hak milik tanah secara pegangan bebas kepada 140,000 penghuni Kpg. Adat Tradisional & Kpg.Baru. Kerajaan dapat jana RM300.00juta.
  • Konsesi balak ditender secara terbuka sebahagiannya.
  • Peruntukan setiap DUN yang PR kalah akan disediakan peruntukan RM75,000.00 bagi setahun bagi menangani projek kecil.

Teks penuh format pdf lihat: http://www.perak.gov.my/images/pdf/teks%20ucapan%20bajet%202009.pdf

Friday, November 7, 2008

KEMELUT ATAU KEMUNCUP Kerajaan Negeri Perak

KUALA KANGSAR, Rabu 5 Nov 2008 Kira-kira 2000 orang berkumpul di satu Perhimpunan dan Penyerahan Memorandum kepada KeBawah Duli Tuanku Sultan Azlan Shah beberapa pertubuhan Melayu yang diketuai Gerakan Melayu Perak(GMP) di pimpin Datuk Seri Dr Mohd Hilmi Ismail. Bersama peminpin Pertubuhan lain, Persatuan Darul Ridzuan Wilayah, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar; Ahli Parlimen, Datuk Ibrahim Ali, Datuk Jins Shamsuddin, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, Tun Haniff Omar, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin.

Perarakan dari Masjid Ubudiah ke Dewan Santapan, Istana Iskandariah yang hampir semua berpakaian baju melayu dan membawa sepanduk tertulis perkataan seperti ‘Melayu leka hilang kuasa', ‘Melayu bukan bangsa pendatang,’ dan ‘Jangan pertikai Artikel 153-Islam Agama Rasmi’ .

Mesej perhimpunan ini ujar Dr Mohd Hilmi, bagi menyokong ketetapan dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 di Terengganu bulan lalu, mengajak orang Melayu pertahankan institusi beraja, kontrak sosial dan kedudukan Melayu, agama Islam dan perkara 153 Perlembagaan.

Tuduhan oleh ‘pihak tertentu’ mencabar ketuanan Melayu untuk kepentingan politik masing-masing dan bukannya demi kepentingan rakyat dan negara. “Rakyat semakin muak kerana isu politik terlalu banyak hari ini”, tambahnya. Jesteru, GMP sebagai badan bukan politik mengajak semua orang Melayu Islam tanpa mengira Umno, Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau mana-mana ideologi, supaya bersama-sama mempertahankan perlembagaan negara.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah perkenan menerima mengadap yang berkumpul di Dewan Santapan, Istana Iskandariah. Presiden GMP, Dr Mohd Hilmi mengetuai bacaan ikrar taat setia kepada Sultan Perak, penyerahan memorandum dan diakhiri dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ dan’Hidup Melayu’.

Titah baginda, semua pihak menghentikan politik keterlaluan dan berfikiran secara rasional dengan mengutamakan kepentingan rakyat memilih kerajaan. Keamanan Negara dan kerukunan rakyat tidak harus dikorbankan kerana perebutan kuasa dikalangan peminpin dan kumpulan tertentu. Penubuhan negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia berteraskan sejarah, evolusi sejagat, nasionalisme dan kebudayaan bangsa yang mendaulat institusi raja sebagai penyatuan kaum, agama, bahasa dan budaya Negara.

Jika berlaku kesilapan atau tergelincir perlaksanaan dasar tertentu, maka perbetulkan mekanisme perlaksanaanya bukan mempertikaikan tunjang Negara. Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan Negara merdeka ini tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali kerana dibimbangi menguris sensiviti Melayu.

Sultan Azlan berkesimpulan, pengekalan institusi raja di Negara ini secara tersirat adalah usaha meneruskan dan mengekalkan identiti kerajaan berpaksikan Melayu. Jesteru titah Baginda, sebarang pindaan Perlembagaan yang menyentuh kedudukan raja-raja dan kuasa Raja Pemerintah yang meliputi agama Islam, bahasa Melayu, orang Melayu dan Bumiputera perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-raja sendiri.

Komentar akan menyusul kemudian,
BumiPerak

Tuesday, November 4, 2008

Anwar Ibrahim di Himpunan Pegawai Kerajaan Negeri Perak

Ipoh, 3 Nov 2008 Majlis Himpunan kali ke-4/2008 diberi khas kepada ‘Bicara Eksekutif’ dari Ketua Pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim di Bangunan Darul Ridzuan. Kehadiran ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB ahli Dewan Undangan Negeri, Setia-usaha Kerajaan, Pegawai Kewangan Negeri, Pegawai-pegawai dari Jabatan dan Agensi Kerajaan dan wakil kerajaan di Daerah-daerah memenuhi Dewan Banquet di Bangunan Darul Ridzuan, Ipoh.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ust.Mohd Kassuri bin James Baven@Mazlan dari JAIPk dan bacaan ikrar oleh Dato’ Dr Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Ini diikuti ucapan alu-aluan oleh Dato Seri Ir Mohd Nizar, Menteri Besar Perak.

Ir Nizar berharap kakitangan Awam mengutamakan etika kerja Perkhidmatan Awam. Jangan hanya pada slogan yang silih berganti Bersih Cekap Amanah, Kepimpinan Melalui Teladan dan seumpamanya. Apa yang penting dapat berfikir lebih jauh kehadapan untuk kepentingan Negara, pembelaan Rakyat dan mendapat keberkatan Allah.

Era Kegemilangan
Anwar Ibrahim memulakan karier politik bermula 1981 dan dilantik Menteri Belia dan Sukan 1983, Menteri Pertanian 1984, Menteri Pendidikan 1986, dan dilantik Menteri Kewangan pada tahun 1991. Kemudian Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993. Kemudian dipecat dari ahli Umno dan jawatan pada tahun 1998. Pada tahun 1999 dijatuhi hukuman penjara dan dibebaskan 6 tahun kemudiannya. Sekarang Anwar menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen setelah memenangi Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008.

Anwar berpengelaman mempunyai pandangan luas dalam pentadbiran dan ekonomi sering mendapat jemputan dari Universiti luar negara dan pakar rujuk ekonomi dunia.

Ekonomi kapitalis
Falsafah ekonomi dari Negara barat yang diajar kepada pakar-pakar ekonomi mengambil pendekatan dari pemikiran Gabriel dan Adam Smith. Maka prospek belanjawan berdasarkan pasaran dan keuntungan membina kekayaan mengenepikan pembelaan dan pembinaan insan.Belanjawan diumum bertujuan ‘ketakjuban’ kepada rakyat kebanyakan dengan merupa suatu yang tinggi melangit. Tujuan untuk bermegah dan berbangga hingga lupa realiti kepayahan rakyat. Lupa mensyukuri nikmat kurnia Allah.

‘Sesunguhnya jika kamu mensyukuri (nikmat) Ku, maka akan bertambah ganda nikmatKu’

Seumpama legacy kapal titanic yang gagah, sombong, kerana terhebat pada zamannya. Apa sahaja yang dikatakan Nahkoda benar belaka. Mengemudi kelajuan yang maksima untuk pencapaian dibangga tanpa memikirkan bencana bakal datang. Akhirnya karam maksudnya rugi, yang mendapat hak untuk diselamatkan adalah golongan kaya dan atasan.

Orang bawah dikatakan 'corruption', orang atasan dikatakan 'commission'

Keadaan semasa ekonomi Negara kini cemas melibatkan banyak kerugian dan kemerosotan hasil komuniti Malaysia yang jatuh ke bawah 25% untuk jangka masa belum tentu.

Dasar Pengswastaan
Pengkoporatan agensi kerajaan menampakkan pengurusan lebih longlai dan lekeh berbanding dengan bernaung dibawah pengurusan pemerintah. Banyak penyelewengan, salahlaku dan kerugian dapat dilihat umpamanya Perwaja Steel yang rugi RM13,000 juta. Jabatan dan agensi Kerajaan yang terus menswastakan pengurusan dan penyelenggaraan ada unsur-unsur kepentingan kroni dan nepotism pemilikan Syarikat berkenaan.

Harapan Anwar
Membentuk kerajaan yang berwibawa dan memberi keyakinan yang berkhidmat untuk masyarakat. “Yang Bijaksana tidak Keliru, yang Berakhlak tidak Gundah, Yang Berani tidak Gentar” . Kata-kata yang mahu dibuktikan kepimpinannya sewaktu menerajui Kementerian Kewangan dahulu.

Kedaulatan Melayu
Kerajaan pakatan Rakyat tidak menafikan status peribumi dan bangsa Melayu. Perkara ini termaktub dalam sejarah Tanah Melayu 400 tahun yang lalu. Tertulis dalam sejarah, Laksamana Hang Tuah dan Munshi Abdullah telah mendaulatkan Bahasa Melayu Tulisan Jawi, Islam dan Raja-raja Melayu kepada pemerintahan Siam, Portugis, Belanda, Inggeris dan siapa saja yang memerintah. Sekarang ini dalam perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan tidak dipertikaikan. Kerajaan Pakatan Rakyat. Islam bukan sekadar slogan tetapi dihayati

Kesimpulan
Anwar masih ada karisma, pidatonya lancar dan confident hingga mendapat tepukan gemuruh hadirin. Islam mengajar kita menghormati pandangan dari sesiapapun dan melintasi batas sempadan pemikiran kita.

Monday, November 3, 2008

Kakitangan Awam ikrar bersama Kerajaan Negeri Perak

Jumaat 24 Okt 2008 Ipoh. Majlis pertemuan meraikan pemimpin Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan warga-kerja JKR Perak dan Jamuan Hari Raya JKR Perak telah diadakan.

Tetamu penting kerajaan Negeri yang hadir ialah, Dato’ Ngeh Koo Ham, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam. (Ahli Parlimen Beruas dan juga ADUN Setiawan), Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Jamalludin Al Amini, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Pengarah JKR Negeri Perak, Ir. Dr. Safry Kamal, Timbalan Pengarah, Ir Amir Hussain.

Peralihan baru kepimpinan Kerajaan Negeri Perak kepada Pakatan Rakyat pada PRU ke-12 adalah petunjuk dari suara rakyat yang mahukan perubahan. Maka setiap usaha dibuat, bakal melangkah perubahan kepada budaya kerja dan corak kehidupan.

Peneraju kerajaan Negeri Perak, Ir Nizar dari PAS membawa pendekatan ‘Islam untuk Semua’ berkeyakinan Islam membawa kebaikan dan keadilan semua bangsa dan ugama seperti tazkirah MB Ir Nizar kepada warga-kerja JKR sebelum ini. Perlaksanaan nilai hidup Islam yang positif telah diterima semua pihak dari kalangan penyokong kerajaan yang pelbagai bangsa dan ugama.

Merealisasikan agenda perubahan kerajaan Pakatan Rakyat kepada Organisasi dan Jabatan Kerajaan bukan semata-mata terletak kepada perubahan sistem, peraturan dan undang-undang bagi peningkatan kualiti dan mencegah salahlaku. Kakitangan Awam yang didominasi dari kalangan bangsa Melayu Islam perlu kepada perubahan jatidiri dan pemuafakatan berasaskan Islam.

Kepimpinan Negeri Perak Darul Ridzuan telah mengariskan 5 Prinsip kepada perlaksanaan arahtuju kerajaan iaitu:-
1. Adil, 2. Amanah 3. Telus 4. Berwibawa 5. Berkebajikan

Ir. Dr. Safry Kamal, Pengarah JKR Negeri Perak, mengucapkan selamat datang kepada tetamu yang hadir dan beliau menyeru kakitangan di bawahnya dapat bekerjasama secara profesional, bekerja dalam satu pasukan dan dalam semangat kekeluargaan. Imej JKR lebih ditingkat di mata masyarakat dengan bekerja dengan penuh tanggung-jawap, jujur dan amanah.

Berintergriti dan buang sikap yang negatif seperti membuang masa dan bersangka-buruk yang boleh timbul salah faham dan perbalahan.

Jadikan Jabatan Kerja Raya mencapai ‘legacy’ terunggul dengan warga Kerja yang proaktif dan inovatif. Hasil Kerja yang berkualiti, mesra pelangan kemudahan kepada masyarakat berurusan.
Beliau mengakhiri dengan ungkapan, ‘BERSATU kita TEGUH, BERCERAI kita ROBOH’.

Tuan Hj. Zam selaku wakil pekerja dalam Majlis Bersama Jabatan berikrar mengujud kesefahaman dan mengujudkan suasana persekitaran kerja yang sihat. Berikrar untuk bekerja dengan penuh tanggung-jawap, jujur dan amanah.

Membentuk personaliti takwa dengan program yang diatur seperti perdengarkan bacaan doa pada setiap pagi sebelum mulakan tugas. Mengadakan bacaan surah Yassin dan kuliah pengajiaan dari masa ke semasa. Mengadakan program kebajikan kepada kalangan wargakerja miskin dan merapatkan mengeratkan hubungan terutama dari luar daerah.

Sebagai permulaannya 12 kakitangan miskin dan mempunyai tanggungan besar menerima RM220.00 hasil dari kutipan derma dari semua kakitangan.

Dari kanan, Ir Amir Hussain, Timbalan Pengarah JKR Perak. Dato’ Jamalludin Al Amini, Pegawai Kewangan Negeri Perak. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ngeh Koo Ham, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam. dan Ir. Dr. Safry Kamal, Pengarah JKR Negeri Perak.